| kredit: Libur |
ANALISIS SOALAN
Tema: Pelancongan
Kata Kunci / Fokus Soalan : Sebab-sebab rakyat Malaysia suka bercuti di dalam negara.
1. Murid perlu menghuraikan satu sebab (di dalam petikan) dan sebab-sebab lain rakyat Malaysia suka bercuti di dalam negara – Layak Cemerlang
2. Jika murid-murid tidak menghuraikan isi yang terdapat dalam petikan. – Maksimum Kepujian
3. Sekiranya murid menulis sebab-sebab rakyat Malaysia suka bercuti tanpa menyatakan dalam negara ini / Malaysia - Maksimum Baik
4. Jika murid menulis hanya satu sebab sahaja - Maksimum Baik
5. Jika murid menulis selain daripada sebab, contohnya usaha atau kesan - Maksimum Penguasaan Minimum
CADANGAN ISI:
• Menyumbang kepada pembangunan ekonomi (di dalam petikan)
• Kos perbelanjaan yang lebih rendah
• Keindahan alam semula jadi yang menarik
• Kemudahan pengangkutan yang baik
• Tidak menghadapi masalah bahasa dan budaya
• Faktor keselamatan dan kestabilan negara
CADANGAN JAWAPAN:
Platform pelancongan digital seperti Agoda telah melaporkan bahawa rakyat Malaysia semakin cenderung memilih destinasi pelancongan domestik untuk percutian akhir tahun. Fenomena ini menunjukkan perubahan ketara dalam corak perbelanjaan dan pilihan pelancong tempatan yang lebih mengutamakan destinasi dalam negara. Hal ini berlaku kerana masyarakat ingin menikmati keindahan di negara sendiri. Selain itu, pelbagai faktor lain turut mendorong peningkatan trend ini. Oleh itu, sebab-sebab rakyat Malaysia memilih pelancongan domestik wajar dihuraikan dengan lebih lanjut.
Pada pandangan kaca mata penulis, sebab utama adalah keinginan rakyat untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Apabila
rakyat melancong dalam negara, perbelanjaan mereka akan memberi manfaat terus
kepada industri pelancongan tempatan. Hal ini merangkumi sektor hotel, makanan,
pengangkutan dan perkhidmatan pelancongan yang lain. Sebagai contoh, pelancong
yang berkunjung ke Langkawi atau Sabah
akan membantu meningkatkan pendapatan pengusaha tempatan. Kesannya, ekonomi
setempat dapat berkembang dengan lebih pesat dan stabil. Tegasnya, amalan
melancong dalam negara ibarat sambil menyelam minum air kerana dapat menikmati
percutian sambil membantu ekonomi negara.
Selain itu, rakyat Malaysia juga memilih pelancongan
domestik kerana mampu menaikkan taraf hidup masyarakat tempatan. Aktiviti
pelancongan yang meningkat akan merancakkan perniagaan kecil dan sederhana di
kawasan pelancongan. Hal ini termasuklah penjualan makanan tempatan, kraftangan
dan perkhidmatan homestay yang menjadi sumber pendapatan penduduk. Sebagai
contoh, kawasan seperti Cameron Highlands dan Melaka menjadi tumpuan pelancong
yang secara tidak langsung membantu peniaga kecil meningkatkan pendapatan
mereka. Kesannya, taraf hidup masyarakat luar bandar dapat dipertingkatkan dan
jurang ekonomi dapat dikurangkan. Jelaslah bahawa pelancongan domestik
memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat.
Di samping itu, faktor lain yang mendorong rakyat memilih
destinasi tempatan ialah peluang pekerjaan yang semakin banyak dalam sektor
pelancongan. Industri ini memerlukan tenaga kerja dalam pelbagai bidang seperti
pemandu pelancong, pekerja hotel, peniaga makanan dan pengusaha produk
pelancongan. Sebagai contoh, pembukaan pusat pelancongan baharu seperti eco-tourism
dan taman tema telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada belia. Situasi
ini bukan sahaja mengurangkan kadar pengangguran, malah membantu meningkatkan
kemahiran tenaga kerja tempatan. Kata-kata hikmah ada menyebut bahawa, di mana
ada kemahuan, di situ ada jalan, yang menggambarkan peluang sentiasa terbuka
dalam industri ini jika dimanfaatkan dengan baik. Oleh itu, sektor pelancongan
domestik amat penting dalam menjana peluang pekerjaan negara.
Kesimpulannya,
peningkatan trend pelancongan domestik dalam kalangan rakyat Malaysia
disebabkan oleh keinginan menyumbang kepada ekonomi negara, meningkatkan taraf
hidup masyarakat dan mewujudkan peluang pekerjaan. Kerajaan serta masyarakat
perlu terus berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk memajukan sektor
pelancongan tempatan. Dengan sokongan berterusan, industri ini mampu menjadi
pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negara. Justeru, rakyat haruslah
menghargai keindahan negara sendiri dan menjadikannya pilihan utama ketika
bercuti agar Malaysia terus maju dan sejahtera.
0 Komen:
Catat Ulasan