ANALISIS SOALAN:
Tema: Pelancongan
Kehendak / Tugasan Soalan : Calon dikehendaki membincangkan kesan-kesan
kehadiran pelancong asing ke negara kita.
1. Murid hendaklah
menghuraikan kesan kehadiran pelancong asing ke negara kita yang
terdapat dalam stimulus dan menambah kesan lain. – Layak Cemerlang
2. Sekiranya murid
hanya menghuraikan satu kesan dalam stimulus dan menambah kesan lain – Maksimum
Kepujian
3. Sekiranya murid
menghuraikan kesan selain daripada isi yang telah diberikan dalam stimulus – Maksimum
Baik
4. Sekiranya murid
menghuraikan selain daripada kesan – Maksimum Penguasaan Minimum
CADANGAN ISI:
A. Isi dalam stimulus :
· meningkatkan
pendapatan negara
B. Isi – isi lain :
Kesan Positif
· Meningkatkan industri
pelancongan negara
· Menawarkan peluang
pekerjaan
· Mempromosikan keunikan
seni dan budaya negara
· Membangunkan
infrastruktur negara
· Menarik pelabur asing
· Memupuk persefahaman
antara masyarakat sejagat
·
Meningkatkan imej negara
Kesan Negatif
· Kemunculan budaya asing
yang negatif
· Peningkatan kadar jenayah
· Meningkatkan pencemaran
· Kemusnahan flora dan
fauna akibat pembangunan
CADANGAN JAWAPAN:
KESAN KEMASUKAN PELANCONG ASING KE MALAYSIA
Pada era globalisasi ini, industri pelancongan menjadi salah satu sektor
penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara. Malaysia
merupakan antara destinasi pelancongan yang terkenal di dunia kerana memiliki
keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya dan kemudahan infrastruktur
yang moden. Statistik menunjukkan bahawa negara kita menerima sebanyak 25.9
juta kedatangan pelancong asing pada tahun 2017, sekali gus membuktikan
perkembangan positif sektor pelancongan negara. Kehadiran pelancong asing bukan
sahaja membawa pelbagai manfaat, malah turut mendatangkan beberapa kesan
negatif kepada negara. Oleh itu, kesan kehadiran pelancong asing ke negara kita
perlu dibincangkan secara menyeluruh.
Antara kesan utama kehadiran pelancong asing ialah dapat
meningkatkan pendapatan negara. Kehadiran mereka menyebabkan sektor pelancongan
berkembang pesat melalui perbelanjaan dalam bidang pengangkutan, penginapan,
makanan dan pembelian cenderamata. Semakin ramai pelancong asing yang datang ke
Malaysia, semakin banyak hasil pendapatan yang diperoleh oleh negara melalui
pertukaran mata wang asing. Sebagai contoh, kawasan pelancongan terkenal
seperti Pulau Langkawi dan Melaka menerima jutaan pelancong setiap tahun yang
menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan. Kesannya, pendapatan negara
meningkat sekali gus membantu pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Peribahasa Melayu ada menyebut, sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit yang
menggambarkan bahawa sumbangan pelancong asing mampu memberikan keuntungan besar
kepada negara. Tegasnya, sektor pelancongan memainkan peranan penting dalam
meningkatkan pendapatan negara.
Selain itu, kehadiran pelancong asing juga dapat
menawarkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan. Perkembangan industri
pelancongan menyebabkan banyak sektor memerlukan tenaga kerja seperti hotel,
restoran, pengangkutan dan pusat pelancongan. Hal ini secara tidak langsung
dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia. Sebagai
contoh, pembukaan hotel dan resort baharu di kawasan pelancongan telah
menyediakan peluang pekerjaan sebagai pekerja hotel, pemandu pelancong dan
peniaga kecil. Kesannya, taraf hidup masyarakat dapat ditingkatkan kerana
mereka memperoleh sumber pendapatan yang stabil. Kata tokoh terkenal, Confucius,
“Pilihlah pekerjaan yang kamu cintai, maka kamu tidak akan bekerja sehari pun
dalam hidupmu.” Jelaslah bahawa industri pelancongan mampu membuka peluang
pekerjaan yang luas kepada rakyat negara ini.
Walau bagaimanapun, kehadiran pelancong asing juga membawa
kesan negatif seperti kemusnahan flora dan fauna akibat pembangunan sektor
pelancongan. Pembinaan hotel, resort dan pusat peranginan secara berlebihan
boleh menyebabkan kawasan hutan dan habitat semula jadi musnah. Keadaan ini
mengancam kehidupan haiwan dan tumbuhan yang menjadi khazanah negara. Sebagai
contoh, pembangunan kawasan pelancongan di pulau-pulau peranginan kadangkala
menyebabkan pencemaran laut dan kerosakan terumbu karang. Kesannya,
keseimbangan ekosistem akan terganggu dan sumber alam semula jadi semakin
berkurangan ibarat, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,
pembangunan yang tidak terkawal boleh mendatangkan kemusnahan besar kepada alam
sekitar. Oleh itu, pembangunan sektor pelancongan perlulah dilakukan secara
lestari agar alam sekitar terus terpelihara.
Kesimpulannya,
kehadiran pelancong asing ke negara kita membawa pelbagai kesan positif dan
negatif. Antara kesan positifnya ialah meningkatkan pendapatan negara dan
menawarkan peluang pekerjaan, manakala kesan negatifnya pula termasuklah
kemusnahan flora dan fauna akibat pembangunan yang tidak terkawal. Semua pihak
perlulah bekerjasama dalam memastikan industri pelancongan berkembang secara
seimbang tanpa menjejaskan alam sekitar. Janganlah kita bersikap seperti
“menang sorak kampung tergadai” kerana terlalu mengejar keuntungan sehingga
mengabaikan kelestarian alam dan kesejahteraan negara.
0 Komen:
Catat Ulasan