Usaha

Usaha Tangga Kejayaan.

Ikhlas

Ikhlas diri dalam mencari Ilmu.

Tawakal

Berserah kepada Tuhan Selepas Berusaha.
 

.

Carian Dalam Blog

KELEBIHAN INDUSTRI PERTANIAN

 

kredit BH Online




ANALISIS SOALAN:

Tema: Pertanian

Kata Kunci : Kelebihan-kelebihan memajukan industri pertanian.


1. Murid menghuraikan kelebihan di dalam petikan dan menambah kelebihan-kelebihan lain - Layak Cemerlang.

2. Sekiranya murid tidak menyentuh kelebihan di dalam petikan dan menambah kelebihan-kelebihan lain – Maksimum Kepujian

3. Sekiranya murid menghuraikan satu kelebihan sahaja - Maksimum Baik.

4. Sekiranya murid menghuraikan selain daripada kelebihan memajukan industri pertanian - Maksimum Penguasaan Minimum.


CADANGAN ISI:

• sebagai pembekal sumber makanan (di dalam Petikan)

• dapat menjana pendapatan negara

• dapat meningkatkan peluang pekerjaan dan keusahawanan

• dapat meningkatkan taraf hidup petani

• keterjaminan bekalan makanan



CADANGAN JAWAPAN:

    Industri pertanian merupakan sektor penting yang menjadi tunjang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di Malaysia. Sejak dahulu lagi, bidang pertanian telah menyumbang kepada bekalan makanan serta peluang pekerjaan kepada masyarakat. Dalam era moden ini, kerajaan sentiasa berusaha memastikan industri pertanian menjadi lebih inovatif dan kompetitif melalui pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030). Hal ini dikatakan demikian kerana sektor pertanian mampu memberikan pelbagai manfaat kepada negara sekiranya terus berkembang maju. Oleh itu, kelebihan industri pertanian wajar diberikan perhatian oleh semua pihak.

    Kelebihan primer sekiranya industri pertanian terus maju ialah negara dapat menjadi pembekal sumber makanan utama kepada rakyat. Pengeluaran hasil pertanian yang mencukupi dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan dari luar negara. Hal ini penting bagi memastikan bekalan makanan sentiasa stabil walaupun berlaku krisis global seperti pandemik atau peperangan. Sebagai contoh, pengeluaran beras, sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan yang mencukupi mampu memenuhi permintaan rakyat sepanjang masa. Kesannya, harga makanan dapat dikawal dan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. Tegasnya, kemajuan industri pertanian mampu menjamin keselamatan makanan negara demi kesejahteraan rakyat.

    Selain itu, industri pertanian yang maju juga dapat meningkatkan ekonomi negara. Sektor ini mampu menyumbang pendapatan yang lumayan melalui eksport hasil pertanian ke pasaran antarabangsa. Produk seperti kelapa sawit, getah dan nanas mendapat permintaan tinggi dari luar negara kerana berkualiti dan bernilai komersial. Sebagai contoh, Malaysia merupakan antara pengeksport utama minyak sawit dunia yang menyumbang pendapatan besar kepada negara. Situasi ini bertepatan dengan peribahasa sambil menyelam minum air kerana selain memenuhi keperluan rakyat tempatan, negara juga memperoleh keuntungan melalui perdagangan antarabangsa. Kesannya, ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan taraf hidup rakyat dapat ditingkatkan. Oleh itu, kemajuan sektor pertanian harus diperkasakan agar terus menjadi penyumbang utama kepada pembangunan negara.

    Di samping itu, industri pertanian yang berkembang maju mampu membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat, khususnya golongan belia. Kemajuan teknologi dalam bidang pertanian telah menjadikan sektor ini lebih moden dan menarik untuk diceburi. Penggunaan teknologi seperti dron, sistem fertigasi dan automasi pertanian dapat meningkatkan produktiviti serta menarik minat generasi muda. Sebagai contoh, ramai usahawan tani muda kini berjaya memperoleh pendapatan lumayan melalui pertanian moden dan pemasaran digital. Tun Abdul Razak Hussein, mantan Perdana Menteri Malaysia pernah mengatakan bahawa pertanian ialah perniagaan, yang menunjukkan bahawa bidang ini mempunyai potensi besar untuk dimajukan. Kesannya, kadar pengangguran dapat dikurangkan dan ekonomi luar bandar dapat diperkasakan. Jelaslah bahawa industri pertanian yang maju mampu memberikan manfaat besar kepada masyarakat dan negara.

    Kesimpulannya, industri pertanian yang terus maju mampu menjamin bekalan makanan negara, meningkatkan ekonomi serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat. Semua pihak seperti kerajaan, swasta dan masyarakat perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk memajukan sektor ini. Dengan sokongan berterusan dan penggunaan teknologi moden, industri pertanian negara pasti mampu bersaing di peringkat global. Janganlah kita memandang rendah bidang pertanian kerana sektor ini merupakan nadi penting kepada kemajuan dan kestabilan negara.



0 Komen:

Catat Ulasan

Berilmu

“Waktumu terbatas, jadi jangan sia-siakan dengan menjalani hidup orang lain. Jangan terjebak oleh dogma – yaitu hidup dengan hasil pemikiran orang lain.” – Steve Jobs

Beriman

“Teruslah tersenyum, karena hidup adalah hal yang indah dan ada banyak hal untuk disyukuri.” — Marilyn Monroe

Beramal

“Usaha dan keberanian tidak cukup tanpa tujuan dan arah perencanaan.” - John F. Kennedy