ANTOLOGI KOMSAS TINGKATAN 4
JAKET KULIT
KIJANG DARI ISTANBUL ( Maskiah Haji Masrom )
Mengisahkan Aku melancong
ke negara Turki sambil mencari cenderahati untuk di bawa pulang ke Malaysia. Pelbagai
barangan yang tersenarai untuk dibeli kepada rakan-rakan serta dirinya sendiri.
Namun dirinya hanya tertarik dengan buku-buku berbanding barang-barang hiasan
yang lain. Sejumlah wang telah disediakan dan diperuntukkan untuk pembelian
cenderahati tersebut serta sedikit wang kecemasan untuk dirinya. Beliau juga
telah dinasihatkan oleh pemandu pelancong dan beberapa panduan serta pantang
larang ketika berbelanja di Istanbul. Aku serta rakan-rakannya berasa sukar
untuk menawar harga barangan yang hendak dibeli kerana tiada tanda harga
dipamerkan dan harga barangan hanya akan diberitahu jika ditanya.
Melintasi sebuah kedai menjual jaket kulit, Aku terpaku pada sepasang sarung
tangan kulit berwarna hitam di rak cermin. Aku mengimbas akan abangnya
yang menunggang motosikal pergi balik kerja. Andai ada sarung tangan kulit,
tentu tangan Abang Longnya itu tidak terdedah pada terik matahari. Pemuda Turki
seakan dapat membaca isi hati menunjukkan sarung tangan kulit itu namun Aku
tidak berani mengambilnya kerana tidak mengetahui akan harganya. Hajah Normah
dan dan Dr. Liza tertarik dengan harga jaket berwarna kuning keemasan yang
dibeli oleh Haji Helmi dan isterinya dengan harga yang murah berbanding
kedai-kedai lain. Aku tiada pilihan mengikut rakan-rakannya masuk ke kedai
tersebut. Kedainya tidaklah begitu luas namun mampu menempatkan sepuluh orang
pelanggan pada satu-satu masa dan mempunyai beratus-ratus helai jaket kulit
beraneka warna dan rupa bergantungan kemas di dalam rak berhawa dingin. Aku dan
rakannya dilayan mesra umpama selebriti. Pekedai tanpa putus asa memujuk Aku
agar membeli jaket kulit kijang, namun Aku masih belum berniat untuk mencari
pengganti jaket kain yang telah lama berkhidmat kepadanya. Namun, kerana ingin
mengambil hati rakan-rakannya atau terhutang budi kerana secawan teh epal, Aku
cuba mengenakan jaket kulit tersebut. Aku tersentak dengan harga yang
disebutkan kerana dia tidak mempunyai wang yang banyak untuk membeli jaket
kulit kijang yang lembut itu. Dua rakannya itu telah membayar harga jaket
pilihan mereka. Aku dengan kata-kata berbudi bahasa mengambil keputusan untuk
tidak membeli jaket tersebut. Wajah pekedai bertukar masam dan marah dengan
tindakan Aku dan mengeluarkan kata-kata kesat. Perjalanan melawat Egyptian
Market, Aku didatangi seorang remaja kurus dan bercakap separuh berbisik
menjual barangan Black market. Melewati rakan Aku, Kak Chah dan Shahmeem,
lelaki dewasa bertubuh tegap iaitu seorang polis menangkap remaja tersebut atas
kesalahan menjual barangan Black market. Ketika beratur menaiki feri
menyeberangi Selat Bhosporus, seorang lelaki tua dengan berani meletakkan
sehelai jaket kulit berwarna hitam di lengan Aku. Rakan Aku, Shahmeem
menunjukkan minat dan membeli dengan harga AS$ 120, namun tidak sesuai
dengannya apabila dipakai. Shahmeem menjual pula kepada Aku dengan harga
AS$100. Aku terpaku namun dapat menggembirakan hati Shahmeem. Aku juga
menggambarkan tidak praktikalnya jaket itu digunakan di Malaysia, tidak sesuai
dipakai dengan cuaca di Malaysia. Perlu dijaga dengan rapi, tidak boleh dilipat
sembarangan, kulitnya tidak tahan lasak jika koyak pula tidak dapat dijahit
dengan benang. Jelas sekali Aku terlihat lebih seekor Kijang akan dibunuh untuk
mendapatkan sehelai jaket kulit. Akhirnya Aku berhasrat untuk
menggembirakan orang lain. Dia akan menjual jaket itu dan wang jualan akan
didermakan kepada mana-mana zoo yang mempunyai kandang kijang, sebagai tanda
muhibah terhadap kijang-kijang yang terkorban demi gaya hidup yang penuh dengan
kemodenan.
TEMA
Pengalaman seorang
pelancong yang suka melancong serta terjerat dengan pembelian jaket kulit
kijang yang tidak disengajakan demi menjaga hati dan kegembiraan penjual jaket,
rakannya serta dirinya demi mengelakkan pembunuhan haiwan-haiwan yang
dilindungi demi kelangsungan kehidupan moden.
PERSOALAN
1. Perasaan kasih dan sayang
terhadap kehidupan haiwan-haiwan eksotik.
Contoh:- Aku berasa kasihan terhadap haiwan
kijang yang terpaksa menjadi korban kerana kulitnya.
2. Sikap berbudi bahasa sesama
insan tanpa mengira bangsa, agama dan negara.
Contoh:- Aku melahirkan
kata-kata yang cukup berbahasa kerana tidak mahu menyakitkan hati pekedai Turki
itu.
3. Kewajaran memberikan
layanan serta ramah mesra terhadap pelanggan atau pelancong.
Contoh:- Pekedai Turki
telah memberikan layanan yang mesra kepada pelanggannya dengan memberikan
layanan yang baik serta memberikan minuman percuma kepada pelanggannya.
4. Kepandaian sikap puji memuji dalam
kalangan masyarakat Turki. Contoh:- Masyarakat Turki memang pandai memuji
pelanggannya demi melariskan jualan.
5. Kebijaksanaan dalam
menguruskan perbelanjaan kewangan.
Contoh:- Aku telah membuat
senarai nama barangan dan cenderahati yang akan dibeli untuk dibawa pulang ke
Malaysia.
TEKNIK PLOT
1. Imbas Muka
-Contoh: Aku tidak dapat membayangkan jika aku menjadi wanita tua yang
menjual makanan burung di situ..
2. Imbas Kembali
-Contoh: Entah mengapa aku tiba-tiba teringat akan Abang Long yang
menunggang motosikal pergi balik kerja.
3. Saspens
-Contoh: Perbalahan antara aku dan pekedai Turki membuatkan aku ingin
:melangkah keluar tetapi dihalang oleh pekedai Turki dengan wajahnya yang
kelihatan marah.
4. Monolog
-Contoh: Aku terpaku seketika. Apakah jawapan yang lebih baik pada
saat itu selain yang dapat menggembirakan Shahmeem?
5. Dialog - Contoh: “Dah
beli, ke? Ok tak harganya? Tanya kak Chah. “Ok juga. Dah survey tiga, empat
kedai. Kedai ni ok. Dapat harga AS$150 sat jaket,” terang Haji Helmi sambil
menunjukkan beg plastiknya.
WATAK DAN PERWATAKAN
Watak Utama - Aku ( Mas )
1. Seseorang gemar membaca. - Aku
gemar membaca kerana dia akan leka membeli dan membaca buku jika terjumpa kedai
yang menjual buku.
2. Baik dan murah hati. - Aku
begitu bermurah hati dengan memberikan wang sebanyak lima Lira kepada wanita
tua yang menjual makanan burung walaupun harga sepiring hanya satu Lira.
3. Berbudi bahasa. - Aku dengan
sebaik mungkin berbudi bahasa kepada pekedai Turki kerana tidak mahu membeli
jaket kulit agar pekedai itu tidak berasa kecil hati.
4. Tidak boros berbelanja. - Aku
tidak terpengaruh dengan layanan mesra pekedai Turki agar membeli jaket kulit
kijang itu.
5. Sayang akan haiwan. - Aku
begitu menyayangi haiwan seperti kijang kerana dia berhasrat untuk memberikan
wang hasil jualan jaket kulit kijang kepada mana-mana zoo yang mempunyai
kandang kijang agar dapat memelihara haiwan tersebut daripada menjadi korban
arus pemodenan.
6. Bersederhana apabila
berbelanja. - Aku telah membuat senarai barangan yang hendak dibeli agar tidak
melebihi perbelanjaan yang telah diperuntukkan.
Watak Sampingan
1. Pekedai Turki–
·
Pemuda berkulit putih,
mempunyai kumis. (misai)
·
Fasih berbahasa Inggeris.-
Pekedai Turki berbahasa Inggeris apabila berkomunikasi dengan pelanggan yang
datang ke kedainya.
·
Peramah dan mesra :Pekedai
Turki kelihatan begitu peramah dan mesra ketika melayan pelanggan di kedainya.
·
Tidak berputus asa. Pekedai
Turki tidak berputus asa memujuk pelanggannya membeli barang jualannya.
·
Pandai mengambil hati
:Pekedai Turki sangat pandai mengambil hati pelanggannya dengan memberikan
kata-kata manis.
·
Cepat marah :Pekedai Turki
cepat naik amarah kerana pelanggannya tidak mahu membeli barangannya walaupun
telah mencubanya.
2. Polis Turki
·
Lelaki dewasa, bertubuh
tegap, berbaju T dan berseluar panjang
·
Berwajah serius –Polis
Turki kelihatan serius ketika dia menjalankan tugasnya apabila dia menangkap
seorang remaja yang menjual barangan pasaran gelap.
3. Shahmeem
·
Kawan kepada Aku
·
Mudah terpengaruh
:Shahmeem terpengaruh dengan sehelai jaket hitam yang dijual secara pasaran
gelap tanpa mengetahui ukuran saiznya.
·
Murah hati :Shahmeem
bermurah hati dengan mengurangkan sebanyak AS$20 daripada harga asal
pasaran gelap kepada Aku kerana jaket kulit kijang itu tidak padan dengannya.
LATAR
Latar tempat.
1. Hotel Senator – tempat penginapan aku dan rakan-rakannya
ketika melancong di Turki.
2. Kedai menjual jaket kulit
–tempat di mana aku terpaku ketika melihat sepasang sarung tangan kulit
berwarna hitam di rak cermin.
3. Pigeon Valley – Aku bersedekah kepada pengait benang yang
kesejukan.
4. Gunung Bolu – Aku bersedekah kepada seorang kanak-kanak
bersama-sama datuknya yang buta.
5. Masjid Ulu – Aku bersedekah kepada seorang lelaki yang cacat
anggota.
6. Masjid Biru – tempat Aku menunaikan solat jamak.
7. Egyptian Market – tempat membeli belah yang mempunyai
dataran burung merpati jinak.
8. Terminal feri Selat
Bhosporus – Shahmeem membeli jaket kulit hitam daripada lelaki tua di pasaran
gelap dengan harga AS$120.
Latar masa
1. Malam – Kak Chah teman
sebilik Aku tidur awal kerana kepenatan selepas berjalan mengelilingi kota
bersejarah.
2. Siang –Aku , Kak Chah dan Shahmeem berada di dalam kedai
menjual jaket kulit.
Latar masyarakat
1. Masyarakat elit – Ahli rombongan yang terdiri daripada guru
dan pensyarah.
2. Masyarakat yang berkerjaya
untuk menampung kehidupan seharian. Encik Yuksel bekerja sebagai pemandu
pelancong dan pekedai Turki yang menjual barangan kulit.
3. Masyarakat tidak
berkemampuan. -Wanita tua yang menjual makanan burung dan remaja kurus serta
lelaki tua yang menjual barangan pasaran gelap,
4. Masyarakat yang suka melancong. -Aku serta 30 orang ahli
rombongan telah melawat negara Turki.
5. Masyarakat yang suka akan
kemewahan. -Haji Helmi dan isterinya cikgu Juliah telah membeli sebanyak empat
helai jaket kulit berwarna kuning keemasan dengan harga AS$150 sehelai.
6. Masyarakat yang tidak
menyayangi haiwan. -Seekor atau lebih daripada seekor kijang akan dibunuh untuk
mendapatkan sehelai jaket kulit yang menjadi lambang pendewaan dan pemujaan
diri.
GAYA BAHASA
1. Kata ganda - cenderamata untuk pensyarah-pensyarah yang
banyak berjasa membimbingku semasa melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana;
2. Bahasa Asing –
a) bahasa inggeris (“Hello lady! …. “ ,
“Please… “ bahasa Arab. – Assalamualaikum, solat jamak, al- mathurat
3. Sinkope – ‘Eh, lawanya
jaket tu! Macam yang kita tengok kat Grand
Bazaar semalam. Murah ke?”
NILAI
1. Kegigihan – pekedai Turki
begitu gigih dan tidak berputus asa meyakinkan pelanggannya agar membeli
barangan kulitnya.
2. Keprihatinan – Aku begitu
prihatin dengan pembunuhan haiwan kijang kerana kulitnya untuk dijadikan jaket.
3. Berjimat cermat – Aku telah
membuat senarai barangan yang perlu dibeli untuk dibawa pulang agar tidak
melebihi perbelanjaan.
4. Keikhlasan – Aku dengan
ikhlas memberi derma kepada pengemis seperti pengait benang, kanak-kanak
bersama-sama datuknya yang buta serta lelaki tua yang cacat anggotanya.
PENGAJARAN
1. Kita haruslah bersikap
berjimat cermat dalam urusan perbelanjaan seharian mahupun semasa melancong ke
luar negara. Contoh :- Cenderamata untuk keluarga : 29 helai baju T, 2 helai
untuk keluarga Anim, masing-masing sehelai untuk Tahrir, Nadia dan Salleh.
2. Kita hendaklah bersikap
ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara tanpa mengira taraf kehidupan seseorang.
Contoh :- Aku begitu bermurah hati dengan memberikan wang sebanyak lima Lira
kepada wanita tua yang menjual makanan burung walaupun harga sepiring hanya
satu Lira serta ikhlas memberi derma kepada pengemis seperti pengait
benang, kanak-kanak bersama-sama datuknya yang buta serta lelaki tua yang
cacat anggotanya.
3. Kita wajar mempunyai sikap
gigih dalam melakukan pekerjaan supaya hasil yang diinginkan tercapai. Contoh
:- Pekedai Turki gigih memberikan layanan yang mesra kepada pelanggannya dengan
memberikan layanan yang baik serta memberikan minuman percuma kepada
pelanggannya dengan harapan pelanggannya itu membeli barangannya.
4. Kita patut bersikap prihatin
terhadap haiwan yang dilindungi agar habitatnya tidak pupus. Contoh : Aku
begitu prihatin terhadap haiwan seperti kijang kerana dia berhasrat untuk
memberikan wang hasil jualan jaket kulit kijang kepada mana-mana zoo yang
mempunyai kandang kijang agar dapat memelihara haiwan tersebut daripada menjadi
korban arus pemodenan.
0 Komen:
Catat Ulasan