Usaha

Usaha Tangga Kejayaan.

Ikhlas

Ikhlas diri dalam mencari Ilmu.

Tawakal

Berserah kepada Tuhan Selepas Berusaha.
 

.

Carian Dalam Blog

Nota Prosa Tradisional Burung Terbang Dipipiskan Lada

 

Sinopsis

Cerita memaparkan percubaan raja Siam, Bubunnya hendak menyerang kerajaan Melaka yang tidak kesampaian kerana kebijaksanaan pemerintah dan kesaktian hulubalang Melaka.

Ceritanya bermula pada zaman dahulu kala negeri Siam yang dikenali sebagai Syahrunnuwi begitu kuat sehingga semua kerajaan bawah angin telah ditakluki oleh Siam kecuali kerajaan Melaka. Apabila Melaka yang diperintah oleh Sultan Muzaffir Syah enggan memberi surat sebagai tanda tunduk kepada Siam, raja Siam telah menyuruh panglimanya Awi Cakri membawa hulubalang dan rakyatnya yang sangat ramai untuk menyerang Melaka melalui hulu Pahang. Apabila Sultan Muzaffir Syah mendengar berita tentang rancangan serangan Siam itu, baginda pun menghimpunkan rakyat Melaka dari segenap pelusuk negeri. Tun Perak dari Kelang telah datang  membawa  bersama-sama dengan anak isteri masing-masing. Pada masa itu, Seri Amerta dilantik oleh sultan sebagai bentara kerana kecerdikan dan kepetahannya berkata-kata.

Seri Amerta telah diminta oleh sultan untuk menyiasat tindakan Tun Perak tersebut. Tindakan Tun Perak itu dipersoalkan sebanyak tiga kali oleh Seri Amerta. Tun Perak meminta Seri Amerta jangan mencampuri urusan orang lain. Baginda menjelaskan sekiranya orang Kelang yang datang dari jauh itu ditemani anak isteri masing-masing, mereka akan berperang dengan lebih bersemangat. Apabila hal ini disampaikan kepada Duli Yang diPertuan, baginda amat bersetuju dengan tindakan Tun Perak itu lalu menitahkan Tun Perak terus bermastautin di Melaka. Apabila serangan Siam itu telah dapat dipatahkan, Tun Perak telah dijadikan sebagai bentara di Melaka.

Tidak lama kemudian Seri Amerta menyuruh Tun Perak menghadap kerana ada seorang orang Kelang mengadu bahawa dirinya dianiayai oleh Tun Perak. Setelah disoal siasat, Tun Perak menyatakan bahawa Seri Amerta tidak memahami tugas dan tanggungjawab diamanahkan oleh Sultan. Sultan bersetuju dengan penjelasan Tun Perak lalu melantiknya sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka Raja yang setaraf dengan Seri Nara Diraja.

Seri Nara Diraja sudah tua dan tidak mempunyai anak lelaki,hanya ada seorang anak perempuan yang bernama Tun Putih hasil perkahwinan dengan anak bendahara. Setelah isterinya  itu mangkat barulah Seri Nara Diraja mengakui bahawa baginda mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Tun Nina Madi hasil perhubungan dengan gundik istana.

Pada masa itu masyarakat Melayu telah berpecah kepada dua puak iaitu puak Paduka Raja dan puak Seri Nara Diraja kerana kedua-duanya mempunyai taraf yang sama. Kedua-dua orang besar ini tidak dapat bekerjasama kerana berbeza pendapat. Apabila hal ini diketahui oleh Sultan Muzaffir Syah, baginda amat kecewa kerana bimbang negara akan lemah jika pembesarnya saling tidak bermuafakat. Baginda telah memikirkan jalan penyelesaian dengan mencai jodoh baru kepada Seri Nara Diraja, tetapi semuanya telah ditolak oleh Seri Nara Diraja sehinggalah dia dijodohkan dengan Tun Kudu anak perempuan Bendahara Seri Wak Raja, saudara kepada Paduka Raja. Justeru, hubungan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja kembali baik apabila baginda bersetuju supaya Paduka Raja dilantik sebagai bendahara manakala Seri Nara Diraja menjadi penghulu bendahari.

Tidak lama kemudian orang Siam di bawah pimpinan Awi Dicu  menyerang Melaka. Sultan mengetahui hal tersebut lalu menitahkan Paduka Raja dengan diiringi Seri Bija Diraja dan segala hulubalang untuk mempertahankan Melaka. Anak Seri Bija Diraja bernama Tun Umar yang berkelakuan aneh telah disuruh melanggar perahu pihak Siam, tiga buah perahu Siam telah dikalahkan dengan hanya sebuah perahunya. Pihak Siam menjadi takut dan membatalkan hasrat menyerang Melaka. Bendahara Paduka Raja menggunakan strategi memasangkan puntung api pada pokok-pokok di sepanjang pantai seolah-olah banyak perahu perang Melaka yang dibawa untuk mempertahankan Melaka. Angkatan perang Siam telah berundur. Setelah pihak Siam berundur, Bendahara Paduka Raja dan orang-orangnya telah dianugerahkan persalinan yang mulia.

Walau bagaimanapun, berita kegagalan serangan Siam itu sampai ke pengetahuan Paduka Bubunnya, raja Siam itu amat marah dan diri sendiri membuat keputusan untuk menyerang Melaka tetapi anaknya Cau Pandan menawarkan diri untuk menyerang Melaka. Raja Siam bersetuju lalu menggunakan lapan ratus buah kapal perang besar dan banyak kapal perang kecil di bawah pimpinan Pra Kelong untuk membantu Cau Pandan menyerang Melaka. Apabila berita rancangan Siam untuk menyerang Melaka itu diketahui oleh sultan Melaka, Sidi Arab yang mempunyai kesaktian ilmu memanahnya telah memanah Cau Pandan yang berada di Siam. Akhirnya Cau Pandan yang belum sempat menyerang Melaka itu telah terkena panahan tersebut di dada, telah muntah darah lalu mati. Kesaktian Sidi Arab itu amat dihargai sultan dan diberi ganjaran yang setimpalnya.

Setelah empat puluh dua tahun Sultan Muzaffir Syah memerintah Melaka, akhirnya baginda mangkat dan digantikan oleh anaknya Raja Abdullah gelaran Sultan Mansur Syah. Ketika menaiki takhta, Sultan Mansur Syah berusia 27 tahun. Baginda beristerikan anak Seri Nara Diraja iaitu Tun Putih Nur Pualam. Baginda seorang raja yang kacak, adil, dan murah hati yang tiada tolok bandingnya pada masa itu.  

 

Tema

Keghairahan Siam menyerang Melaka tanpa menilai kelemahan diri sendiri dan menyiasat kekuatan pihak lawan terlebih dahulu sebelum mengatur serangan.

 

Pantun Buka Bicara Tu Bulan Tu Bintang

 

Buka Bicara

Tu Bulan Tu Bintang

 

Tu bulan tu bintang

Tu pucuk kayu ara

Datanglah tuan puan duduklah sama-sama

 

Tu bulan tu bintang

Tu pucuk kayu ara

Lelaki perempuan, datang dengan gembira

 

Tu bulan tu bintang

Tu pucuk kayu ara

Sama mendidik insan jadi orang berguna

 

Tu bulan tu bintang

Tu pucuk kayu ara

            Sama duduk berbincang mendidik anak bangsa

 

 

Tu bulan tu bintang

Tu pucuk kayu ara

Jangan merasa bimbang, kerja di mana saja

 

Tu bulan tu bintang

Tu pucuk kayu ara

Di kampung pedalaman, di tengah bandaraya

 

Tu bulan tu bintang

Tu pucuk kayu ara

Cikgu-cikgu yang datang baik-baik belaka

 

Tu bulan tu bintang

Tu pucuk kayu ara

Semua murid sayang, cikgu rasa gembira

 

 

Tu bulan tu bintang

Tu pucuk kayu ara

Jadi guru gemilang, kebanggaan negara

Kita semua sayang, kepada murid kita

 

Kita semua sayang, sayangkan bangsa kita…

Kita semua sayang………sayang negara kita…

 

 

 

 

 

 

Pantun Mengenang Nasib

 

Pantun Mengenang Nasib

 

Pisau raut hilang di rimba,

Pakaian anak raja di Juddah;

Karam di laut boleh ditimba,

            Karam di hati bilakah sudah.

 

Kusangka nanas di tengah padang,

            Kiranya pandan yang berduri;

Kusangka panas hingga ke petang,

            Rupanya hujan di tengah hari.

 

Buah berangan masaknya merah,

            Kelekati dalam perahu;

Luka di tangan nampak berdarah,

            Luka di hati siapa tahu.

 

Apa diharap kepada tudung,

            Tudung saji terendak Bentan;

Apa diharap kepada untung,

            Untung nasib permainan badan.

 

Antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 3

Nazam Kasih Ayah dan Ibu

 

Nazam

 

Kasih Ayah dan Ibu

 

 

Ibu mengandung sembilan bulan

Lebih dan kurang tak ditentukan

Lahirkan dikau berapa kesakitan

Berpantang pula minum dan makan

 

Cukuplah masa sampai ketika

Lahirlah engkau ke dalam dunia

Barulah suka ibu dan bapa

Kepada engkau sangat kasihnya

 

Harap ibumu bukan sedikit

Tinggilah harap darinya bukit

Lama ibumu merasa sakit

Sembilan bulan tidak berbangkit

 

Setelah kamu sudahlah ada

Siang dan malam ibumu jaga

Tidurpun tidak barang seketika

Makan dan minum tidak berasa

 

Berapalah dian dengannya tanglung

Diangkat dituam lalu dibedung

Sudahlah jaga lalu didukung

Kasih dan sayang tidak tertanggung

 

Tidaklah tentu siang dan malam

Bangun memangku di dalam kelam

Terkejut jaga di tengah malam

Tidurpun tidak lekat di tilam

 

Rela ibumu menanggung hutang

Kain dan baju tidak dipandang

Basah di ampai kering di pinggang

Didukung galas tidak berenggang

 

Kenang ayahmu anak bangsawan

Barang katanya jangan dilawan

Ibu bapamu hubungan Tuhan

Baru sempurna anak budiman

 

 

Hai segala anaknya Adam

Kasihnya ibu tiada sempadan

Kasihnya ayah rela berkorban

Badan dan nyawa jadi taruhan .     

 

(Disesuaikan : Warna Sari Sastera Melayu Tradisional hal. 367-370)

 

 

 

 

 

 

 

 

Pantun Perpisahan

 

Pantun Perpisahan

 

Hari ini menugal jagung,

            Hari esok menugal jelai;

Hari ini kita berkampung,

            Hari esok kita bercerai.

 

Dari mana hendak ke mana,

            Tinggi rumput dari padi;

Hari mana bulan mana,

            Dapat kita bertemu lagi.

 

Kelip kelip kusangka api,

            Kalau api mana puntungnya;

Hilang ghaib kusangka mati,

            Kalau mati mana kuburnya.

 

Batang selasih permainan budak,

            Berdaun sehelai dimakan kuda;

Bercerai kasih bertalak tidak,

            Seribu tahun kembali juga.

 

Orang Acheh sedang sembahyang,

Hari Jumaat tengah hari;

Pergilah kasih pergilah sayang,

Pandai-pandai menjaga diri.

 

Mana Manggung mana Periaman,

Mana batu kiliran taji;

Tinggal kampung tinggal halaman,

Tinggal tepian tempat mandi.

 

Bintang Barat terbit petang,

            Bintang Timur terbit pagi;

Jika tidak melarat panjang,

            Ada umur jumpa lagi.

 

Seuntai Kata Untuk di Rasa (T2), hlm. 4-5

Pantun Joget Pahang

 

Pantun Joget Pahang

 

Dari Melaka pergi ke Pahang,

            Singgah di Johor beli berangan;

Kami mengucap selamat datang,

            Apa yang kurang dikeji jangan.

 

Melenggang ai melenggang lenggang tari lenggang

Kalau baik hati nanti orang pun sayang

 

Negeri Pahang aman sentosa,

            Kaya dengan tumbuh-tumbuhan;

Niat di hati nak buat jasa,

            Mudah-mudahan Tuhan kabulkan.

 

Melenggang ai melenggang lenggang tari lenggang

Kalau baik hati nanti orang pun sayang

 

Pukul gendang kulit kerbau,

            Dalam majlis tari menari;

Kami ini daganglah merantau,

            Mengharap belas orang di sini.

 

Melenggang ai melenggang lenggang tari lenggang

Kalau baik hati nanti orang pun sayang

 

Seuntai Kata Untuk di Rasa, hlm. 6

Nota Gurindam Beberapa Petua Hidup Tingkatan 5

 

GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP

MAKSUD

Rangkap 1

Orang yang kurang berfikir dan belajar hidupnya akan tersasar/mengakibatkan mereka salah langkah.

Rangkap 2

Sesiapa yang bercakap kurang sopan dan biadap akan mengalami bencana.

Rangkap 3

Sesiapa yang suka bergaduh sesama sendiri hidupnya akan diselubungi kesedihan.

Rangkap 4

Sekiranya mempelajari ilmu separuh jalan/ tidak selesai tidak akan berguna dalam kehidupan

Rangkap 5

Ilmu pengetahuan boleh diperolehi sekiranya belajar dengan tekun.

Rangkap 6

Dunia merupakan tempat untuk bergaul dan berinteraksi serta mencari  rakan yang sesuai.

Rangkap 7

Sesiapa yang melakukan kebaikan namanya akan disanjung sepanjang zaman.

Rangkap 8

Orang yang menganiayai orang  lain akan dimurkai oleh Tuhan.

 

TEMA

Nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Gurindam ini menekankan penghayatan yang perlu ada dalam diri setiap insan/seseorang

 

PERSOALAN

Nota Sajak WWW.SIBERMERDEKA.COM.MY

 

WWW.SIBERMERDEKA.COM.MY    (Abdul Ghafar Ibrahim)

MAKSUD SETIAP RANGKAP


Rangkap pertama -Dalam diri penyajak, dia telah membuat pelbagai perancangan yang akan dilakukan bagi menyelesaikan segala masalah / kesusahan yang dihadapinya.

Rangkap kedua -Dalam pemikiran penyajak, dia mencuba memikirkan cara untuk mengatasi masalahnya agar dirinya tidak mudah dipermainkan oleh orang lain.

Rangkap ketiga -Dalam kehidupan penyajak, dia sering berhadapan dengan pelbagai dugaan yang menguji kesabaran dan keimanannya.

Rangkap keempat -Penyajak yang berasakan dirinya hebat sering terpedaya oleh nafsu. Namun begitu, penyajak cepat tersedar seterusnya mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak terperdaya lagi.

Rangkap kelima -Penyajak sentiasa berusaha membaiki dirinya dengan bertekad untuk berubah ke arah kebaikan walaupun dia tidak mengetahui apa-apa yang bakal ditempuhnya pada hari-hari yang mendatang.

Rangkap keenam -Penyajak yang semakin berusia menjadi lebih matang. Dia tidak mudah panik dan tidak mudah dipengaruhi oleh kata-kata orang terhadap dirinya.

Rangkap ketujuh -Dalam era globalisasi, penyajak sering melakukan muhasabah diri dalam mencari erti kehidupan agar dia tidak mudah tewas dalam perjuangannya.

Rangkap kelapan -Apabila tiba waktunya, penyajak harus bersedia menghadapi kenyataan hidup yang bersifat sementara. Setiap peristiwa dalam hidup penyajak berlalu dengan amat pantas. Oleh itu, penyajak menasihati pembaca agar tidak mensia-siakan hidup sebaliknya pembaca wajar mendekati Tuhan.

 


TEMA -Ketabahan insan dalam mendepani dugaan hidup.

 

Nota Sajak Sang Gembala Kuda

 

Sang Gembala Kuda  - Mohd Hashim Othman

MAKSUD

Rangkap

Maksud

 

1

Seorang penjaga kuda sedang menghalau kuda-kuda dengan penyebat masuk ke dalam kandang

 

2

Dalam kandang telah tersedia rumput dan jerami sebagai makanan yang menjadikan kuda sentiasa setia.kuda ini tidak sedar dijadikan  tunggangan untuk memburu kuda lain.

 

3

Penjaga kuda diibarat penguasa yang mempunyai kemampuan untuk mengawal seluruh pengikut . Dia menggunakan seluruh kekuasaan untuk menindas . Namun ada seseorang yang  berani menentang kekejaman dan menghalang penindasan penguasa.

 

4

Penjaga kuda hanya mahu kudanya berlari dengan kencang tanpa mengambil kira kepenatan kuda yang ditunggang.Dia juga hanya mahu kuda yang boleh membawa kemenangan dan tidak menghiraukan penderitaan kuda yang ditunggangnya.semua kudanya terus ditunggangi tanpa belas kasihan.

 


TEMA

Menceritakan tentang tugas penjaga kuda yang mampu mengawal kudanya dengan penyembat  sebagai lambang kekuatan dan kekuasaannya di kandang.

 

PERSOALAN

Persoalan kebolehan penjaga kuda mengawal kuda di sesebuah kandang kuda.

Persoalan kesetian kuda kepada penjaga kuda kerana makanan yang diberikan.

Persoalan kekuasaan memerlukan kekuatan dan keupayaan dalam mengawal sesuatu kumpulan.

Persoalan kehidupan kuda yang sentiasa dikerah

Nota Sajak Gelanggang Tingkatan 4

 

Gelanggang - (Onn Malini)

MAKSUD SETIAP RANGKAP

Rangkap pertama - Penyajak menyatakan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang ditubuhkan oleh generasi terdahulu iaitu kira-kira 50 tahun yang lalu. Malaysia terbentuk hasil perpaduan setiap kaum demi masa depan generasi seterusnya.

Rangkap kedua  - Kita ialah generasi yang mewarisi Malaysia yang diperjuangkan oleh generasi terdahulu. Mereka bekerja keras dan bersusah payah untuk mendapatkan kemerdekaan negara. Kemakmuran negara dapat dinikmati apabila rakyat bersatu padu. Penyajak menyeru semua rakyat supaya memelihara kedaulatan negara dengan penuh tanggungjawab  daripada pihak luar yang cuba memusnahkan negara. Cara ini telah terbukti dapat menyatupadukan pelbagai kaum di negara kita.

Rangkap ketiga  - Penyajak berpendapat bahawa pemimpin kini harus berani melawan tuduhan melulu yang dilemparkan demi mempertahankan kedaulatan negara. Pendapat yang dikemukakan oleh sesetengah pihak yang cuba menjatuhkan Malaysia harus kita tentang tanpa tolak ansur supaya tidak menggugat kedaulatan negara. Pihak tersebut tidak harus melakukan tindakan untuk mencabar Malaysia kerana perbuatan mereka akan menyusahkan diri mereka.

Rangkap keempat - Penyajak menyeru rakyat yang benar-benar cinta akan negara supaya mengukuhkan tali persaudaraan agar pertelingkahan sesama rakyat dapat dihindari.

Rangkap kelima - Penyajak menyatakan bahawa kita sebagai rakyat Malaysia bertanggungjawab memikul amanah yang diberi untuk memastikan kecemerlangan negara di peringkat dunia dengan mencapai kejayaan demi kejayaan. Hal ini demikian kerana kejayaan yang diperoleh rakyat Malaysia melambangkan maruah Malaysia dan jati diri mereka. Kita bertanggungjawab dalam meneruskan kesinambungan Malaysia sebagai negara yang harmoni dan dihormati oleh semua pihak. Malaysia wajib kita hargai, hormati dan muliakan sampai akhir hayat kita.

 


TEMA -Kepentingan mempertahankan kedaulatan tanah air.

PERSOALAN

1.         Perjuangan generasi dahulu dalam mendapatkan kemerdekaan. Contoh : Generasi dahulu berjuang mendapatkan kemerdekaan negara dengan keringat dan air mata.

2.         Kepentingan perpaduan dalam menjaga keamanan negara. Contoh : Penyajak menyatakan bahawa rakyat yang bersatu padu telah terbukti dapat memelihara negara daripada ancaman luar.

3.         Tanggungjawab rakyat dalam mendaulatkan negara. Contoh : Penyajak menyeru semua rakyat supaya memelihara kedaulatan negara dengan penuh tanggungjawab  daripada pihak luar yang cuba memusnahkan negara.

 

BENTUK SAJAK

1.         Terdiri daripada lima rangkap.

2.         Terdiri daripada dua hingga lapan baris dalam satu rangkap.

3.         Terdiri daripada satu hingga Sembilan perkataan dalam satu baris.

4.         Terdiri daripada tiga hingga 22 suku kata dalam satu baris.

5.         Rima akhir mempunyai bentuk bebas / tidak terikat.

 

GAYA BAHASA
 

1.         Anafora

Kita pelihara gelanggang ini dengan kejap sepenuh hati

Kita mempertahankan kedaulatan watan dari anasir jahat

2.         Hiperbola - Hari ini kitalah pewaris gelanggang yang terbina dari keringat dan air mata

3.         Inversi - jangan sekali bermain api kelak membinasakan diri sendiri

4.         Personifikasi -demi mempertahankan maruah gelanggang keramat suci ini

5.         Kata ganda - yang diwariskan oleh pendekar-pendekar datuk moyang lebih

 

NILAI

1.         Nilai keberanian - Contoh : Penyajak menyatakan bahawa pemimpin negara kita harus berani berani berjuang untuk menangkis tohmahan pihak luar.

2.         Nilai perpaduan - Contoh : Penyajak menyatakan bahawa rakyat yang bersatu padu telah terbukti dapat memelihara negara daripada ancaman luar.

3.         Nilai tanggungjawab -Contoh : Penyajak menyeru semua rakyat supaya memelihara kedaulatan negara dengan penuh tanggungjawab  daripada pihak luar yang cuba memusnahkan negara.

 

PENGAJARAN
 

1.         Kita mestilah bersatu padu -Contoh : Penyajak menyatakan bahawa rakyat yang bersatu padu telah terbukti dapat memelihara negara daripada ancaman luar.

2.         Kita mestilah berani bertindak -Contoh : Penyajak menyatakan bahawa pemimpin negara kita harus berani  berjuang untuk menangkis tohmahan pihak luar.

3.         Kita mestilah bertanggungjawab atas kedaulatan negara – contohnya, penyajak menyeru semua rakyat supaya memelihara kedaulatan negara dengan penuh tanggungjawab daripada pihak luar yang cuba memusnahkan negara.

Nota Sajak Aku Membaca Lagi

 

Aku Membaca Lagi - (Razali Mohd Yussof)

MAKSUD SETIAP RANGKAP


Rangkap pertama - Penyajak memandang ke langit lalu memerhatikan keadaan langit. Dengan perasaan penuh kesyukuran, dia menghayati keindahan alam yang diciptakan oleh Tuhan yang digambarkan melalui awan yang bergumpal, angin yang berhembus dan banjaran gunung.

Rangkap kedua - Penyajak menghayati anugerah Tuhan kepada manusia yang digambarkan melalui burung yang berkicau, kewujudan pantai dan ombak, dan kemunculan pelangi.

Rangkap ketiga - Penyajak mendapati bahawa alam semula jadi semakin tercemar apabila negara semakin makmur. Pencemaran alam semula jadi ini dikaitkan dengan keadaan bahasa Melayu yang semakin lama semakin kurang didaulatkan oleh rakyat walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan. Selain itu, penyajak mendapati bahawa kemakmuran negara tidak dapat menjamin kedaulatan  bahasa Melayu.

Rangkap keempat - Para pejuang bahasa yang cinta akan bahasa Melayu berasa sedih melihat nasib bahasa Melayu yang tidak dimartabatkan.

Rangkap kelima - Penyajak meluahkan  kekesalannya apabila bahasa Melayu yang semakin diketepikan terus dipinggirkan oleh semua pihak.


 

TEMA - Bahasa Melayu yang semakin dipinggirkan.

 

PERSOALAN

1.         Keindahan alam semula jadi ciptaan Tuhan. Contoh : Penyajak menghayati keindahan alam yang diciptakan oleh Tuhan yang digambarkan melalui awan yang bergumpal, angin yang berhembus dan banjaran gunung.

2.         Kedaulatan bahasa Melayu yang kian hilang. Contoh : Penyajak mendapati bahawa semakin lama semakin kurang orang yang mendaulatkan bahasa Melayu walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan.

3.         Kesedihan pejuang bahasa terhadap nasib bahasa Melayu. Contoh : Para pejuang bahasa yang cinta akan bahasa Melayu berasa sedih melihat nasib bahasa Melayu yang tidak dimartabatkan.

 

BENTUK SAJAK
 

1.         Terdiri daripada lima rangkap

2.         Terdiri daripada empat hingga tujuh baris dalam satu rangkap

3.         Terdiri daripada satu hingga enam perkataan dalam satu baris

4.         Terdiri daripada empat hingga 12 suku kata dalam sa

Berilmu

“Waktumu terbatas, jadi jangan sia-siakan dengan menjalani hidup orang lain. Jangan terjebak oleh dogma – yaitu hidup dengan hasil pemikiran orang lain.” – Steve Jobs

Beriman

“Teruslah tersenyum, karena hidup adalah hal yang indah dan ada banyak hal untuk disyukuri.” — Marilyn Monroe

Beramal

“Usaha dan keberanian tidak cukup tanpa tujuan dan arah perencanaan.” - John F. Kennedy