ANTOLOGI KOMSAS TINGKATAN 4
Kaduk, Ayam dan Raja
(Zurinah Hassan)
Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja mengisahkan perjuangan cucu Kaduk iaitu Hakim yang
berusaha mendapatkan tanah milik arwah datuknya yang diambil oleh Raja.
Hakim yang merupakan lulusan universiti telah meminta bantuan sahabatnya iaitu
Azam seorang lulusan bidang undang-undang untuk memfailkan kes tuntutan tanah
seluas empat ekar itu. Melalui penghujahan Azam, beliau telah berjaya meyakinkan
mahkamah bahawa Kaduk menyerahkan ayam Kunani kepada raja tanpa kerelaannya
hatinya. Hal ini menyebabkan kemenangan berpihak kepada Hakim.
Setelah itu, Hakim merancang untuk menternak ayam secara pertanian kontrak
dengan syarikat besar yang menubuhkan cawangan di Malaysia dengan nama
Rangkaian Jasa Agrikultur atau singkatannya RAJA. Hakim menternak ayam bagi
menyahut seruan kerajaan yang banyak memberi insentif kepada penternak.
Kesungguhannya terbukti apabila Hakim telah membuat pinjaman bank melebihi dua
ratus ribu ringgit. Hakim terpaksa meminda kertas kerjanya beberapa kali dan
hasil bantuan seorang Yang Berhormat telah menyebabkan bank meluluskan
pinjaman tersebut untuk membina sebuah reban ayam tertutup yang dilengkapi
sistem penyaman udara serta peralatan memberi makanan secara semi automatik.
Setelah kelulusan bank diperoleh, satu perjanjian kontrak di meterai antara
Hakim dan syarikat RAJA, maka projek penternakan ayam pun bermula.
Konflik mula timbul setelah setahun Hakim menjadi penternak ayam. Sahabat
karibnya Azam telah pulang dari luar negara kerana berkursus dan terus berjumpa
dengan Hakim. Hakim telah menceritakan masalah yang dialaminya sepanjang dia
menjadi penternak ayam iaitu terdapat rungutan orang kampung terhadap lorinya
yang telah menyebabkan keadaan jalan kampung bertambah teruk. Selain itu, hakim
menjelaskan kepada Azam bahawa hidupnya dibelenggu hutang dengan menunjukkan
penyata hasil jualan ayam dari rebannya yang bernilai lapan puluh lima
ribu ringgit. Namun begitu hanya tiga belas ribu ringgit sahaja yang
diterimanya kerana selebihnya digunakan untuk membayar hutang kepada syarikat
RAJA. Jumlah wang yang diterima itu pula terpaksa digunakan untuk
membayar pelbagai kos seperti bil elektrik, bil air, hutang bank dan
sebagainya. Hakim menzahirkan penyesalannya tentang memilih ternakan kontrak
yang dianggapnya situasi menang menang tetapi keadaan yang sebaliknya pula
berlaku. Hakim mula menyedari bahawa dirinya telah dieksploitasi oleh
Syarikat RAJA melalui harga dedak dan ubat untuk ayam ternakannya sehingga
hutangnya meningkat. Hakim menganggap dirinya menerima nasib yang sama seperti
nasib datuk yang tertipu oleh orang yang memiliki kuasa.
TEMA
Tema cerpen ini ialah
kesungguhan seorang anak muda menceburi bidang keusahawanan. Sebagai contoh
Hakim berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalankan projek ternakan ayam
walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.
PERSOALAN
1. Persoalan keberanian
menuntut hak. Sebagai contoh Hakim berani menuntut tanah milik datuknya dengan
memfailkan kes di mahkamah melalui sahabatnya, Azam.
2. Persoalan memahami selok-belok
bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim mendapat bantuan agensi kerajaan
sebelum menjalankan bidang penternakan ayam yang dirancangnya.
3. Persoalan ketaatan terhadap
pemerintah. Sebagai contoh Kaduk mentaati perintah raja dengan menukarkan ayam
Kunani dengan ayam raja atas perintah baginda semasa bersabung ayam.
4. Persoalan penindasan
golongan yang berkuasa terhadap golongan yang lemah. Sebagai contoh, syarikat
RAJA mengambil kesempatan dengan menentukan harga dedak dan ubat ayam ternakan
sehingga menyebabkan Hakim menanggung beban hutang.
TEKNIK PLOT
1. Pemerian
Pengarang
menggambarkan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh Hakim untuk membina reban
ayam tertutup. Sebagai contoh dia memulakan segala kerja, menebang pokok dan
meratakan tanah, berlori-lori tanah telah diangkat untuk menambak kawasan yang
memang rendah dan berair itu.
2. Dialog
- “Dah berapa kali kau menjual ayam?” tanya Azam
3. Imbas muka - Hakim pernah
berseloroh, “Kalau aku berjaya menebus kembali tanah itu, aku nak dirikan
sebuah memorial.”
4. Imbas kembali - “Kau ingat kan , tanah inilah yang kita
tuntut di mahkamah dengan susah payah.”
5. Kejutan - Nilai jualan dari rebanku ialah lapan puluh
lima ribu ringgit. Tetapi akhirnya hanya tiga belas ribu sahaja yang masuk ke
kantungku. Tujuh puluh dua ribu adalah untuk RAJA kerana membayar harga
anak-anak ayam, harga dedak dan ubat-ubatan. Dari tiga belas ribu itulah aku
membayar hutang bank, gaji pembantu, upah penangkap ayam, membayar bil elektrik
dan bil air yang cukup tinggi dan segala kos penyelenggaraan yang lain.
WATAK DAN PERWATAKAN
1. Hakim
·
Anak kepada Hassan dan
cucu kepada Kaduk.
·
Seorang yang berani
memperjuangkan hak. Sebagai contoh Hakim berani menuntut tanah milik datuknya
dengan memfailkan kes di mahkamah melalui sahabatnya, Azam.
·
Seorang yang gigih
menceburi bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim mendapat bantuan agensi
kerajaan sebelum menjalankan bidang penternakan ayam yang dirancangnya.
·
Seorang yang tabah
menghadapi masalah. Sebagai contoh Hakim tabah mengharungi cabaran akibat
kegagalannya dalam bidang keusahawanan.
·
Seorang yang rajin
menuntut ilmu. Sebagai contoh Hakim berjaya melanjutkan pelajaran ke
universiti.
2. Azam.
·
Sahabat baik Hakim semasa
di universiti.
·
Seorang yang suka membantu
orang lain. Sebagai contoh Azam membantu Hakim dengan menjadi peguamnya
dalam kes tuntutan tanah milik datuknya.
·
Seorang yang rajin
menuntut ilmu. Sebagai contoh walaupun Azam sudah memiliki ijazah dalam
bidang undang-undang namun dia sanggup menghadiri kursus selama setahun di luar
negara untuk menambah pengetahuannya.
·
Seorang yang prihatin.
Sebagai contoh Azam sanggup mendengar masalah-masalah yang dihadapi oleh Hakim
dalam usaha penternakan ayamnya kerana dia prihatin terhadap sahabatnya itu.
3. Kaduk.
·
Datuk kepada Hakim dan
ayah kepada Hassan.
·
Seorang yang suka
bersabung ayam. Sebagai contoh Kaduk bersabung ayam dengan raja.
·
Seorang yang mentaati
raja. Sebagai contoh Kaduk sanggup menyerahkan ayam Kunani apabila diminta oleh
raja.
4. Raja
·
Seorang yang suka
bersabung ayam. Sebagai contoh raja bersabung ayam dengan Kaduk.
·
Seorang yang suka
mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain. Sebagai contoh raja telah
menukarkan ayamnya dengan ayam kunani Kaduk untuk memenangi pertandingan itu.
LATAR
Latar masa
1. Zaman lampau. Sebagai contoh Kaduk pernah bersabung ayam
dengan ayam raja.
2. Zaman selepas merdeka.
Sebagai contoh Hakim didedahkan oleh kerajaan melalui Dasar Ekonomi Baru
terhadap projek penternakan ayam secara kontrak dengan syarikat RAJA.
3. Dalam masa setahun.
Sebagai contoh Hakim mengalami kerugian dalam masa setahun dia menjalankan
penternakan ayamnya.
Latar tempat.
1. Mahkamah. Sebagai contoh
kes tuntutan Hakim terhadap tanah milik datuknya dijalankan di mahkamah.
2. Tanah Kaduk. Sebagai contoh Hakim menjalankan projek
ternakan ayamnya di tanah Kaduk.
3. Kampung. Sebagai contoh
penduduk kampung mendakwa lori-lori Hakim telah merosakkan jalan kampung
mereka.
4. Universiti. Sebagai contoh Hakim dan Azam melanjutkan
pelajaran di universiti yang sama.
Latar masyarakat
1. Masyarakat yang
mementingkan bidang keusahawanan. Sebagai contoh para menteri menyeru rakyat
menceburi bidang keusahawanan melalui pertanian yang mengeluarkan lebih banyak
makanan.
2. Masyarakat yang sensitif
terhadap keadaan sekeliling. Sebagai contoh penduduk kampung merungut apabila
mendapati jalan di kampung mereka rosak akibat dilalui oleh lori-lori Hakim.
3. Masyarakat yang bekerja
untuk mencari rezeki. Sebagai contoh Hakim mengambil pekerja-pekerja untuk
bekerja di projek penternakan ayamnya.
4. Masyarakat yang mengamalkan
sistem feudal. Sebagai contoh wujud dua golongan iaitu golongan pemerintah dan
golongan rakyat semasa hayat Kaduk.
GAYA BAHASA
1. Sinkope - kau, ku
2. Pengulangan kata - Sebagai
contohnya: Kami sama-sama membela ayam dan
kami sama-sama menggadai tanah. Kami sama-sama berada di
bawah cengkaman orang berkuasa.
3. Kata ganda - Sebagai contohnya: bangunan-bangunan, sama-sama
dan tanah-tanah.
4. Bahasa Arab - Sebagai contoh: Assalamualaikum, Alhamdulillah
Bahasa Inggeris - Sebagai
contoh Global Chicken
5. Simile - Sebagai contoh :
Bank akan merampas tanahku tak ubah seperti raja merampas tanah datuk
ku dahulu.
6. Personifikasi. Sebagai
contoh; Setiap musim syarikat payung akan mengatur lori-lori untuk mengangkut
ayam-ayam yang sudah besar.
NILAI
1. Nilai keadilan. Sebagai
contoh hakim menuntut keadilan di mahkamah bagi pihak datuknya yang telah
ditipu.
2. Nilai keberanian. Sebagai
contoh hakim berani menceburi bidang keusahawanan yang tidak pernah
dilakukannya sebelum ini.
3. Nilai kegigihan. Sebagai
contoh Hakim gigih menjadi penternak ayam walaupun dirinya terpaksa menanggung
hutang yang banyak.
4. Nilai keprihatinan. Sebagai
contoh Azam sangat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh hakim dengan
memberi semangat kepadanya untuk terus berjaya menjadi penternak moden sebelum
dia berangkat ke luar negara untuk berkursus.
5. Nilai tolong-menolong.
Sebagai contoh Azam sanggup menjadi peguam Hakim untuk menolongnya mendapatkan
hak tanah seluas empat ekar milik datuk hakim.
PENGAJARAN
1. Kita hendaklah menuntut hak
kita yang dirampas oleh orang lain. Sebagai contoh Hakim menuntut hak
milik tanah datuknya yang diambil raja di mahkamah.
2. Kita hendaklah gigih
berusaha dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Sebagai contoh Hakim gigih berusaha
untuk mendapatkan kelulusan bank bagi menjayakan projek penternakan ayam
walaupun terpaksa meminda kertas projeknya beberapa kali sebelum bank
meluluskan permohonannya dengan bantuan Yang Berhormat.
3. Kita hendaklah berani
menceburi bidang perniagaan. Sebagai contoh hakim berani mengusahakan tanah
peninggalan datuknya dengan menjalankan penternakan ayam untuk dijual.
4. Kita hendaklah
menolong golongan yang memerlukan bantuan. Sebagai contoh Azam membantu
sahabatnya dengan menjadi peguam bagi mendapatkan hak milik tanah datuk Hakim.
5. Kita janganlah mengambil
kesempatan terhadap golongan yang lemah. Sebagai contoh Syarikat RAJA mengenakan bayaran yang tinggi terhadap makanan dan
ubat ayam yang dibeli oleh Hakim untuk mengaut keuntungan yang lebih.
0 Komen:
Catat Ulasan