Usaha

Usaha Tangga Kejayaan.

Ikhlas

Ikhlas diri dalam mencari Ilmu.

Tawakal

Berserah kepada Tuhan Selepas Berusaha.
 

.

Carian Dalam Blog

PuisiDra : Percakapan Murid Kepada Gurunya

 

Percakapan Murid Kepada Gurunya

Oleh: Qamarul Abdullah




GURU

Masih kuingat hari pertama,
Seorang murid datang menyapa,
Dengan mata penuh cahaya,
Dan cita-cita setinggi angkasa.


MURID

“Cikgu… saya mahu berjaya,
Menggapai mimpi setinggi angkasa,
Menjadi insan berguna sentiasa,
Membahagiakan ayah dan bonda.”


GURU

Lalu kuajar dengan setia,


Mendidik akal membentuk jiwa,
Walau penat tidak terasa,
Asal murid mengenal makna.


MURID

Namun dunia mula menggoda,
Telefon pintar mencuri masa,
Nasihat guru terasa biasa,
Gelak ketawa menjadi utama.


GURU

Kerja sekolah mula dilupa,
Teguran guru dianggap hama,
Adab sopan makin sirna,
Hilang hormat dalam bicara.


MURID

Cikgu tak faham jiwa remaja,
Tekanan hidup datang melanda,
Belajar terasa sangat menyiksa,
Sedang hati penuh kecewa.


GURU

Aku juga pernah merasa,
Jatuh bangun dalam kecewa,
Namun ilmu jangan dihina,
Kerana itulah penyelamat manusia.


MURID

(naik emosi)

Cukup cikgu! Jangan berkata!
Saya penat mendengar semua!
Asyik dimarah setiap masa,
Seolah saya tiada guna!


GURU

(terdiam seketika)

Jika teguranku melukakan jiwa,
Maafkan gurumu yang tua,
Aku menegur kerana cinta,
Bukan membenci dirimu cuma.


MURID

Kalau benar itu namanya cinta,
Mengapa hati terasa luka?
Mengapa setiap tutur bicara,
Menusuk tajam ke dalam jiwa?


GURU

Pergilah jika itu pinta,
Guru tidak memaksa rela,
Namun doaku tidakkan sirna,
Mengiring langkah ke mana jua.


(Lampu mula malap. Nada perlahan.)

MURID

Malam sunyi membuka mata,
Kuselak buku yang lama,
Lalu terjatuh sekeping nota,
Tulisan kecil penuh makna.


GURU

“Belajarlah bersungguh-sungguh sentiasa,
Cikgu percaya dirimu mampu berjaya,
Jangan pernah mudah berputus asa,
Kerana masa depanmu sangat berharga.”


MURID

Saat kubaca bait bicara,
Dadaku sesak tidak terkata,
Baru kusedar sebuah hakikat nyata,
Marah guru lahir daripada cinta.


 

(Suara perlahan. Sedih.)

MURID

Keesokan harinya aku ke sekolah biasa,
Ingin bertemu memohon maaf kepadanya,
Namun langkahku tiba-tiba terhenti jua,
Saat kulihat guru-guru berpakaian duka.


MURID

Rupanya cikgu telah tiada,
Pergi menghadap Yang Maha Esa,
Belum sempat kupohonkan maaf bicara,
Belum sempat kucium tangan mulia.


MURID

Hari itu runtuh seluruh jiwa,
Air mataku jatuh tanpa suara,
Kerana insan yang paling berjasa,
Pergi sebelum sempat kuhargainya.


MURID

Kini tiada lagi suara menegur manja,
Tiada lagi wajah menanti di muka kelasnya,
Yang tinggal hanyalah kenangan dan kata,
“Belajarlah… demi masa depanmu nanti sahaja.”


MURID

Wahai cikgu… dengarlah bicara,
Daripada murid yang penuh dosa,
Aku menyesal atas segalanya,
Kerana pernah melukai hati seorang pendidik mulia.


MURID

Kini aku benar percaya,
Ilmu sahaja tidak sempurna,
Tanpa hormat tanpa adab mulia,
Hilanglah berkat dalam kehidupan manusia.


MURID

Jika masa mampu diputar semula,
Ingin kupeluk guruku seeratnya,
Ingin kuucapkan terima kasih setulus jiwa,
Kerana mendidikku mengenal dunia.


MURID

Tetapi masa tidak menunggu manusia,
Yang pergi tidak akan kembali semula,
Maka buat kalian yang masih punya guru tercinta,
Hargailah mereka sebelum terlambat akhirnya.


(Lampu perlahan tertutup. Tamat.)

 

0 Komen:

Catat Ulasan

Berilmu

“Waktumu terbatas, jadi jangan sia-siakan dengan menjalani hidup orang lain. Jangan terjebak oleh dogma – yaitu hidup dengan hasil pemikiran orang lain.” – Steve Jobs

Beriman

“Teruslah tersenyum, karena hidup adalah hal yang indah dan ada banyak hal untuk disyukuri.” — Marilyn Monroe

Beramal

“Usaha dan keberanian tidak cukup tanpa tujuan dan arah perencanaan.” - John F. Kennedy