GAZA: RATIB
DARAH DI BUMI TERLUKA
Oleh: Qamarul Abdullah
Di hujung bumi yang
berbalut nestapa
bumi ini terkulai
tubuhnya luka
bayi-bayi belum sempat
bernafas dunia
dikambus debu sengsara
langitnya runtuh
tanahnya mengaduh
dan sunyi menjadi imam
kepada azan yang bisu
Tiada buaian buatmu
anak kecil
hanya jeritan pengganti
syair
susu ibu telah berubah
menjadi bara dan amarah
kelaparan pula menjadi
lolongan
yang tak sempat disebut
Maka bangkit durjana
dari jantung bumi
bangsa murka menjulang
bangkai nurani
bersorak di menara besi
bagai hakim buta
menghukum tanpa bicara
Wahai manusia yang
masih punya rasa
bukalah jendela hatimu
dengar, lihat, dan rasa
Gaza adalah cermin
dunia!
Gaza tidak rebah
ia dicencang dan
ditertawa!
lalu jangan kau bisukan
tangis di hujung langit
kerana diam itu peluru
buat penjarah jiwa
dan barangkali esok,
giliranmu pula bertanya: “mengapa?”

0 Komen:
Catat Ulasan