Teks Syarahan
Amalan Merokok Membahayakan Kesihatan
Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin
Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Anbiya’I Wal Mursalin
Saidina
Muhammadin Waala Aalihi Wasahbihi Ajmain, Ammabaq
Salam sejahtera bertatah intan kemesraan saya
ucapkan kepada tuan pengerusi majlis, yang berbahagia para hakim yang arif lagi
bijaksana, penjaga masa yang setia dengan jam randiknya, barisan pendidik yang
tidak jemu-jemu mencurahkan ilmu serta sidang hadirin yang dikasihi sekalian.
Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh
Anak kedidi terbang rendah,
Singgah berteduh di pohon
bidara,
Izinkan hamba menyampaikan
madah,
berpaksi ilmu dalam bicara,
Pada hari yang
nirmala ini, berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan syarahan saya
yang berbunyi “Amalan Merokok membahayakan kesihatan”.
Hadirin sekalian,
Sebelum kata
melancarkan bicara, izinkan saya menginterpretasikan rangkai kata dan frasa
yang terkandung dalam syarahan saya. Amalan merokok merupakan satu perbuatan
menghisap asap rokok yang dilakukan secara berterusan manakala frasa
membahayakan kesihatan pula bermaksud memudaratkan atau membinasakan sistem
tubuh badan. Atas kesedaran itu, Pihak kerajaan Malaysia telah memperuntukkan
RM17 juta untuk kempen ‘Tak Nak’ demi menentang tabiat merokok di seluruh
negara. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan juga menghadapi pelbagai halangan
yang menyekat usaha tersebut dan trend ini amat membimbangkan semua pihak.
Allah S.W.T telah berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat ke-195,
“Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri
ke dalam kebinasaan”.
Melalui ayat
ini jelaslah, sebagai seorang yang rasional, perkara-perkara yang mampu
memudaratkan diri perlulah dihindar demi mendapatkan keredaan Allah S.W.T.
Maka hari ini saya akan kongsikan hujah saya
mengapa rokok membahayakan kesihatan.
Saudara-saudari yang dihormati sekalian,
Hujah saya yang pertama, “Merokok Penyebab Penyakit Kronik”. Amalan merokok
menyumbang pelbagai masalah kesihatan dalam kalangan penduduk Malaysia.
Statistik telah menunjukkan bahawa bilangan kematian yang berpunca daripada
barah paru-paru dianggarkan sebanyak 14733 orang bagi tempoh antara tahun 1995
hingga tahun 2000. Hakikatnya, perokok akan diserang pelbagai penyakit yang
berpunca daripada tembakau. Mereka akan mengalami penyakit sekatan pulmonary
kronik (COPD) yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas, batuk berkahak,
dan memberikan kesan kepada jantung. Hal ini demikian kerana mereka akan
menyimpan satu persepuluh partikel asap dalam jantung mereka dan menggandakan
risiko mati padahal Allah telah berfirman dalam surah An-Nisa ayat ke-29:
“Dan janganlah kamu membunuh dirimu,
sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu“
Tegasnya, seseorang yang kuat merokok lebih terdedah kepada risiko maut
berbanding dengan orang lain yang tidak merokok.
Hadirin yang
dirahmati Allah sekalian,
Hujah saya yang kedua, “Merokok Mengancam Pembentukan Generasi Masa Depan”.
Selain memberi kesan kepada perokok, merokok juga membawa kesan buruk kepada
orang lain. Orang yang tidak merokok boleh juga diserang penyakit apabila
terhidu asap tembakau rokok yang dihembus keluar oleh perokok. Hal ini demikian
kerana kandungan asap tembakau ini mengandung bahan kimia yang beracun juga.
Manakala, merokok dalam kalangan perempuan yang mengandung boleh mencacatkan
proses pembesaran bayi di dalam rahim. Bahan kimia yang terkandung dalam asap
rokok boleh memberikan kesan kepada kesihatan bayi dalam kandungan yang kurang
daya tahan. Akibatnya, anak yang dikandung itu mungkin akan dilahirkan cacat
tubuh badan. Bayi-bayi berkenaan turut terdedah kepada serangan penyakit
paru-paru, batuk-batuk, selesema, dan sakit kerongkong. Kesemuanya ini
merupakan kesan-kesan perokok terhadap orang di sekelilingnya.
Hadirin
sekalian.
Hujah saya yang terakhir pula ialah “Merokok Penyebar Bunga Ketagihan”. Nabi Muhammad S.A.W bersabda, yang
diriwayatkan oleh Imam Ahamaddan Abu Dawud dari Ummi Salamah bahawasanya
“Terlaranglah segala sesuatu yang memabukkan dan melemaskan atau menurunkan
semangat”. Hal ini juga dipersetujui oleh Imam besar Al Azhar Mesir, Syaikh
Mahmud Syaltut dengan menyatakan bahawa rokok itu adalah makruh, bahkan haram
digunakan. Nikotin yang terdapat dalam rokok mampu memberikan ketagihan seperti
juga heroin dan kokain. Seperti yang diketahui, seorang perokok akan kecanduan
dengan rokok apabila tidak memilikinya. Kajian makmal telah membuktikan bahawa sebatang
rokok mengandungi karsinogen iaitu penyebab kepada penyakit barah. Sementelahan,
sesetengah perokok sudah tertagih terhadap rokok dan susah untuk berhenti
walaupun telah cuba beberapa kali. Kebanyakan perokok pula tidak dapat mengawal
nafsu mereka justeru mereka tidak berhasrat untuk menghentikannya. Dengan itu,
keinsafan diri di peringkat tertinggi amat diperlukan kerana tiada cara yang
paling berkesan untuk menghentikan ketagihan.
Hadirin
sekalian,
Intihanya, tabiat merokok sememangnya merupakan tabiat yang buruk dan harus
dihapuskan. Walter B.Pitkin ada berkata, Jangan menyesali kegagalan yang
dialami dengan menuduh atau menyalahkan orang lain, tetapi akuilah sesungguhnya
kegagalan itu adalah kerana pembuatan sendiri. Kata-kata itu sengaja dipetik
untuk memberitahu bahawa mereka gagal untuk berhenti merokok ibarat orang yang
gagal dalam melawan dengan nafsu. Hal ini demikian kerana tabiat merokok
sendiri merupakan halangan yang susah disekat oleh kerajaan. Dengan kurangnya
perokok di negara kita, maka kadar kematian rakyat kita akibat tabiat merokok
dapat dikurangkan dan suasana yang bebas daripada pencemaran udara turut
dihasilkan. Dengan ini, negara kita tidak akan kehilangan golongan yang
produktif dalam pembangunan negara.
Sekian, terima kasih.
0 Komen:
Catat Ulasan