Usaha

Usaha Tangga Kejayaan.

Ikhlas

Ikhlas diri dalam mencari Ilmu.

Tawakal

Berserah kepada Tuhan Selepas Berusaha.
 

.

Carian Dalam Blog

PERANAN PELBAGAI PIHAK DALAM MEMPERKUKUHKAN SEKTOR PKS DI NEGARA MALAYSIA

 



ANALISIS SOALAN:

Tema : Perindustrian

Kata kunci soalan- usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memajukan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).


1. Murid menghuraikan usaha-usaha  yang perlu dilakukan untuk memajukan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)  – Layak Cemerlang.

2. Sekiranya murid hanya menghuraikan satu pihak sahaja – Maksimum Kepujian 

3. Sekiranya murid menghuraikan selain daripada usaha yang perlu dilakukan untuk

memajukan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara kita – Maksimum

Penguasaan Minimum.

 

CADANGAN ISI 

usaha-usaha yang boleh dilakukan

1. Pihak kerajaan memberi bantuan atau peruntukan kepada pengusha PKS.

2.  Pihak kerajaan menyediakan program latihan kepada pengusaha PKS.

3. Pihak kerajaan mengadakan kempen membeli barangan PKS kepada masyarakat.

4. Pengusaha PKS menyertai ekspo, pameran, atau kerjasama dengan syarikat besar untuk meningkatkan keterlihatan.

5. Pengusaha PKS menggunakan media sosial, e-dagang, dan pemasaran digital untuk

meluaskan pasaran.

6. Pihak media massa mempromosikan PKS di media-media massa.

7. Pihak bank mengenakan faedah yang rendah kepada pengusaha PKS


CADANGAN JAWAPAN:


PERANAN PELBAGAI PIHAK DALAM MEMPERKUKUHKAN SEKTOR PKS DI NEGARA MALAYSIA

    Pada era globalisasi ini, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara. Sektor ini bukan sahaja menyumbang lebih 38% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), malah turut menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat. Namun demikian, sektor PKS berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamanya selepas pandemik Covid-19 apabila banyak perniagaan kecil terpaksa gulung tikar akibat masalah kewangan dan kekurangan pelanggan. Keadaan ini menunjukkan bahawa usaha memajukan sektor PKS memerlukan kerjasama pelbagai pihak agar sektor ini terus berkembang maju. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam memperkukuh dan memajukan sektor PKS di negara kita.

    Peranan penting yang perlu dimainkan ialah pihak kerajaan memberikan bantuan dan peruntukan kepada pengusaha PKS. Bantuan kewangan seperti geran khas, subsidi dan pinjaman mudah dapat membantu pengusaha PKS meneruskan operasi perniagaan mereka. Dengan adanya bantuan tersebut, mereka mampu membeli peralatan moden, menambah modal serta mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi. Sebagai contoh, kerajaan melalui agensi seperti SME Corp dan TEKUN Nasional menyediakan skim pembiayaan khas kepada usahawan kecil yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Kesannya, pengusaha PKS dapat mengurangkan beban kewangan dan meneruskan perniagaan dengan lebih stabil. Bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, bantuan kerajaan amat penting bagi memastikan kelangsungan sektor PKS. Tegasnya, pemberian bantuan dan peruntukan oleh kerajaan mampu memajukan sektor PKS secara menyeluruh.

Selain itu, pengusaha PKS sendiri perlu mengambil inisiatif dengan menggunakan media sosial, e-dagang dan pemasaran digital untuk meluaskan pasaran mereka. Dalam dunia moden kini, penggunaan teknologi digital amat penting untuk meningkatkan jualan dan memperkenalkan produk kepada pengguna. Pengusaha PKS yang bijak memanfaatkan platform seperti Facebook, TikTok, Instagram dan Shopee mampu menarik lebih ramai pelanggan dari dalam dan luar negara. Sebagai contoh, ramai usahawan kecil berjaya meningkatkan pendapatan mereka melalui pemasaran secara langsung di media sosial atau penjualan produk secara dalam talian. Keadaan ini bukan sahaja membantu meningkatkan keuntungan, malah menjadikan produk PKS lebih dikenali oleh masyarakat. Kata tokoh terkenal Bill Gates, “Jika perniagaan anda tiada di internet, maka perniagaan anda akan lenyap.” Jelaslah bahawa penggunaan teknologi digital mampu menjadi pemangkin kejayaan sektor PKS pada masa ini.

    Di samping itu, pihak media massa juga memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan PKS kepada masyarakat. Media massa seperti televisyen, radio, akhbar dan portal berita dapat membantu memperkenalkan produk tempatan dengan lebih meluas. Promosi secara berterusan mampu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap produk keluaran PKS tempatan. Sebagai contoh, rancangan televisyen yang memaparkan kejayaan usahawan kecil dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menyokong produk PKS. Kesannya, jualan produk tempatan akan meningkat sekali gus membantu pengusaha PKS memperkukuh perniagaan mereka. Peribahasa Melayu ada menyebut, “tak kenal maka tak cinta”, menunjukkan bahawa promosi amat penting untuk menarik minat pengguna terhadap produk PKS. Oleh itu, media massa perlu memainkan peranan aktif dalam memartabatkan sektor PKS negara.

    Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam memajukan sektor PKS seperti kerajaan, pengusaha sendiri dan pihak media massa. Semua usaha ini amat penting bagi memastikan sektor PKS terus berkembang dan mampu bersaing di peringkat global. Dengan sokongan yang padu, sektor PKS mampu menjadi tunjang utama ekonomi negara pada masa hadapan. Janganlah kita bersikap seperti “melepaskan batuk di tangga” kerana kegagalan memajukan sektor PKS akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan rakyat negara ini.


0 Komen:

Catat Ulasan

Berilmu

“Waktumu terbatas, jadi jangan sia-siakan dengan menjalani hidup orang lain. Jangan terjebak oleh dogma – yaitu hidup dengan hasil pemikiran orang lain.” – Steve Jobs

Beriman

“Teruslah tersenyum, karena hidup adalah hal yang indah dan ada banyak hal untuk disyukuri.” — Marilyn Monroe

Beramal

“Usaha dan keberanian tidak cukup tanpa tujuan dan arah perencanaan.” - John F. Kennedy