Sinopsis
Cerita memaparkan percubaan
raja Siam, Bubunnya hendak menyerang kerajaan Melaka yang tidak kesampaian
kerana kebijaksanaan pemerintah dan kesaktian hulubalang Melaka.
Ceritanya bermula pada
zaman dahulu kala negeri Siam yang dikenali sebagai Syahrunnuwi begitu kuat
sehingga semua kerajaan bawah angin telah ditakluki oleh Siam kecuali kerajaan
Melaka. Apabila Melaka yang diperintah oleh Sultan Muzaffir Syah enggan memberi
surat sebagai tanda tunduk kepada Siam, raja Siam telah menyuruh panglimanya
Awi Cakri membawa hulubalang dan rakyatnya yang sangat ramai untuk menyerang
Melaka melalui hulu Pahang. Apabila Sultan Muzaffir Syah mendengar berita
tentang rancangan serangan Siam itu, baginda pun menghimpunkan rakyat Melaka
dari segenap pelusuk negeri. Tun Perak dari Kelang telah
datang membawa bersama-sama dengan anak isteri
masing-masing. Pada masa itu, Seri Amerta dilantik oleh sultan sebagai bentara
kerana kecerdikan dan kepetahannya berkata-kata.
Seri Amerta telah diminta
oleh sultan untuk menyiasat tindakan Tun Perak tersebut. Tindakan Tun Perak itu
dipersoalkan sebanyak tiga kali oleh Seri Amerta. Tun Perak meminta Seri Amerta
jangan mencampuri urusan orang lain. Baginda menjelaskan sekiranya orang Kelang
yang datang dari jauh itu ditemani anak isteri masing-masing, mereka akan
berperang dengan lebih bersemangat. Apabila hal ini disampaikan kepada Duli
Yang diPertuan, baginda amat bersetuju dengan tindakan Tun Perak itu lalu
menitahkan Tun Perak terus bermastautin di Melaka. Apabila serangan Siam itu
telah dapat dipatahkan, Tun Perak telah dijadikan sebagai bentara di Melaka.
Tidak lama kemudian Seri
Amerta menyuruh Tun Perak menghadap kerana ada seorang orang Kelang mengadu
bahawa dirinya dianiayai oleh Tun Perak. Setelah disoal siasat, Tun Perak
menyatakan bahawa Seri Amerta tidak memahami tugas dan tanggungjawab
diamanahkan oleh Sultan. Sultan
bersetuju dengan penjelasan Tun Perak lalu melantiknya sebagai Perdana Menteri
dengan gelaran Paduka Raja yang setaraf dengan Seri Nara Diraja.
Seri Nara Diraja sudah tua
dan tidak mempunyai anak lelaki,hanya ada seorang anak perempuan yang bernama
Tun Putih hasil perkahwinan dengan anak bendahara. Setelah
isterinya itu mangkat barulah Seri Nara Diraja mengakui bahawa
baginda mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Tun Nina Madi hasil
perhubungan dengan gundik istana.
Pada masa itu masyarakat
Melayu telah berpecah kepada dua puak iaitu puak Paduka Raja dan puak Seri Nara
Diraja kerana kedua-duanya mempunyai taraf yang sama. Kedua-dua orang besar ini
tidak dapat bekerjasama kerana berbeza pendapat. Apabila hal ini diketahui oleh
Sultan Muzaffir Syah, baginda amat kecewa kerana bimbang negara akan lemah jika
pembesarnya saling tidak bermuafakat. Baginda telah memikirkan jalan
penyelesaian dengan mencai jodoh baru kepada Seri Nara Diraja, tetapi semuanya
telah ditolak oleh Seri Nara Diraja sehinggalah dia dijodohkan dengan Tun Kudu
anak perempuan Bendahara Seri Wak Raja, saudara kepada Paduka Raja. Justeru,
hubungan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja kembali baik apabila baginda
bersetuju supaya Paduka Raja dilantik sebagai bendahara manakala Seri Nara
Diraja menjadi penghulu bendahari.
Tidak lama kemudian orang
Siam di bawah pimpinan Awi Dicu menyerang Melaka. Sultan mengetahui
hal tersebut lalu menitahkan Paduka Raja dengan diiringi Seri Bija Diraja dan
segala hulubalang untuk mempertahankan Melaka. Anak Seri Bija Diraja bernama
Tun Umar yang berkelakuan aneh telah disuruh melanggar perahu pihak Siam, tiga
buah perahu Siam telah dikalahkan dengan hanya sebuah perahunya. Pihak Siam
menjadi takut dan membatalkan hasrat menyerang Melaka. Bendahara Paduka Raja
menggunakan strategi memasangkan puntung api pada pokok-pokok di sepanjang
pantai seolah-olah banyak perahu perang Melaka yang dibawa untuk mempertahankan
Melaka. Angkatan perang Siam telah berundur. Setelah pihak Siam berundur,
Bendahara Paduka Raja dan orang-orangnya telah dianugerahkan persalinan yang
mulia.
Walau bagaimanapun, berita
kegagalan serangan Siam itu sampai ke pengetahuan Paduka Bubunnya, raja Siam
itu amat marah dan diri sendiri membuat keputusan untuk menyerang Melaka tetapi
anaknya Cau Pandan menawarkan diri untuk menyerang Melaka. Raja Siam bersetuju
lalu menggunakan lapan ratus buah kapal perang besar dan banyak kapal perang
kecil di bawah pimpinan Pra Kelong untuk membantu Cau Pandan menyerang Melaka.
Apabila berita rancangan Siam untuk menyerang Melaka itu diketahui oleh sultan
Melaka, Sidi Arab yang mempunyai kesaktian ilmu memanahnya telah memanah Cau
Pandan yang berada di Siam. Akhirnya Cau Pandan yang belum sempat menyerang
Melaka itu telah terkena panahan tersebut di dada, telah muntah darah lalu
mati. Kesaktian Sidi Arab itu amat dihargai sultan dan diberi ganjaran yang
setimpalnya.
Setelah empat puluh dua
tahun Sultan Muzaffir Syah memerintah Melaka, akhirnya baginda mangkat dan
digantikan oleh anaknya Raja Abdullah gelaran Sultan Mansur Syah. Ketika
menaiki takhta, Sultan Mansur Syah berusia 27 tahun. Baginda beristerikan anak
Seri Nara Diraja iaitu Tun Putih Nur Pualam. Baginda seorang raja yang kacak,
adil, dan murah hati yang tiada tolok bandingnya pada masa itu.
Tema
Keghairahan Siam menyerang
Melaka tanpa menilai kelemahan diri sendiri dan menyiasat kekuatan pihak lawan
terlebih dahulu sebelum mengatur serangan.
Persoalan
1. Kebijaksanaan Tun Perak dalam
mengatur strategi menghalang serangan dari Siam
Contoh: Tun Perak membawa
rakyat dari Kelang bersama-sama anak isteri untuk menaikkan semangat berperang
Tun Perak mengikat puntung
api pada pokok bakau, pokok nyirih dan pokok api-api di sepanjang pantai bagi
menakutkan pihak musuh.
2. Semangat
tidak mudah berputus asa.
Siam mengatur serangan ke
atas Melaka sebanyak tiga kali walaupun kesemua percubaan tersebut menemui
kegagalan.
3. Kepentingan permuafakatan antara pemimpin
memperkukuh
ketahanan
negara.
Konflik antara Tun Perak
dengan Seri Nara Diraja telah menyebabkan masyarakat berpecah yang boleh
melemahkan kekuatan negara.
4. Perkahwinan dapat mengeratkan perhubungan
persaudaraan.
Contohnya, Sultan telah
menjodohkan Tun Kudu anak saudara Tun Perak dengan Sri Nara Diraja.
5. Tanggungjawab melaksanakan tugas
masing-masing tanpa
mencampuri urusan orang lain
Tun Perak meminta Seri
Amarta tidak mencampuri urusannya dan mempersoalkan sesuatu tindakan yang
diambil.
6. Merahsiakan sesuatu perkara bagi mengelakkan konflik
dalam
keluarga.
Seri Nara Diraja
merahsiakan anak hasil hubungannya dengan gundik bagi mengelakkan berkonflik
dengan isteri
7. Unsur kesaktian dalam peperangan
Sidi
Arab mempunyai kesaktian dalam ilmu memanah. Beliau telah
memanah dari Melaka sehingga dapat membunuh
Cau Pandan
yang berada di benua Siam.
PLOT
Permulaan
Persiapan rakyat
Melaka menghadapi ancaman pertama daripada Siam.
Perkembangan
Pemerintahan Sultan
Muzaffar Syah di Melaka dan kebijaksanaan Tun Perak dalam pelbagai perkara.
Konflik
1. Antara
Tun Perak dengan orang Kelang yang mengadu.
2. Antara
Tun Perak dengan Seri Nara Diraja yang tidak sehaluan.
Klimaks
Sultan menceraikan
Tun Kudu untuk dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja.
Peleraian
Kemangatan Sultan
Muzaffar Syah.
WATAK DAN
PERWATAKAN
Sultan
Muzaffar Syah
1. Pemerintah
negeri Melaka.
2. Baginda
tegas dalam mentadbir negerinya.
3. Berpandangan
jauh. Melantik Tun Perak sebagai pembesar kerana dapat melihat ciri-ciri
kepemimpinan pada diri Tun Perak.
4. Baginda
adil dalam pemerintahannya. Baginda tidak terburu-buru dalam menjatuhkan
hukuman apabila menerima aduan orang Kelang berkenaan Tun Perak.
5. Baginda
juga bijaksana. Baginda mengahwinkan Tun Kudu dengan Seri Nara Diraja bagi
menyelesaikan perselisihan antara Seri Nara Diraja dengan Bendahara Paduka
Raja.
Tun Perak
(Bendahara Paduka Raja)
1. Tun
Perak amanah dalam menjalankan tugas. Tun Perak bersedia meletakkan jawatan
sekiranya sultan beranggapan beliau gagal melaksanakan tugasnya.
2. Beliau
taat akan raja. Tun Perak mentaati perintah Sultan Muzaffar Syah supaya membuat
persiapan untuk mengusir tentera Siam yang berada di Batu Pahat.
3. Tun
Perak juga bijaksana. Tun Perak mengarahkan anak-anak buahnya memasang puntung
api pada setiap pokok bakau untuk memperdayakan angkatan tentera Siam.
4. Beliau
berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan. Tun Perak tidak terburu-buru
menjawab pertanyaan Seri Amerta kerana beliau berhati-hati dalam berbicara.
Seri Nara
Diraja
1. Beliau
memegang jawatan sebagai penghulu bendahari.
2. Seri
Nara Diraja takut akan isterinya. Beliau hanya mengakui Tun Nina Madi sebagai
anaknya selepas kematian isterinya.
3. Seri
Nara Diraja sering berselisih pendapat dan tidak sepakat dengan Paduka Raja
(Tun Perak)
4. Walaupun
sudah tua, beliau berkahwin dengan Tun Kudu, bekas isteri Sultan Muzaffar Syah
yangg juga saudara Tun Perak.
LATAR
Latar
Masa
1. Zaman
Kesultanan Melayu Melaka, pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.
2. Waktu
malam – waktu Awi Dicu hendak menyerang Melaka dan Bendahara Tun Perak serta
penduduk Melaka menyalakan puntung api.
Latar
Tempat
1. Melaka
– tempat istana pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.
2. Kelang
– Tempat Tun Perak memerintah sebagai Penghulu.
3. Hulu
Muar – tempat rotan mengikat barang dibuang oleh angkatan Siam.
4. Batu
Pahat – tempat orang Siam membuat perigi.
Latar
Masyarakat
1. Masyarakat
yang taat akan pemerintah – pembesar dan rakyat Melaka taat titah perintah
baginda sultan.
2. Masyarakat
yang bersatu – penduduk Melaka bersatu tenaga mempertahankan Melaka daripada
serangan Siam.
3. Masyarakat
yang bijaksana – Tun Perak bijak mengatur strategi dalam menghadapi angkatan perang
Siam.
4. Masyarakat
yang berani – Tun Umar berani menghendap dan menyerang beberapa buah perahu
Siam.
5. Masyarakat
yang berilmu – Tuan Sidi Arab mempunyai ilmu tentang kemahiran memanah.
GAYA
BAHASA
1. Bahasa
istana – tuanku, patik, titah
2. Penggandaan
– perahu kecil-kecil
3. Bahasa
Arab – Allah, fiil
4. Bahasa
klasik – syahadan, hatta
5. Simile
– seperti saudara sejalan jadi
6. Sinkope
– ku, mu, tak
NILAI
1. Keberanian
– Tun Umar berani melanggar perahu Siam yang ingin menyerang Melaka.
2. Kebijaksanaan
– Tun Perak bijak mengatur strategi menghadapi serangan Siam.
3. Keadilan
– Sultan Muzaffar Syah bertindak adil dalam mendamaikan dua orang pembesar yang
tidak sehaluan.
4. Tanggungjawab
– pembesar dan rakyat Melaka bertanggungjawab mempertahankan Melaka daripada
serangan Siam.
5. Rasional
– Tun Perak memberi alasan yang rasional apabila diajukan soalan oleh Seri
Amerta tentang aduan orang Kelang.
PENGAJARAN
1. Kita
hendaklah menjalankan pemerintahan secara adil dan saksama.
2. Kita
hendaklah berani menentang musuh atas prinsip kebenaran.
3. Kita
sewajarnya bertindak rasional apabila menghadapi masalah.
4. Kita
mestilah menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.
5. Kita
mestilah mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
0 Komen:
Catat Ulasan