Carian Dalam Blog
#Label
Karangan arah tuju remaja menjadi insan yang baik
Bincangkan peranan semua perkara di atas dalam menentu arah tuju remaja menjadi insan yang baik
Merujuk kepada, Arus di muara dibentuk oleh alur di hulu menunjukkan bahawa segala bentuk tingkah laku remaja amat berkait rapat dengan acuan kehidupan semasa mereka. Zaman remaja merupakan zaman yang paling kritikal dalam tempoh hayat seseorang. Alam remaja dianggap sebagai zaman kegemilangan apabila segala kerenah dan tingkah laku alam remaja menjadi pandu arah yang menentukan masa depan seseorang. Bermula dengan isu kenakalan remaja, berkenalan dan bercinta, belajar dan berjaya telah menjadi asam garam bagi setiap insan yang bergelar remaja. Namun, dalam meniti alam yang penuh warna ini, remaja perlulah pandai membawa diri agar tidak tersasar keluar daripada landasan yang sepatutnya. Oleh hal yang demikian, semua pihak hendaklah menjadikan keluarga, pegangan hidup, moral, agama dan rakan sebaya merupakan penentu hala tuju untuk memperoleh kejayaan.
Sehubungan dengan matlamat mencapai objektif di atas, sudah tentulah hubungan yang rapat dengan persekitaran keluarga yang harmoni dapat melahirkan anak-anak yang sempurna. Hal ini terbukti kerana keluarga diibaratkan sebagai bayangan peribadi seseorang. Keluarga yang baik nescaya mampu membentuk individu yang baik juga. Di samping menjadi penyuntik semangat kepada remaja keluarga juga menjadi ikon kepada remaja untuk memotivasikan diri mereka supaya mencapai kejayaan dalam kehidupan. sifat-sifat semula jadi ibu bapa yang baik dan bermotivasi tinggi sudah tentu menjadi penggerak dalaman dan luaran agar anak-anak pun menjadi insan berakhlak mulia dan bercita-cita tinggi. Sayang seribu kali sayang apabila belakangan ini terdapat ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan cara yang tidak betul persis peribahasa keruh air di muara kerana di hulunya keruh juga. Inilah suatu malapetaka yang sengaja dicipta oleh ibu bapa akibat salah bimbing akhirnya anak-anak terjerumus kekancah gejala sosial yang melampau.
Remaja hari ini menjadi satu kelompok besar rakyat Malaysia. Golongan remaja yang berusia antara 15 hingga 25 tahun itu mewakili 47.4 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia. Jelaslah bahawa sekiranya remaja mengamalkan gaya hidup yang berkualiti, justeru mereka menjadi jaminan kepada kemajuan negara pada masa hadapan. Sehubungan dengan hal yag tersebut, keluarga adalah menjadi bayangan peribadi seseorang, ibarat mengenal getah lihatlah daunnya. Ibu bapa dan keluarga perlu menjadi suri teladan terbaik kerana rumah merupakan madrasah paling awal dalam menentukan hala tuju setiap individu. Oleh itu, ibu bapa dan keluarga hendaklah menunjukkan tauladan yang baik seperti bercakap dengan lemah lembut dan saling menyayangi antara satu sama lain demi membentuk keluarga sakinah. Jelaslah bahawa, kalau asal keluarga yang baik nescaya individu berkenaan pun akan baik juga, asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau.
Kebijaksanaan dan akal yang pintar menjadi penyuluh sinar kepada kehidupan yang bahagia bagi seseorang remaja. Hal ini demikian kerana akal menjadi kompas hala tuju sesuatu tindakan, manakala kebijaksanaan terbit daripada akal yang selalu berfikir. Kenyataan tersebut tersebut adalah bertepatan dengan kata-kata dalam sepotong Hadis Nabi SAW yang bermaksud, “Apabila akal digunakan untuk berfikir sesaat, justeru adalah lebih baik daripada kamu beribadat setahun. Oleh itu, semasa usia muda gunalah akal untuk berfikir demi masa depan yang lebih terjamin. Jaminan akal yang sempurna adalah terjana daripada fizikal yang sihat lagi cergas sesuai dengan pepatah Arab yang menyatakan, akal yang cerdas adalah daripada badan yang sihat. Sehubungan dengan hal tersebut jagalah kesihatan dengan memilih gaya hidup sihat seperti aktif bersukan dan menjaga pemakanan.
Pengarang dan jurnalis Amerika, Enerst Hemingway dalam novelnya ‘A Moveable Feast pernah menyatakan, “Moral ialah apa-apa yang dirasakannya baik selepasnya dan tidak bermoral apa-apa yang dirasakan tidak baik selepasnya”. Oleh hal yang demikian, nilai peribadi manusia terserlah dengan sendirinya berpandukan tinggi atau rendah nilai moral yang dianutinya. Langkah yang terbaik ialah nilai moral perlu diserap dalam diri seseorang remaja bagi menjadi insan yang berguna kepada negara, bangsa, dan agama. Oleh itu, pihak sekolah perlu memainkan peranan penting dalam menyemai nilai moral dalam kalangan pelajar bagi membentuk perwatakan remaja hari ini. Penerapan nilai-nilai moral yang merentas kurikulum hendaklah diperkasakan terutamanya dalam subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Pendidikan Agama Islam dan Moral adalah perlu diajarkan secara penuh berdisiplin. Oleh hal yang demikian, moral banyak membentuk manusia menghayati nilai-nilai murni keinsanan. Dengan terbentuknya nilai-nilai tersebut, justeru akan melahirkan remaja yang berhati mulia, bersopan santun, dan hormat-menghormati. Tegasnya, para remaja mestilah mempunyai nilai moral yang tinggi dalam mengharungi cabaran kehidupan, kerana budi dilihat pada bahasanya mulia dilihat pada santunnyanya
Agama merupakan tiang seri yang memainkan peranan utama dalam diri seseorang remaja. Manusia memerlukan agama kerana agama itu pelengkap diri, pengemas tatatusila dan juga sebagai penyantun sikap seseorang. Hal ini kerana agama bertindak sebagai enjin atau kuasa dalaman yang menggerakkan individu menjadi insan yang sempurna . Seseorang remaja mestilah mempunyai keimanan dan kepercayaan yang kukuh terhadap agama yang dianutinya. Hal ini secara tidak langsung akan melengkapi pakej personaliti yang seharusnya ada dalam diri seseorang. Nilai-nilai ini dapat dipupuk melalui hubungan antara manusia dengan kuasa Khaliq (Tuhan). Dalam konteks ini, agama memainkan peranan penting iaitu membentuk peribadi insan terutamanya semasa usia remaja. Insya-Allah, manusia tidak akan bankrap sama ada dunia mahupun akhirat apabila kukuh pengangan agamanya.
Akhir bicara, merujuk kata-kata Hukama “Orang yang mempunyai kekuatan peribadi ialah orang yang kuat kemahuannya dan sanggup melaksanakan sesuatu dengan tabah dan tekun mengikut prinsip yang dipegangnya”. Jika matlamatnya ke arah kecemerlangan tetapi tidak ditambah dengan usaha, maka kecemerlangan itu hanyalah sebuah mimpi manis yang mengindahkan fikiran tetapi hanyalah dusta pada kenyataan. Remaja mestilah menjadi ikon yang penting dan sentiasa berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara walau di mana-mana pun berada, selaras peribahasa, hilang dicari, terapung direnangi dan tenggelam diselami.
Usaha mewujudkan persekitaran keluarga yang bersih, sihat, dan ceria
Bincangkan pendapat anda tentang sumbangan yang boleh anak-anak berikan untuk mencapai matlamat di atas.
Keluarga bahagia adalah menjadi impian semua orang. Matlamat “Rumahku Syurgaku” menjadi hasrat semua ibu bapa. Namun demikian, tidak semua hasrat tersebut mencapai matlamat. Ada yang kecundang dan terbentur di tengah-tengah gelora samudera. Semua orang sentiasa menyimpan hasrat yang amat tinggi agar anak-anak menjadi insan mulia yang tahu membalas budi dan jasa induk mereka. Oleh yang demikian, bagi merealisasikan matlamat keluarga yang bersih, sihat, dan ceria anak-anak hendaklah berperanan penting untuk menyuburkan persekitaran rumah tangga yang bahagia dan kondusif.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa anak-anak memainkan peranan yang amat penting dalam usaha mewujudkan persekitaran keluarga yang bersih, sihat dan ceria. Anak-anak harus patuh dan hormat kepada kedua-dua ibu bapa. Kesejahteraan hubungan antara anak dengan ibu bapa dapat dijamin. Contohnya, anak-anak tidak patut melawan dan menyanggah cakap ibu bapa. Hal ini dikatakan begitu kerana ibu bapa akan berasa sedih sekiranya anak-anak tidak mendengar nasihat ibu bapa. Sebagai seorang anak yang taat, segala hasrat ibu bapa haruslah ditunaikan dan dipenuhi dengan bersungguh-sungguh. Anak-anak patut belajar bersungguh-sungguh supaya tidak mengecewakan ibu bapa. Aktiviti-aktiviti yang boleh menyakitkan hati ibu bapa tidak harus dilakukan. Aktiviti-aktiviti seperti mat rempit, mengambil dadah, vandalisme dan sebagainya tidak harus sesekali dilakukan supaya dapat menjaga maruah keluarga. Bak kata pepatah, “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?”, justeru anak-anak harus menuruti segala perintah ibu bapa supaya perasaan ibu bapa tidak tersinggung dan keluarga yang bahagia dapat dizahirkan.
Dalam usaha mencapai persekitaran keluarga yang harmoni, anak-anak harus menjalinkan hubungan yang akrab sesama anggota keluarga. Hal ini amat penting untuk mengelakkan berlakunya persengketaan dan perselisihan faham yang kian menular dalam dimensi keluarga pada masa ini. Sebarang masalah dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya wujud sikap bertoleransi dalam kalangan anggota keluarga. Melalui penglibatan anak-anak dalam aktiviti-aktviti seperti riadah, gotong-royong dan solat berjemaah, sifat persaudaraan yang utuh dapat disuntikkan dalam jiwa setiap anggota keluarga. Anak-anak yang bercakap secara hormat dan lemah lembut dapat menguraikan sikap ego dan mementingkan diri sendiri. Tegasnya, bak kata pepatah, menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan terserak, yang membawa kepada maksud sesuatu masalah dapat diselesaikan dengan baik dan masalah sampingan tidak akan timbul sekiranyan anak-anak menjalinkan hubungan harmonis sesama anggota keluarga.
Pada masa yang sama, anak-anak harus merancangkan perjumpaan keluarga secara berkala. Semua ahli keluarga boleh bersama-sama pulang ke induk untuk melawat saudara mara. Anak-anak boleh mengambil kesempatan pada cuti hujung minggu, cuti am atau musim perayaan sebagai salah satu peluang untuk mengunjungi ahli keluarga yang tinggal di tempat yang jauh. Aktiviti-aktiviti mesra keluarga seperti makan bersama, berkelah atau melancong ke luar atau dalam negara boleh diadakan untuk merapatkan hubungan antara satu sama lain. Confucious pernah berkata, “Sumbagan kasih sayang oleh ahli keluarga adalah lebih baik daripada sumbangan dari segi kewangan”. Dengan ini, hubungan yang erat antara keluarga mesti dikekal selama-lamanya supaya amalan keluarga tidak akan hapus. Orang tua-tua pernah berkata, air dicencang tidak akan putus, justeru begitulah hakikat berkeluarga. Oleh sebab itu, hubungan ahli keluarga yang kukuh amat penting untuk membentuk keluarga yang bahagia. Kesimpulannya, anak-anak mesti sentiasa mengunjungi ahli keluarga bagi memastikan hubungan kekeluargaan dikekalkan.
Dalam usaha untuk meuwjudkan persekitaran keluarga yang bersih, sihat dan ceria, anak-anak boleh mengadakan program fizikal dan kerohanian secara bersama-sama. Oleh hal yang demikian, anak-anak boleh mengajak ahli keluarga melibatkan diri dalam aktiviti riadah seperti berbasikal, bermain badminton dan sebagainya. Melalui aktiviti ini, secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan serta dapat menyihatkan tubuh badan. Selain itu, anak-anak juga boleh mengadakan aktiviti gotong-royong seperti mengemas rumah agar persekitaran rumah sentiasa bersih dan secara tidak langsung perkara ini dapat mempengaruhi emosi ahli keluarga. Aktiviti seperti solat berjemaah dan ziarah-menziarahi turut digalakkan dalam Islam sebagai wasilah merapatkan jurang kekeluargaan. Bak kata pepatah, yang jauh didekatkan yang dekat dirapatkan, maka terbentuklah sebuah keluarga yang mesra dan bermawadah. Jelaslah anak merupakan kekuatan bagi sesebuah keluarga seperti nukilan Hadis Rasulullah, “Kekuatan antara seseorang dengan yang lain ibarat susunan batu-bata yang mendirikan sebuah bangunan. Andai satu daripadanya runtuh, maka runtuhlah seluruh bangunan itu.”
Keluarga bahagia merupakan teras masyarakat yang maju dan harmoni. Masyarakat yang harmoni dan dinamik bermula daripada sistem keluarga yang teratur dan sejahtera. Oleh itu, setiap keluarga sama ada keluarga nukleus mahupun keluarga besar hendaklah menjalinkan kehidupan yang saling menyokong dan bertoleransi. Jauhi sifat mementingkan diri sendiri kerana sudah suratan hubungan darah daging ibarat cubit peha kiri peha kanan pun teras sakit.
Peranan pelbagai pihak untuk mewujudkan keluarga bahagia di negara kita
Keluarga
bahagia pemangkin kemajuan sesebuah negara.
Bincangkan peranan pelbagai pihak untuk mewujudkan keluarga bahagia di
negara kita.
Jawapan:
“Keruntuhan
institusi keluarga akan melahirkan generasi yang lemah.” Kata-kata ini pernah
diungkapkan oleh tokoh terkenal dunia, iaitu Mahatma Ghandi. Hal ini
jelas membuktikan bahawa kebahagiaan dalam sesebuah institusi keluarga amat
diperlukan untuk kejayaan negara pada masa akan datang. Dalam era globalisasi
ini, kita sendiri dapat melihat perasaan kasih sayang dan semangat kekeluargaan
kian hari kian menurun. Hal ini berpunca daripada ibu bapa yang terlalu sibuk
dengan pekerjaan dan persaingan yang semakin meningkat sehingga mengabaikan
anak-anak mereka. Ibu bapa terlalu mementingkan hal duniawi sehingga lupa akan
tanggungjawab mereka untuk memberikan pendidikan agama dan kasih sayang yang
sewajarnya kepada anak-anak. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menyalahkan
ibu bapa semata-mata. Sistem pendidikan yang terlalu menekankan pelajar
mendapat markah yang tinggi sehingga mereka terpaksa menghadiri kelas tuisyen
dari pagi sampai malam telah mengambil masa yang sepatutnya anak-anak
meluangkan masa bersama-sama ibu bapa dan menjadi antara punca keruntuhan
institusi keluarga. Oleh sebab itu, pelbagai pihak perlulah memainkan peranan
untuk mengatasi masalah ini dengan segeranya sebelum nasi menjadi bubur.
Salah
satu pihak yang perlu memainkan peranan untuk mewujudkan keluarga yang bahagia
ialah ibu bapa sendiri. Mereka perlu mengambil tahu tentang hal anak-anak
supaya mereka tidak terjebak dalam budaya negatif. Ibu bapa perlu mengatur masa
mereka dengan baiknya agar dapat meluangkan masa dengan anak-anak. Dr.
Irfan Khairi mengatakan, “Merancang masa bermakna merancang kejayaan.”
Jika masa diatur dengan baiknya, ibu bapa dapat meluangkan masa dengan
melakukan aktiviti riadah bersama-sama anak-anak. Hal ini sudah pasti akan
melahirkan keluarga yang bahagia. Hubungan antara suami isteri juga perlu
ditingkatkan. Sifat kasih sayang, sabar dan
saling menasihati perlu diwujudkan. Jika anak-anak melihat ibu bapa
mereka mempunyai hubungan yang mesra, keadaan dalam rumah tangga akan lebih
harmoni. Dalam hal ini, setiap ahli keluarga perlulah saling bermaafan dan
tiada perasaan dengki antara ahli keluarga. Pascal pula pernah
mengatakan,”Jangan memikirkan masa lampau atau masa yang akan datang tetapi
tawanlah saat ini dan ambillah manfaatnya.” Kata-kata ini jelas
menunjukkan bahawa ibu bapa perlu
menggunakan masa bersama keluarga dengan cara yang terbaik untuk
melahirkan keluarga yang bahagia.
Parkarsa
seterusnya ialah media massa amat berperanan untuk membina keluarga yang
bahagia. Dalam hal ini, rancangan yang disiarkan di televisyen, radio dan
sebagainya perlu memaparkan budaya yang positif. Rancangan yang mempunyai
nilai-nilai murni perlu diadakan agar masyarakat dapat mencontohi dan mengambil
teladan tentang perbuatan mereka. Media cetak pula seperti majalah dan akhbar
perlu mengiklankan aktiviti atau program yang boleh disertai oleh setiap ahli
keluarga. Melalui aktiviti yang dianjurkan itu, sebuah institusi keluarga dapat
melakukan bersama-sama aktiviti menyeronokkan yang bukan sahaja merapatkan
hubungan dalam keluarga tetapi akan menyihatkan tubuh badan. Tokoh
terkenal, Cicero, mengatakan, “Pengalaman merupakan guru yang terbaik.”
Kata-kata hikmat ini menunjukkan bahawa pengalaman mengalami suasana yang
bahagia bersama-sama ahli keluarga amat penting sekali untuk mencapai hasrat kerajaan
untuk membentuk keluarga bahagia. Tegasnya, media massa dapat memainkan peranan
untuk meningkatkan kebahagiaan dalam institusi keluarga.
Selain
itu, pihak sekolah juga mempunyai tanggungjawab untuk membentuk dan membina
keluarga bahagia. Sekolah perlulah menganjurkan program seperti Hari Niaga Ria,
Hari Kokurikulum, Hari Terbuka dan sebagainya yang melibatkan ibu bapa dalam
kehidupan anak-anak mereka di sekolah. Guru-guru yang mengajarkan pendidikan
agama dan moral pula perlu menekankan kepentingan dan kebaikan kebahagiaan dan
keharmonian dalam sesebuah insitusi keluarga bukan sahaja kepada individu
tetapi negara. Guru-guru perlulah mendidik anak muridnya untuk membentuk
individu yang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehiduoan. Dalam hal ini, penekanan
terhadap mata pelajaran agama dan moral amat penting. Albert Einstein, saintis terkenal
seluruh dunia mengatakan, “Agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama
adalah lumpuh.” Hal ini jelas menunjukkan bahawa pihak sekolah turut
berperanan untuk membentuk sebuah institusi keluarga yang bahagia.
Akhir
sekali, pihak yang memainkan peranan untuk merealisasikan impian bagi membina
keluarga yang bahagia ialah pihak kerajaan. Kempen kesedaran perlu diadakan
untuk membantu masyarakat bagi meningkatkan kualiti institusi keluarga mereka.
Program seperti Hari keluarga perlu dianjurkan dan mempunyai pelbagai aktiviti
dan hiburan yang dapat dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat. Pihak
berluasa perlulah bersungguh-sungguh untuk menjayakan program-program ini agar
impian untuk melahirkan keluarga bahagia akan tercapai. Charles Cahier
mengatakan,”Kejayaan tidak akan datang kepada orang yang leka.”
Kata-kata ini jelas membuktikan bahawa kerjasama dan kegigihan perlu ada untuk
mencapai hasrat kerajaan ini. Pihak kerajaan juga perlu mengadakan ceramah di
tempat kerja tentang kepentingan
keharmonian dalam sesebuah keluarga. Ceramah-ceramah ini perlu diwajibkan
kepada setiap kakitangan kerajaan untuk menghadirinya. Dengan adanya kempen
ini, kesedaran dalam kalangan masyarakan tentang kepentingan pewujudan keluarga
yang bahagia dapat ditingkatkan.
Sebagai
kesimpulannya, pelbagai pihak mempunyai peranan yang sangat penting untuk
merealisasikan keluarga bahagia di negara kita. Semua pihak perlulah
bekerjasama untuk menangani masalah keruntuhan institusi keluarga kerana bertepuk
sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kita perlulah membaiki sikap dalam
diri kita dan membuang segala budaya negatif yang telah menyebabkan keurntuhan
institusi keluarga. Confucius mengatakan,”Seseorang yang melakukan kesilapan dan tidak
membetulkannya telah melakukan kesalahan lagi.” John Zwingli pula
mengatakan,”bagaimana pentingnya batu-bata untuk pembinaan, begitulah
pentingnya keluarga untuk membina sebuah Negara.” Oleh hal yang
demikian, pelbagai pihak di negara kita perlu berusaha untuk melakukan sesuatu
supaya keluarga yang bahagia dapat diwujudkan secara total di negara kita. Akhirulkalam, kebahagiaan dalam institusi
keluarga datangnya daripada akhlak mulia individu itu sendiri.
[ 835
patah perkataan]
Karangan Kesan-kesan perpaduan semakin pudar dan langkah-langkahnya
Bincangkan pendapat anda tentang kesan-kesan gejala tersebut dan langkah-langkah untuk membendungnya.
Apabila berbicara tentang terma perpaduan, justeru, mafhum daripada sepotong maksud ayat al Quran iaitu, “Aku jadikan manusia daripada lelaki dan perempuan dengan bersuku-suku dan berbangsa-bangsa supaya mereka dapat saling berkenal-kenalan dan bekerjasama” amatlah relevan untuk dirujuk. Sesungguhnya, perpaduan merupakan teras keamanan dan kesejahteraan kepada umat manusia. Perbezaan dalam aspek bangsa, budaya, agama, dan warna kulit bukan halangan untuk membentuk perpaduan. Demikianlah, hakikat sebenar yang terbina dalam kalangan rakyat Malaysia sejak sekian lama. Walau bagaimanapun, dengan anjakan pelbagai pengaruh, bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia sungguh membimbangkan. Fenomena ini telah memungkinkan pelbagai implikasi negatif akan melanda negara. Sedar akan pentingnya perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, maka sudah tiba masanya seluruh warga Malaysia menggemblengkan usaha untuk menyelamatkan negara daripada terjerumus ke kancah pertelagahan yang lebih parah
Apabila perpaduan dalam kalangan rakyat sudah mula goyah, musibah besar yang bakal menimpa ialah keamanan dan keharmonian negara akan tergugat. Hal demikian tidak dapat dielakkan lagi apabila masing-masing mula menyimpan perasaan syak wasangka. Keadaan pasti lebih parah apabila api persengketaan mula menular dalam kalangan masyarakat majmuk. Masing-masing berlagak menjadi hero kaum serta cuba menyemaikan bibit-bibit perkauman dengan cara menangguk di air keruh. Isu-isu remeh cuba disensasikan sehingga tercetus api kemarahan. Kesudahannya meletuslah persengketaan yang sukar dikawal seperti Peristiwa Hitam 13 Mei 1969 dan beberapa persengketaan lain seperti perbalahan kaum di Kampung Medan pada tahun 2003. Akhirnya, masing-masing menanggung rugi ibarat tempelak peribahasa, kalah jadi abu menang jadi arang.
Musibah yang amat nyata apabila berlaku perbalahan dalam kalangan masyarakat sudah pasti menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara. Ekonomi ialah tiang seri dan pasak kekuatan kepada sesebuah negara. Tanpa sokongan ekonomi yang mapan, kemajuan negara akan terbantut. Krisis kemanusiaan seperti kebuluran yang melanda negara-negara di Afrika, Syria, Burundi dan Palestin adalah berpunca daripada runtuhnya sistem ekonomi dan sosial mereka yang terlalu parah. Sebaliknya, apabila kita menoleh kepada negara-negara yang aman, seperti Jepun, Norway, dan Hongkong, justeru potensi ekonomi mereka berjaya dibangunkan sehingga menjadi kuasa ekonomi yang tersohor. Sebenarnya, apakah resipi istimewa di sebalik kejayaan tersebut? Jawapannya, tentu sekali kejayaan mereka berpaksikan kepada sikap toleransi dan saling memahami yang wujud dalam kalangan rakyat. Sesungguhnya, itulah acuan yang wajar ditiru oleh rakyat Malaysia jikalau tidak mahu peristiwa pisang berbuah dua kali..
Sudah lumrah, sesekali berarak juga mendung nan kelabu dan kadang-kadang gigi dan lidah pun boleh tergigit. Demikianlah hakikat pertelagahan dan perselisihan yang sering menjadi duri dalam daging yang menghalang perpaduan. Demi negara yang tercinta ini kembalilh kepada slogan “Bersatu teguh, bercerai roboh” dan peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat sebagai prakarsa untuk menyuburkan semula semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Kita hendaklah menjadi rakyat yang berfikiran rasional dan dingin kepala dalam menghadapi sesuatu masalah. Kita perlu bersatu di bawah panji-panji negara yang berdaulat dan merdeka. Sesungguhnya, kita wajar menilai semula akan harga kemerdekaan dan kebebasan yang kita kecapi kini adalah terlalu mahal. Demi negara, kita hendaklah menyanjung tinggi kedaulatan watan dengan menghayati sedalam-dalamnya wadah, “Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung”.
Semangat patriotik dan perasaan berbangga menjadi rakyat Malaysia hendaklah sentiasa subur dan mekar di dalam jiwa raga setiap rakyat. Anggaplah kelahiran kita di bumi Malaysia ini sebagai suatu rahmat. Apabila sudah ditakdirkan kita dilahirkan di sini, justeru inilah negara yang perlu dicintai dan tumpahkan seluruh taat setia. Jangan ada sikap mengggunting dalam lipatan dan telunjuk lurus kelengkeng berkait dalam kalangan rakyat Malaysia. Sikap sesetengah pihak yang sentiasa mengagumi negara lain sedangkan sesuap nasi untuk dirinya masih berada di sini amatlah dikesali. Ingatlah, seberapa tinggi sekalipun, seseorang itu mengagung-agungkan negara lain, sesudahnya dirinya diibaratkan tidak jauh seluang melaut akhirnya balik juga ke muara.
Dalam usaha mencari penyelesaian isu ini, ambillah panduaan peribahasa Melayu yang menjelaskan, sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Oleh hal yang demikian, pokok pangkal untuk mengembalikan roh perpaduan, kita kembalilah kepada latar sejarah. Sejarah kita telah terbina di atas paksi kemajmukan masyarakat. Oleh sebab itu, semua pihak harus berlapang dada dan menerima hakikat daripada realiti sejarah bangsa kita iaitu bangsa Malaysia. Salah faham dan pertikaian yang berpanjangan dalam kalangan kaum hanya mendedahi kita kepada kemusnahan. Keamanan yang telah terbina sejak sekian lama akan terkubur begitu sahaja. Oleh itu, amalkan sikap saling bersatu, ibarat ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Insya-Allah, sekiranya falsafah daripada peribahasa tersebut dipegang dengan kukuh, nescaya akan lahirlah suatu bangsa Malaysia yang kuat kerana berpegang kepada tonggak perpaduan, bertolak ansur, sejahtera, dan harmoni.
Ketika kita berusaha untuk membangunkan negara tercinta ini agar duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain, rakyat Malaysia haruslah bersatu hati dan satu matlamat dengan menzahirkan rasa cinta tanpa berbelah bahagi kepada watan tercinta ini. Tiada guna kita menyesali peristiwa yang lepas dan meragui impian yang dicita-citakan kerana semua itu boleh menjejaskan matlamat untuk melahirkan rakyat yang bersatu padu. Haruslah kita ingat kepada pesan orang tua-tua dalam beberapa anekdot pepatah Melayu, sudah terhantuk baru menengadah dan elakkan nasi menjadi bubur baru kita hendak berubah. Oleh itu, ambillah perpaduan sebagai teras kejayaan negara.
Karangan Budaya Buli
Punca Budaya Buli Dalam Kalangan Pelajar Sekolah
Lewat kebelakangan ini, kes buli sering dilaporkan melalui media massa. Masalah
ini bukanlah gejala baru di negara kita malah gejala buli pelajar sekolah
menunjukkan kadar peningkatan dari semasa ke semasa. Kes buli yang melibatkan
pelajar sekolah bukanlah kes terpencil kerana kes ini sudah mendapat perhatian
seluruh masyarakat negara kita. Hal ini terjadi kerana gejala buli sudah
semakin melampau kebelakangan ini sehingga menyebabkan kematian.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, buli didefinasikan sebagai perbuatan
mempermain-mainkan orang, kebiasannya orang yang lemah, dengan tujuaan untuk
menggertak, mencederakan, ataupun menakutkan orang tersebut. Dalam erti kata
lain, buli adalah perbuatan mengasari orang yang lemah untuk memperlihatkan
kekuatan atau keganasan seseorang. Kes buli seperti ini tidak hanya berlaku
dalam golongan dewasa, malah telah berlaku sejak peringkat awal sekolah iaitu
prasekolah. Selalunya perbuatan buli melibatkan sekumpulan pelajar dan mangsa
hanya keseorangan mempertahankan diri. Beberapa punca telah dikenal pasti telah
menyumbang kepada permasalahan ini.
Punca pertama gejala buli semakin berluluasa di negara kita adalah kurangnya
didikan agama. Negara yang pesat membangun menuntut rakyatnya bekerja keras
untuk memenuhi keperluan hidup. Dalam mengejar hal dunia, ibu bapa terlalu
sibuk sehinnga tiada masa untuk mendidik anak-anak. Bagi keluarga yang
berpendapatan tinggi, hal penjagaan anak diserahkan kepada pembantu rumah yang
sudah pasti berasal dari negara asing. Ibu bapa seharusnya sedar
penerapan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak lebih berkesan jika dididik
dari awal. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing tidak
mempunyai masa terluang untuk berkomunikasi dan memahami anak-anak
mereka.Kelemahan institusi kekeluargaan menyebabkan anak-anak dibiarkan bebas
dan kurang permantauan daripada ibu bapa. Kesannya, ibu bapa gagal memberikan
didikan agama dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak mereka. Ada
antara pelaku-pelaku kegiatan buli ini menganggap perbuatan mereka sekadar hobi
semata-mata. Ini menujukkan bahawa masyarakat yang semakin maju dan
berpendidikan tinggi tidak melahirkan insan yang berfikiran waras.
Majoriti pelaku jenayah buli mempunyai latar belakang masalah emosi
yang melampau-lampau. Masalah yang timbul dalam keluarga ataupun kerja
menyebabkan tekanan yang membebankan seseorang individu. Akibat tidak dapat
menyelesaikan masalah yang dihadapi dan kekurangan pengetahuan dalam menangani
tekanan telah menyebabkan mereka hilang kawalan ke atas emosi mereka.
Seterusnya mereka akan bertindak membuli orang lain sebagai salah satu cara
bagi melepaskan tekanan. Sesetengah pembuli turut mengaku bahawa mereka berasa
gembira dan puas hati selepas berbuat demikian.
Gejala buli juga boleh terjadi disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. Lazimnya,
golongan pembuli berfikiran kurang matang dan gagal membezakan baik buruknya
sesuatu tindakan. Sebaliknya, mereka sentiasa terikut-ikut akan perangai dan tindakan
rakan sebaya. Apabila individu itu tersalah memilih rakan, mereka kemungkinan
besar akan terjebak dengan gejala buli ini. Di samping itu, keadaan akan
bertambah buruk dengan sifat ego mereka yang tidak mahu kalah setelah dicabar
rakan sebaya. Rakan-rakan pula akan memprovokasi individu tersebut sehingga
tindakan pembuli di luar kewarasan otaknya.
Punca seterusnya boleh dilihat melalui pengaruh media massa. Media massa kini
juga telah menjadi pemangkin kepada budaya negatif ini. Pelbagai genre
filem dan drama bersiri luar negara yang disiarkan di televisyen sentiasa
memaparkan budaya asing yang sememangnya kontras dengan budaya tempatan.
Program-program yang diimport dari negara-negara barat berunsurkan aksi-aksi
ganas. Terdorong dengan perasaan ingin mencuba aksi-aksi yang dipaparkan pelaku
buli akan bertindak ke atas mangsanya tanpa memikirkan padah yang bakal mereka
perolehi.
Sebelum masalah ini menjadi semakin serius, langkah-langkah mengatasi perlu
diambil dengan efektif. Ibu bapa harus bekerjasama dengan pihak sekolah bagi
memastikan ank mereka tidak terlibat. Kita juga perlu memikir nasib mangsa buli
kerana mereka bukan saja mendapat kecederaan fizikal malah turut menjejaskan
emosi. Usaha membanteras gejala buli perlu ditangani dengan segara bagi
melahirkan masyarakat yang harmoni dan sekaligus menjamin kesejahteraan negara.
