Usaha

Usaha Tangga Kejayaan.

Ikhlas

Ikhlas diri dalam mencari Ilmu.

Tawakal

Berserah kepada Tuhan Selepas Berusaha.
 

.

Carian Dalam Blog

ANTOLOGI KOMSAS TINGKATAN 4 DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

 ANTOLOGI KOMSAS TINGKATAN 4

DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

Drama ini mengisahkan Aiman, seorang pelajar yang berusia 16 tahun yang memberikan pelbagai alasan untuk tidak menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Oleh sebab berasal daripada keluarga yang berada dan sudah biasa hidup dalam kemewahan, Aiman beranggapan bahawa PLKN mungkin akan menggugat zon keselesaannya. Walaupun ibu Aiman, Masnah memihak kepada Aiman agar tidak menyertai PLKN, namun ayahnya Khir Ghazali memberi galakan dan kata-kata perangsang kepada Aiman untuk menyertainya. Selain Khir Ghazali, watak posmen, Nora, Sundarani, Ah Tiau, Syuhada dan Cikgu Dahari turut memberikan dorongan kepada Aiman untuk menyertai Khidmat Negara.  Akhirnya, setelah melayari laman sesawang yang memaparkan kejayaan pelajar senior yang menyertai dan menerima anugerah PLKN , hati Aiman terbuka untuk menyertai PLKN dan dia bertekad untuk membuktikan sikap berdikari dan semangat cinta akan tanah air.

 

PEMIKIRAN

Sikap remaja yang mempunyai tanggapan negatif tentang PLKN. – Aiman berusaha untuk menggelakkan diri daripada menyertai PLKN.

 

PERSOALAN

1.         Sikap positif golongan remaja yang berminat untuk menyertai PLKN dan memberikan sumbangan kepada negara. Contoh: Nora, Sundarani, Ah Tiau dan Syuhada berasa seronok apabila mereka terpilih sebagai peserta PLKN dan nama mereka terpampang di papan kenyataan sekolah.

2.         Kesibukan dalam kalangan ahli

keluarga yang merenggangkan hubungan kekeluargaan. Contoh: Aiman sentiasa berasa kesunyian kerana ayahnya sibuk bekerja manakala ibunya Datin Masnah sibuk dengan urusan di luar dan kakaknya Dapnia sibuk dengan tugasannya di universiti.

3.         Sikap segelintir ibu bapa yang terlalu memanjakan anak. Contoh: Datin Masnah menyokong hasrat Aiman yang ingin mengecualikan diri daripada menyertai PLKN. Sebagai seorang ibu dan juga isteri kepada seseorang yang terpengaruh, beliau sepatutnya mendorong dan memberi motivasi kepada anaknya untuk berkhidmat  kepada negara.

4.         Peranan seorang guru dalam memberikan kesedaran dan mewujudkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar. Contoh: Cikgu  Dahari memberikan penerangan yang jelas kepada murid-muridnya agar mereka faham akan objektif dan pelaksanaan PLKN.

 

TEKNIK PLOT

1.         Monolog Dalaman. Aiman : Patutkah aku simpan surat ini atau aku buang saja? Hmm, kalau aku buang, nanti ada orang lain jumpa pula. Hah, baik aku bakar!. Tak ada kesannya nanti. Baik aku simpan dulu, cukup masa kalau aku tak berminat, baru aku bakar.

2.         Pemerian. Pada permulaan cerita pengarang menggambarkan keadaan keluarga Aiman yang hidup mewah dan kemewahan tersebut yang telah mengubah dirinya menjadi seorang remaja yang manja dan malas.

3.         Imbas Muka. Aiman bermimpi menyertai PLKN. Dalam program tersebut Aiman mendapati keadaan kem yang panas, makanan yang tidak menyelerakan, mandi air kolam sejuk dan membotakkan kepala. Hanya perkara yang negatif yang terlintas dalam fikirannya ketika bermimpi.

 

WATAK DAN PERWATAKAN

Watak utama - Aiman

·         Seorang remaja berusia kira-kira 16 tahun, berasal daripada keluarga yang berada

·         Seorang yang agresif.  -Contoh: bersifat kasar terhadap pembantu rumah yang melayannya dengan baik dan mesra

·         Seorang yang pemalas  - Contoh: segala kerjanya di rumah dibantu oleh orang gaji dan apabila berdepan dengan sesuatu masalah ,dia akan tidur.

·         Seorang yang mengagungkan nilai-nilai barat. - Contoh: ketika bermimpi tentang PLKN, Aiman meluahkan keinginannya untuk menikmati masakan Barat. Dia juga tahu lokasi Jempol dengan alasan selalu bercuti di luar negara.

 

Watak sampingan

1.         Khir Ghazali -Ayah kepada Aiman

·         Seorang yang bertanggungjawab.- Contoh: walaupun sibuk bekerja beliau mengambil berat terhadap Aiman. Apabila Aiman berdepan dengan masalah beliau mendengarnya dengan sabar dan cuba menyelesaikannya.

·         Seorang yang tegas. - Contoh: Apabila Aiman meminta Khir Ghazali membantunya mendapatkan pengecualian daripada PLKN, beliau bertegas untuk tidak membantunya. Hal ini adalah kerana beliau tahu bahawa PLKN akan banyak memanfaatkan Aiman

·         Seorang yang sensitif - Contoh: apabila isterinya bertegang leher dengannya untuk tidak menghantar Aiman ke PLKN, beliau berasa tersinggung lalu beredar meninggalkan tempat perbincangan mereka.

 2.        Masnah - Ibu kepada Aiman , Berpangkat Datin

·         Seorang yang suka berfikiran negatif -. Contoh: beranggapan bahawa PLKN membahayakan nyawa anaknya dan turut menyokong hasrat  anaknya untuk menghadiri PLKN

·         Seorang yang sanggup menyalahgunakan pengaruh untuk kepentingan sendiri.- Contoh: Datin Masnah meminta suaminya menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk mendapatkan pengecualian untuk anaknya daripada menghadiri PLKN.

3.         Cikgu Dahari -guru Aiman.

·         Terlibat dengan PLKN dalam penghasilan modul program Penghayatan Sastera dan budaya

·         Seorang yang berfikiran positif. -Contoh apabila Aiman menyatakan bahawa keselamatan peserta di dalam kem latihan tidak terjamin dan sastera dan budaya tidak penting dalam kehidupan zaman moden, Cikgu Dahari menafikan pendapat tersebut dengan  menerangkan bahawa keselamatan peserta sentiasa terjamin. Beliau juga menerangkan peranan sastera dan budaya dalam kalangan masyarakat.

·         Seorang yang sentiasa memberi galakan kepada anak murid. -Contoh: Apabila Nora memberitahu bahawa ramai pelajar terpilih sebagai peserta PLKN, Cikgu Dahari berasa teruja dan menyatakan bahawa Malaysia bertuah kerana mendapat remaja mereka yang sentiasa bersedia berkhidmat untuk negara.

 4.        Posmen

·         Seorang yang berfikiran positif. Contoh:- Apabila Aiman menyuruh posmen membuang surat Jabatan Latihan Khidmat Negara, posmen telah memberi nasihat kepada Aiman agar fikir tentang kemahiran dan pengalaman yang bakal diperoleh oleh Aiman melalui PLKN.

·         Seorang yang amanah.- Contoh: selepas memberi kata-kata perangsang kepada Aiman  tentang kebaikan PLKN, posmen meminta diri untuk meneruskan tugasnya menghantar surat kerana dia menganggap surat-surat tersebut adalah amanah yang diberikan kepadanya.

 

LATAR

Latar masa

1.         Alaf baru (Program PLKN – bermula tahun 2004)

2.         Waktu tengah hari. Contoh: Aiman menerima sepucuk surat ketika duduk bersantai di rumah - Nek Sinah menjemput Aiman menikmati makan tengah hari

3.         Waktu pagi - Contoh: Aiman berdialog bersama-sama rakan-rakan di sekolah tentang PLKN yang bakal dihadiri mereka

4.         Waktu petang  - Contoh: Selepas balik dari sekolah Aiman berbual bersama-sama dengan ayah dan ibunya di rumah.

Latar tempat

1.         Rumah Aiman.  -Contoh: peristiwa Khir Ghazali, Aiman dan Masnah berbincang tentang keengganan Aiman menghadiri PLKN

2.         Sekolah Menengah -Contoh: dialog antara Aiman, Nora, Sundarani, Ah Tiau dan Syuhada tentang senarai nama peserta PLKN yang dipaparkan di papan kenyataan.

Latar masyarakat

1.         Masyarakat bandar yang sibuk bekerja . -contoh: Khir Ghazali iaitu ayah Aiman digambarkan sebagai hartawan yang sibuk bekerja. Ibunya, Datin Masnah juga selalu tidak berada di rumah manakala kakaknya, Dapnia sibuk dengan tugasan di universiti.

2.         Masyarakat yang penyayang -Contoh: Walaupun Nek Sinah bekerja sebagai pembantu rumah di rumah Khir Ghazali namun dia amat menyayangi Aiman dan memasak makanan kegemarannya serta melayannya seperti cucu sendiri.

3.         Masyarakat yang amanah dalam menjalankan tanggungjawab -Contoh: Posmen dalam drama ini mengedarkan surat kepada penerima dengan penuh tanggungjawab kerana dia berpendapat bahawa surat itu adalah amanah masyarakat terhadapnya.

4.         Masyarakat yang sombong dan mementingkan kekayaan. -Contoh: Aiman berkelakuan biadap terhadap pembantu rumahnya yang sentiasa bersikap lemah lembut. Nek Sinah berasa kesal dengan tingkah laku Aiman dan ahli keluarganya yang hanya mementingkan wang ringgit

5.         Masyarakat yang berfikiran positif. - Contoh: Walaupun Khir Johari  mempunyai pengaruh dan kedudukan untuk membantu Aiman mengecualikan diri daripada menyertai PLKN, namun Khir Ghazali mahu anaknya menyertai program tersebut kerana beliau tahu bahawa anaknya akan memperoleh banyak manfaat daripada PLKN. Cikgu Dahari menerangkan tentang kebaikan PLKN kepada pelajar-pelajarnya agar dapat mengikiskan tanggapan negatif mereka terhadap program tersebut dan memberikan sumbangan mereka kepada negara.

 

GAYA BAHASA

1.         Sinkope. Contoh: kata singkatan ‘tak’ dalam ayat. Saya tak berminat langsung (m.s 3)

2.         Inversi. Contoh: amanah orang semua surat ini (m.s 4)

3.         Peribahasa. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. (m.s 7)

4.         Bahasa asing. Contoh: penggunaan perkataan bahasa Inggeris daddy, mummy (m.s 14)

5.         Simile. Contoh: perkataan ‘macam’ dalam ayat, Nak angan-angan macam Mat Jenin

 

NILAI

1.         Nilai amanah. Contoh: Posmen amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya menghantar surat

2.         Nilai kasih sayang. Contoh: Nek Sinah melayan Aiman seperti cucunya sendiri dan masak makanan kegemarannya.

3.         Nilai bertanggungjawab. Contoh: walaupun sibuk bekerja, Khir Ghazali meluangkan masa mendengar masalah Aiman.

4.         Nilai cinta akan tanah air. Contoh: apabila Aiman menyatakan bahawa dia tidak tahu di mana terletaknya Jempol kerana selalu bercuti di luar negara, kawannya Sundarani menegurnya bahawa kita perlu menghargai tanah air kita

 

PENGAJARAN

1.         Kita haruslah menghormati orang yang lebih tua daripada kita. Contoh: Aiman biadap terhadap pembantu rumahnya yang menganggapnya sebagai cucu sendiri

2.         Kita mestilah bersikap amanah dalam menjalankan tugas. Contoh: Posmen menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang posmen dengan penuh amanah

3.         Kita perlulah memberi sokongan kepada program kerajaan. Contoh: Masnah tidak memberi galakan kepada anaknya untuk menyertai PLKN malah memberitahu suaminya bahawa program tersebut mungkin membahayakan nyawa anaknya. Contoh: Cikgu Dahari memberi galakan dan kata-kata perangsang kepada anak-anak muridnya agar menyertai PLKN dan berkhidmat untuk negara.

 

0 Komen:

Catat Ulasan

Berilmu

“Waktumu terbatas, jadi jangan sia-siakan dengan menjalani hidup orang lain. Jangan terjebak oleh dogma – yaitu hidup dengan hasil pemikiran orang lain.” – Steve Jobs

Beriman

“Teruslah tersenyum, karena hidup adalah hal yang indah dan ada banyak hal untuk disyukuri.” — Marilyn Monroe

Beramal

“Usaha dan keberanian tidak cukup tanpa tujuan dan arah perencanaan.” - John F. Kennedy