Usaha

Usaha Tangga Kejayaan.

Ikhlas

Ikhlas diri dalam mencari Ilmu.

Tawakal

Berserah kepada Tuhan Selepas Berusaha.
 

.

Carian Dalam Blog

Karangan Kesan-kesan perpaduan semakin pudar dan langkah-langkahnya

Semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin longgar sejak akhir-akhir ini. Gejala ini boleh membawa pelbagai kesan negatif jikalau tidak dibendung lebih awal.

Bincangkan pendapat anda tentang kesan-kesan gejala tersebut dan langkah-langkah untuk membendungnya.


Apabila berbicara tentang terma perpaduan, justeru, mafhum daripada sepotong maksud ayat al Quran iaitu, “Aku jadikan manusia daripada lelaki dan perempuan dengan bersuku-suku dan berbangsa-bangsa supaya mereka dapat saling berkenal-kenalan dan bekerjasama” amatlah relevan untuk dirujuk. Sesungguhnya, perpaduan merupakan teras keamanan dan kesejahteraan kepada umat manusia. Perbezaan dalam aspek bangsa, budaya, agama, dan warna kulit bukan halangan untuk membentuk perpaduan. Demikianlah, hakikat sebenar yang terbina dalam kalangan rakyat Malaysia sejak sekian lama. Walau bagaimanapun, dengan anjakan pelbagai pengaruh, bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia sungguh membimbangkan. Fenomena ini telah memungkinkan pelbagai implikasi negatif akan melanda negara. Sedar akan pentingnya perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, maka sudah tiba masanya seluruh warga Malaysia menggemblengkan usaha untuk menyelamatkan negara daripada terjerumus ke kancah pertelagahan yang lebih parah

Apabila perpaduan dalam kalangan rakyat sudah mula goyah, musibah besar yang bakal menimpa ialah keamanan dan keharmonian negara akan tergugat. Hal demikian tidak dapat dielakkan lagi apabila masing-masing mula menyimpan perasaan syak wasangka. Keadaan pasti lebih parah apabila api persengketaan mula menular dalam kalangan masyarakat majmuk. Masing-masing berlagak menjadi hero kaum serta cuba menyemaikan bibit-bibit perkauman dengan cara menangguk di air keruh. Isu-isu remeh cuba disensasikan sehingga tercetus api kemarahan. Kesudahannya meletuslah persengketaan yang sukar dikawal seperti Peristiwa Hitam 13 Mei 1969 dan beberapa persengketaan lain seperti perbalahan kaum di Kampung Medan pada tahun 2003. Akhirnya, masing-masing menanggung rugi ibarat tempelak peribahasa, kalah jadi abu menang jadi arang.

Musibah yang amat nyata apabila berlaku perbalahan dalam kalangan masyarakat sudah pasti menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara. Ekonomi ialah tiang seri dan pasak kekuatan kepada sesebuah negara. Tanpa sokongan ekonomi yang mapan, kemajuan negara akan terbantut. Krisis kemanusiaan seperti kebuluran yang melanda negara-negara di Afrika, Syria, Burundi dan Palestin adalah berpunca daripada runtuhnya sistem ekonomi dan sosial mereka yang terlalu parah. Sebaliknya, apabila kita menoleh kepada negara-negara yang aman, seperti Jepun, Norway, dan Hongkong, justeru potensi ekonomi mereka berjaya dibangunkan sehingga menjadi kuasa ekonomi yang tersohor. Sebenarnya, apakah resipi istimewa di sebalik kejayaan tersebut? Jawapannya, tentu sekali kejayaan mereka berpaksikan kepada sikap toleransi dan saling memahami yang wujud dalam kalangan rakyat. Sesungguhnya, itulah acuan yang wajar ditiru oleh rakyat Malaysia jikalau tidak mahu peristiwa pisang berbuah dua kali..

Sudah lumrah, sesekali berarak juga mendung nan kelabu dan kadang-kadang gigi dan lidah pun boleh tergigit. Demikianlah hakikat pertelagahan dan perselisihan yang sering menjadi duri dalam daging yang menghalang perpaduan. Demi negara yang tercinta ini kembalilh kepada slogan “Bersatu teguh, bercerai roboh” dan peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat sebagai prakarsa untuk menyuburkan semula semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Kita hendaklah menjadi rakyat yang berfikiran rasional dan dingin kepala dalam menghadapi sesuatu masalah. Kita perlu bersatu di bawah panji-panji negara yang berdaulat dan merdeka. Sesungguhnya, kita wajar menilai semula akan harga kemerdekaan dan kebebasan yang kita kecapi kini adalah terlalu mahal. Demi negara, kita hendaklah menyanjung tinggi kedaulatan watan dengan menghayati sedalam-dalamnya wadah, “Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung”.

Semangat patriotik dan perasaan berbangga menjadi rakyat Malaysia hendaklah sentiasa subur dan mekar di dalam jiwa raga setiap rakyat. Anggaplah kelahiran kita di bumi Malaysia ini sebagai suatu rahmat. Apabila sudah ditakdirkan kita dilahirkan di sini, justeru inilah negara yang perlu dicintai dan tumpahkan seluruh taat setia. Jangan ada sikap mengggunting dalam lipatan dan telunjuk lurus kelengkeng berkait dalam kalangan rakyat Malaysia. Sikap sesetengah pihak yang sentiasa mengagumi negara lain sedangkan sesuap nasi untuk dirinya masih berada di sini amatlah dikesali. Ingatlah, seberapa tinggi sekalipun, seseorang itu mengagung-agungkan negara lain, sesudahnya dirinya diibaratkan tidak jauh seluang melaut akhirnya balik juga ke muara.

Dalam usaha mencari penyelesaian isu ini, ambillah panduaan peribahasa Melayu yang menjelaskan, sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Oleh hal yang demikian, pokok pangkal untuk mengembalikan roh perpaduan, kita kembalilah kepada latar sejarah. Sejarah kita telah terbina di atas paksi kemajmukan masyarakat. Oleh sebab itu, semua pihak harus berlapang dada dan menerima hakikat daripada realiti sejarah bangsa kita iaitu bangsa Malaysia. Salah faham dan pertikaian yang berpanjangan dalam kalangan kaum hanya mendedahi kita kepada kemusnahan. Keamanan yang telah terbina sejak sekian lama akan terkubur begitu sahaja. Oleh itu, amalkan sikap saling bersatu, ibarat ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Insya-Allah, sekiranya falsafah daripada peribahasa tersebut dipegang dengan kukuh, nescaya akan lahirlah suatu bangsa Malaysia yang kuat kerana berpegang kepada tonggak perpaduan, bertolak ansur, sejahtera, dan harmoni.

Ketika kita berusaha untuk membangunkan negara tercinta ini agar duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain, rakyat Malaysia haruslah bersatu hati dan satu matlamat dengan menzahirkan rasa cinta tanpa berbelah bahagi kepada watan tercinta ini. Tiada guna kita menyesali peristiwa yang lepas dan meragui impian yang dicita-citakan kerana semua itu boleh menjejaskan matlamat untuk melahirkan rakyat yang bersatu padu. Haruslah kita ingat kepada pesan orang tua-tua dalam beberapa anekdot pepatah Melayu, sudah terhantuk baru menengadah dan elakkan nasi menjadi bubur baru kita hendak berubah. Oleh itu, ambillah perpaduan sebagai teras kejayaan negara.

0 Komen:

Catat Ulasan

Berilmu

“Waktumu terbatas, jadi jangan sia-siakan dengan menjalani hidup orang lain. Jangan terjebak oleh dogma – yaitu hidup dengan hasil pemikiran orang lain.” – Steve Jobs

Beriman

“Teruslah tersenyum, karena hidup adalah hal yang indah dan ada banyak hal untuk disyukuri.” — Marilyn Monroe

Beramal

“Usaha dan keberanian tidak cukup tanpa tujuan dan arah perencanaan.” - John F. Kennedy