ANALISIS SOALAN:
Tema: Kerjaya
Fokus soalan: Persediaan-persediaan sebelum
menceburi bidang kerjaya.
1. Murid perlu menghuraikan tiga persediaan sebelum menceburi bidang kerjaya yang ada dalam stimulus- Layak Cemerlang
2. Sekiranya murid hanya menghuraikan satu persediaan
yang terdapat dalam stimulus dan menambah isi lain. – Maksimum Kepujian
3. Sekiranya murid tidak menyentuh persediaan sebelum menceburi bidang kerjaya dalam stimulus– Maksimum Baik
4. Sekiranya murid menghuraikan secara umum tanpa
menyentuh persediaan sebelum
menceburi bidang kerjaya.- Maksimum Baik
5. Sekiranya calon menghuraikan selain persediaan sebelum menceburi bidang
kerjaya, – Maksimum Penguasaan Minimum
CADANGAN ISI DALAM PETIKAN:
· 1. mempunyai kelayakan akademik yang tinggi
· 2, menguasai kemahiran komunikasi
· 3. persediaan mental
CADANGAN JAWAPAN:
PERSEDIAAN SEBELUM MENCEBURI BIDANG KERJAYA
Pada era globalisasi yang penuh dengan persaingan ini, bidang kerjaya menjadi aspek penting dalam menentukan masa depan seseorang. Setiap
individu perlu membuat persediaan yang rapi sebelum melangkah ke alam pekerjaan agar mampu bersaing dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa. Kini, isu pengangguran dalam kalangan graduan semakin membimbangkan kerana ramai yang gagal memenuhi kehendak majikan. Hal ini menunjukkan bahawa persediaan sebelum menceburi bidang kerjaya bukan lagi satu pilihan, sebaliknya suatu keperluan. Oleh itu, pelbagai persediaan perlu dilakukan sebelum seseorang melibatkan diri dalam dunia pekerjaan.
Persediaan utama sebelum menceburi bidang kerjaya
ialah mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Kelayakan akademik penting
kerana kebanyakan majikan menjadikannya sebagai syarat utama dalam pengambilan
pekerja. Individu yang memiliki keputusan cemerlang dan sijil yang berkualiti
lebih mudah mendapat peluang pekerjaan yang baik. Sebagai contoh, pelajar yang
memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
dan melanjutkan pengajian ke universiti berpeluang menceburi bidang profesional
seperti perubatan, kejuruteraan dan pendidikan. Hal ini akan membolehkan mereka
memperoleh pekerjaan yang stabil serta gaji yang lumayan bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, seseorang perlu
berusaha gigih untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik. Tegasnya,
kelayakan akademik yang tinggi menjadi tiket penting untuk memasuki alam
pekerjaan yang diidam-idamkan.
Selain itu, persediaan lain yang perlu dilakukan ialah
menguasai kemahiran komunikasi. Kemahiran komunikasi amat penting kerana
seseorang pekerja perlu berinteraksi dengan majikan, rakan sekerja dan
pelanggan dengan berkesan. Individu yang petah berbicara dan mampu menyampaikan
idea dengan jelas akan lebih dihargai oleh majikan. Sebagai contoh, penguasaan
bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dapat membantu seseorang ketika menghadiri
temu duga atau membentangkan idea dalam mesyuarat. Kemahiran ini juga dapat
meningkatkan keyakinan diri serta memudahkan urusan pekerjaan. Kata tokoh
terkenal, Nelson Mandela, “Jika anda bercakap dengan seseorang dalam bahasa
yang difahaminya, kata-kata itu akan masuk ke fikirannya. Jika anda bercakap
dalam bahasanya, kata-kata itu akan masuk ke hatinya.” Jelaslah bahawa
kemahiran komunikasi yang baik mampu menjadi aset penting dalam dunia kerjaya.
Di samping itu, persediaan mental dalam menghadapi
cabaran juga amat penting sebelum menceburi bidang kerjaya. Alam pekerjaan
sememangnya penuh dengan tekanan, persaingan dan pelbagai cabaran yang menguji
ketahanan diri seseorang. Individu yang mempunyai mental yang kuat tidak mudah
berputus asa apabila berhadapan dengan masalah di tempat kerja. Sebagai contoh,
pekerja yang bijak mengawal emosi dan tekanan akan mampu menyelesaikan tugasan
dengan tenang serta profesional. Kesannya, mereka dapat meningkatkan prestasi
kerja dan mengekalkan hubungan yang baik dengan rakan sekerja. Peribahasa
Melayu ada menyebut, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal
lengan yang membawa maksud melakukan sesuatu pekerjaan dengan
bersungguh-sungguh. Oleh itu, persediaan mental amat penting agar seseorang
mampu bertahan dan berjaya dalam bidang kerjaya yang diceburi.
Kesimpulannya,
terdapat pelbagai persediaan yang perlu dilakukan sebelum seseorang menceburi
bidang kerjaya seperti mempunyai kelayakan akademik yang tinggi, menguasai
kemahiran komunikasi dan membuat persediaan mental. Semua pihak terutamanya ibu
bapa dan pihak sekolah perlulah memainkan peranan dalam membantu remaja membuat
persediaan sejak awal. Dengan persediaan yang lengkap, generasi muda akan lebih
bersedia untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan pada masa hadapan. Janganlah
kita bersikap seperti katak di bawah tempurung kerana kegagalan membuat
persediaan akan menyebabkan seseorang sukar bersaing dalam dunia kerjaya yang
semakin mencabar.
0 Komen:
Catat Ulasan