Usaha

Usaha Tangga Kejayaan.

Ikhlas

Ikhlas diri dalam mencari Ilmu.

Tawakal

Berserah kepada Tuhan Selepas Berusaha.
 

.

Carian Dalam Blog

Usaha mewujudkan persekitaran keluarga yang bersih, sihat, dan ceria

Sokongan daripada anak-anak amat penting dalam usaha mewujudkan persekitaran keluarga yang bersih, sihat, dan ceria.

Bincangkan pendapat anda tentang sumbangan yang boleh anak-anak berikan untuk mencapai matlamat di atas.


Keluarga bahagia adalah menjadi impian semua orang. Matlamat “Rumahku Syurgaku” menjadi hasrat semua ibu bapa. Namun demikian, tidak semua hasrat tersebut mencapai matlamat. Ada yang kecundang dan terbentur di tengah-tengah gelora samudera. Semua orang sentiasa menyimpan hasrat yang amat tinggi agar anak-anak menjadi insan mulia yang tahu membalas budi dan jasa induk mereka. Oleh yang demikian, bagi merealisasikan matlamat keluarga yang bersih, sihat, dan ceria anak-anak hendaklah berperanan penting untuk menyuburkan persekitaran rumah tangga yang bahagia dan kondusif.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa anak-anak memainkan peranan yang amat penting dalam usaha mewujudkan persekitaran keluarga yang bersih, sihat dan ceria. Anak-anak harus patuh dan hormat kepada kedua-dua ibu bapa. Kesejahteraan hubungan antara anak dengan ibu bapa dapat dijamin. Contohnya, anak-anak tidak patut melawan dan menyanggah cakap ibu bapa. Hal ini dikatakan begitu kerana ibu bapa akan berasa sedih sekiranya anak-anak tidak mendengar nasihat ibu bapa. Sebagai seorang anak yang taat, segala hasrat ibu bapa haruslah ditunaikan dan dipenuhi dengan bersungguh-sungguh. Anak-anak patut belajar bersungguh-sungguh supaya tidak mengecewakan ibu bapa. Aktiviti-aktiviti yang boleh menyakitkan hati ibu bapa tidak harus dilakukan. Aktiviti-aktiviti seperti mat rempit, mengambil dadah, vandalisme dan sebagainya tidak harus sesekali dilakukan supaya dapat menjaga maruah keluarga. Bak kata pepatah, “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?”, justeru anak-anak harus menuruti segala perintah ibu bapa supaya perasaan ibu bapa tidak tersinggung dan keluarga yang bahagia dapat dizahirkan.

Dalam usaha mencapai persekitaran keluarga yang harmoni, anak-anak harus menjalinkan hubungan yang akrab sesama anggota keluarga. Hal ini amat penting untuk mengelakkan berlakunya persengketaan dan perselisihan faham yang kian menular dalam dimensi keluarga pada masa ini. Sebarang masalah dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya wujud sikap bertoleransi dalam kalangan anggota keluarga. Melalui penglibatan anak-anak dalam aktiviti-aktviti seperti riadah, gotong-royong dan solat berjemaah, sifat persaudaraan yang utuh dapat disuntikkan dalam jiwa setiap anggota keluarga. Anak-anak yang bercakap secara hormat dan lemah lembut dapat menguraikan sikap ego dan mementingkan diri sendiri. Tegasnya, bak kata pepatah, menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan terserak, yang membawa kepada maksud sesuatu masalah dapat diselesaikan dengan baik dan masalah sampingan tidak akan timbul sekiranyan anak-anak menjalinkan hubungan harmonis sesama anggota keluarga.

Pada masa yang sama, anak-anak harus merancangkan perjumpaan keluarga secara berkala. Semua ahli keluarga boleh bersama-sama pulang ke induk untuk melawat saudara mara. Anak-anak boleh mengambil kesempatan pada cuti hujung minggu, cuti am atau musim perayaan sebagai salah satu peluang untuk mengunjungi ahli keluarga yang tinggal di tempat yang jauh. Aktiviti-aktiviti mesra keluarga seperti makan bersama, berkelah atau melancong ke luar atau dalam negara boleh diadakan untuk merapatkan hubungan antara satu sama lain. Confucious pernah berkata, “Sumbagan kasih sayang oleh ahli keluarga adalah lebih baik daripada sumbangan dari segi kewangan”. Dengan ini, hubungan yang erat antara keluarga mesti dikekal selama-lamanya supaya amalan keluarga tidak akan hapus. Orang tua-tua pernah berkata, air dicencang tidak akan putus, justeru begitulah hakikat berkeluarga. Oleh sebab itu, hubungan ahli keluarga yang kukuh amat penting untuk membentuk keluarga yang bahagia. Kesimpulannya, anak-anak mesti sentiasa mengunjungi ahli keluarga bagi memastikan hubungan kekeluargaan dikekalkan.

Dalam usaha untuk meuwjudkan persekitaran keluarga yang bersih, sihat dan ceria, anak-anak boleh mengadakan program fizikal dan kerohanian secara bersama-sama. Oleh hal yang demikian, anak-anak boleh mengajak ahli keluarga melibatkan diri dalam aktiviti riadah seperti berbasikal, bermain badminton dan sebagainya. Melalui aktiviti ini, secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan serta dapat menyihatkan tubuh badan. Selain itu, anak-anak juga boleh mengadakan aktiviti gotong-royong seperti mengemas rumah agar persekitaran rumah sentiasa bersih dan secara tidak langsung perkara ini dapat mempengaruhi emosi ahli keluarga. Aktiviti seperti solat berjemaah dan ziarah-menziarahi turut digalakkan dalam Islam sebagai wasilah merapatkan jurang kekeluargaan. Bak kata pepatah, yang jauh didekatkan yang dekat dirapatkan, maka terbentuklah sebuah keluarga yang mesra dan bermawadah. Jelaslah anak merupakan kekuatan bagi sesebuah keluarga seperti nukilan Hadis Rasulullah, “Kekuatan antara seseorang dengan yang lain ibarat susunan batu-bata yang mendirikan sebuah bangunan. Andai satu daripadanya runtuh, maka runtuhlah seluruh bangunan itu.”

Keluarga bahagia merupakan teras masyarakat yang maju dan harmoni. Masyarakat yang harmoni dan dinamik bermula daripada sistem keluarga yang teratur dan sejahtera. Oleh itu, setiap keluarga sama ada keluarga nukleus mahupun keluarga besar hendaklah menjalinkan kehidupan yang saling menyokong dan bertoleransi. Jauhi sifat mementingkan diri sendiri kerana sudah suratan hubungan darah daging ibarat cubit peha kiri peha kanan pun teras sakit.

Peranan pelbagai pihak untuk mewujudkan keluarga bahagia di negara kita

 

Keluarga bahagia pemangkin kemajuan sesebuah negara.  Bincangkan peranan pelbagai pihak untuk mewujudkan keluarga bahagia di negara kita.

Jawapan:

Keruntuhan institusi keluarga akan melahirkan generasi yang lemah.” Kata-kata ini pernah diungkapkan oleh tokoh terkenal dunia, iaitu Mahatma Ghandi. Hal ini jelas membuktikan bahawa kebahagiaan dalam sesebuah institusi keluarga amat diperlukan untuk kejayaan negara pada masa akan datang. Dalam era globalisasi ini, kita sendiri dapat melihat perasaan kasih sayang dan semangat kekeluargaan kian hari kian menurun. Hal ini berpunca daripada ibu bapa yang terlalu sibuk dengan pekerjaan dan persaingan yang semakin meningkat sehingga mengabaikan anak-anak mereka. Ibu bapa terlalu mementingkan hal duniawi sehingga lupa akan tanggungjawab mereka untuk memberikan pendidikan agama dan kasih sayang yang sewajarnya kepada anak-anak. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menyalahkan ibu bapa semata-mata. Sistem pendidikan yang terlalu menekankan pelajar mendapat markah yang tinggi sehingga mereka terpaksa menghadiri kelas tuisyen dari pagi sampai malam telah mengambil masa yang sepatutnya anak-anak meluangkan masa bersama-sama ibu bapa dan menjadi antara punca keruntuhan institusi keluarga. Oleh sebab itu, pelbagai pihak perlulah memainkan peranan untuk mengatasi masalah ini dengan segeranya sebelum nasi menjadi bubur.

Salah satu pihak yang perlu memainkan peranan untuk mewujudkan keluarga yang bahagia ialah ibu bapa sendiri. Mereka perlu mengambil tahu tentang hal anak-anak supaya mereka tidak terjebak dalam budaya negatif. Ibu bapa perlu mengatur masa mereka dengan baiknya agar dapat meluangkan masa dengan anak-anak. Dr. Irfan Khairi mengatakan, “Merancang masa bermakna merancang kejayaan.” Jika masa diatur dengan baiknya, ibu bapa dapat meluangkan masa dengan melakukan aktiviti riadah bersama-sama anak-anak. Hal ini sudah pasti akan melahirkan keluarga yang bahagia. Hubungan antara suami isteri juga perlu ditingkatkan. Sifat kasih sayang, sabar dan  saling menasihati perlu diwujudkan. Jika anak-anak melihat ibu bapa mereka mempunyai hubungan yang mesra, keadaan dalam rumah tangga akan lebih harmoni. Dalam hal ini, setiap ahli keluarga perlulah saling bermaafan dan tiada perasaan dengki antara ahli keluarga. Pascal pula pernah mengatakan,”Jangan memikirkan masa lampau atau masa yang akan datang tetapi tawanlah saat ini dan ambillah manfaatnya.” Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa perlu  menggunakan masa bersama keluarga dengan cara yang terbaik untuk melahirkan keluarga yang bahagia.

Parkarsa seterusnya ialah media massa amat berperanan untuk membina keluarga yang bahagia. Dalam hal ini, rancangan yang disiarkan di televisyen, radio dan sebagainya perlu memaparkan budaya yang positif. Rancangan yang mempunyai nilai-nilai murni perlu diadakan agar masyarakat dapat mencontohi dan mengambil teladan tentang perbuatan mereka. Media cetak pula seperti majalah dan akhbar perlu mengiklankan aktiviti atau program yang boleh disertai oleh setiap ahli keluarga. Melalui aktiviti yang dianjurkan itu, sebuah institusi keluarga dapat melakukan bersama-sama aktiviti menyeronokkan yang bukan sahaja merapatkan hubungan dalam keluarga tetapi akan menyihatkan tubuh badan. Tokoh terkenal, Cicero, mengatakan, “Pengalaman merupakan guru yang terbaik.” Kata-kata hikmat ini menunjukkan bahawa pengalaman mengalami suasana yang bahagia bersama-sama ahli keluarga amat penting sekali untuk mencapai hasrat kerajaan untuk membentuk keluarga bahagia. Tegasnya, media massa dapat memainkan peranan untuk meningkatkan kebahagiaan dalam institusi keluarga.

Selain itu, pihak sekolah juga mempunyai tanggungjawab untuk membentuk dan membina keluarga bahagia. Sekolah perlulah menganjurkan program seperti Hari Niaga Ria, Hari Kokurikulum, Hari Terbuka dan sebagainya yang melibatkan ibu bapa dalam kehidupan anak-anak mereka di sekolah. Guru-guru yang mengajarkan pendidikan agama dan moral pula perlu menekankan kepentingan dan kebaikan kebahagiaan dan keharmonian dalam sesebuah insitusi keluarga bukan sahaja kepada individu tetapi negara. Guru-guru perlulah mendidik anak muridnya untuk membentuk individu yang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehiduoan. Dalam hal ini, penekanan terhadap mata pelajaran agama dan moral amat penting. Albert Einstein, saintis terkenal seluruh dunia mengatakan, “Agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh.” Hal ini jelas menunjukkan bahawa pihak sekolah turut berperanan untuk membentuk sebuah institusi keluarga yang bahagia.

Akhir sekali, pihak yang memainkan peranan untuk merealisasikan impian bagi membina keluarga yang bahagia ialah pihak kerajaan. Kempen kesedaran perlu diadakan untuk membantu masyarakat bagi meningkatkan kualiti institusi keluarga mereka. Program seperti Hari keluarga perlu dianjurkan dan mempunyai pelbagai aktiviti dan hiburan yang dapat dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat. Pihak berluasa perlulah bersungguh-sungguh untuk menjayakan program-program ini agar impian untuk melahirkan keluarga bahagia akan tercapai. Charles Cahier mengatakan,”Kejayaan tidak akan datang kepada orang yang leka.” Kata-kata ini jelas membuktikan bahawa kerjasama dan kegigihan perlu ada untuk mencapai hasrat kerajaan ini. Pihak kerajaan juga perlu mengadakan ceramah di tempat kerja  tentang kepentingan keharmonian dalam sesebuah keluarga. Ceramah-ceramah ini perlu diwajibkan kepada setiap kakitangan kerajaan untuk menghadirinya. Dengan adanya kempen ini, kesedaran dalam kalangan masyarakan tentang kepentingan pewujudan keluarga yang bahagia dapat ditingkatkan.

Sebagai kesimpulannya, pelbagai pihak mempunyai peranan yang sangat penting untuk merealisasikan keluarga bahagia di negara kita. Semua pihak perlulah bekerjasama untuk menangani masalah keruntuhan institusi keluarga kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kita perlulah membaiki sikap dalam diri kita dan membuang segala budaya negatif yang telah menyebabkan keurntuhan institusi keluarga. Confucius mengatakan,”Seseorang yang melakukan kesilapan dan tidak membetulkannya telah melakukan kesalahan lagi.” John Zwingli pula mengatakan,”bagaimana pentingnya batu-bata untuk pembinaan, begitulah pentingnya keluarga untuk membina sebuah Negara.” Oleh hal yang demikian, pelbagai pihak di negara kita perlu berusaha untuk melakukan sesuatu supaya keluarga yang bahagia dapat diwujudkan secara total di negara kita.  Akhirulkalam, kebahagiaan dalam institusi keluarga datangnya daripada akhlak mulia individu itu sendiri.

[ 835 patah perkataan]

Karangan Kesan-kesan perpaduan semakin pudar dan langkah-langkahnya

Semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin longgar sejak akhir-akhir ini. Gejala ini boleh membawa pelbagai kesan negatif jikalau tidak dibendung lebih awal.

Bincangkan pendapat anda tentang kesan-kesan gejala tersebut dan langkah-langkah untuk membendungnya.


Apabila berbicara tentang terma perpaduan, justeru, mafhum daripada sepotong maksud ayat al Quran iaitu, “Aku jadikan manusia daripada lelaki dan perempuan dengan bersuku-suku dan berbangsa-bangsa supaya mereka dapat saling berkenal-kenalan dan bekerjasama” amatlah relevan untuk dirujuk. Sesungguhnya, perpaduan merupakan teras keamanan dan kesejahteraan kepada umat manusia. Perbezaan dalam aspek bangsa, budaya, agama, dan warna kulit bukan halangan untuk membentuk perpaduan. Demikianlah, hakikat sebenar yang terbina dalam kalangan rakyat Malaysia sejak sekian lama. Walau bagaimanapun, dengan anjakan pelbagai pengaruh, bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia sungguh membimbangkan. Fenomena ini telah memungkinkan pelbagai implikasi negatif akan melanda negara. Sedar akan pentingnya perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, maka sudah tiba masanya seluruh warga Malaysia menggemblengkan usaha untuk menyelamatkan negara daripada terjerumus ke kancah pertelagahan yang lebih parah

Apabila perpaduan dalam kalangan rakyat sudah mula goyah, musibah besar yang bakal menimpa ialah keamanan dan keharmonian negara akan tergugat. Hal demikian tidak dapat dielakkan lagi apabila masing-masing mula menyimpan perasaan syak wasangka. Keadaan pasti lebih parah apabila api persengketaan mula menular dalam kalangan masyarakat majmuk. Masing-masing berlagak menjadi hero kaum serta cuba menyemaikan bibit-bibit perkauman dengan cara menangguk di air keruh. Isu-isu remeh cuba disensasikan sehingga tercetus api kemarahan. Kesudahannya meletuslah persengketaan yang sukar dikawal seperti Peristiwa Hitam 13 Mei 1969 dan beberapa persengketaan lain seperti perbalahan kaum di Kampung Medan pada tahun 2003. Akhirnya, masing-masing menanggung rugi ibarat tempelak peribahasa, kalah jadi abu menang jadi arang.

Musibah yang amat nyata apabila berlaku perbalahan dalam kalangan masyarakat sudah pasti menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara. Ekonomi ialah tiang seri dan pasak kekuatan kepada sesebuah negara. Tanpa sokongan ekonomi yang mapan, kemajuan negara akan terbantut. Krisis kemanusiaan seperti kebuluran yang melanda negara-negara di Afrika, Syria, Burundi dan Palestin adalah berpunca daripada runtuhnya sistem ekonomi dan sosial mereka yang terlalu parah. Sebaliknya, apabila kita menoleh kepada negara-negara yang aman, seperti Jepun, Norway, dan Hongkong, justeru potensi ekonomi mereka berjaya dibangunkan sehingga menjadi kuasa ekonomi yang tersohor. Sebenarnya, apakah resipi istimewa di sebalik kejayaan tersebut? Jawapannya, tentu sekali kejayaan mereka berpaksikan kepada sikap toleransi dan saling memahami yang wujud dalam kalangan rakyat. Sesungguhnya, itulah acuan yang wajar ditiru oleh rakyat Malaysia jikalau tidak mahu peristiwa pisang berbuah dua kali..

Sudah lumrah, sesekali berarak juga mendung nan kelabu dan kadang-kadang gigi dan lidah pun boleh tergigit. Demikianlah hakikat pertelagahan dan perselisihan yang sering menjadi duri dalam daging yang menghalang perpaduan. Demi negara yang tercinta ini kembalilh kepada slogan “Bersatu teguh, bercerai roboh” dan peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat sebagai prakarsa untuk menyuburkan semula semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Kita hendaklah menjadi rakyat yang berfikiran rasional dan dingin kepala dalam menghadapi sesuatu masalah. Kita perlu bersatu di bawah panji-panji negara yang berdaulat dan merdeka. Sesungguhnya, kita wajar menilai semula akan harga kemerdekaan dan kebebasan yang kita kecapi kini adalah terlalu mahal. Demi negara, kita hendaklah menyanjung tinggi kedaulatan watan dengan menghayati sedalam-dalamnya wadah, “Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung”.

Semangat patriotik dan perasaan berbangga menjadi rakyat Malaysia hendaklah sentiasa subur dan mekar di dalam jiwa raga setiap rakyat. Anggaplah kelahiran kita di bumi Malaysia ini sebagai suatu rahmat. Apabila sudah ditakdirkan kita dilahirkan di sini, justeru inilah negara yang perlu dicintai dan tumpahkan seluruh taat setia. Jangan ada sikap mengggunting dalam lipatan dan telunjuk lurus kelengkeng berkait dalam kalangan rakyat Malaysia. Sikap sesetengah pihak yang sentiasa mengagumi negara lain sedangkan sesuap nasi untuk dirinya masih berada di sini amatlah dikesali. Ingatlah, seberapa tinggi sekalipun, seseorang itu mengagung-agungkan negara lain, sesudahnya dirinya diibaratkan tidak jauh seluang melaut akhirnya balik juga ke muara.

Dalam usaha mencari penyelesaian isu ini, ambillah panduaan peribahasa Melayu yang menjelaskan, sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Oleh hal yang demikian, pokok pangkal untuk mengembalikan roh perpaduan, kita kembalilah kepada latar sejarah. Sejarah kita telah terbina di atas paksi kemajmukan masyarakat. Oleh sebab itu, semua pihak harus berlapang dada dan menerima hakikat daripada realiti sejarah bangsa kita iaitu bangsa Malaysia. Salah faham dan pertikaian yang berpanjangan dalam kalangan kaum hanya mendedahi kita kepada kemusnahan. Keamanan yang telah terbina sejak sekian lama akan terkubur begitu sahaja. Oleh itu, amalkan sikap saling bersatu, ibarat ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Insya-Allah, sekiranya falsafah daripada peribahasa tersebut dipegang dengan kukuh, nescaya akan lahirlah suatu bangsa Malaysia yang kuat kerana berpegang kepada tonggak perpaduan, bertolak ansur, sejahtera, dan harmoni.

Ketika kita berusaha untuk membangunkan negara tercinta ini agar duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain, rakyat Malaysia haruslah bersatu hati dan satu matlamat dengan menzahirkan rasa cinta tanpa berbelah bahagi kepada watan tercinta ini. Tiada guna kita menyesali peristiwa yang lepas dan meragui impian yang dicita-citakan kerana semua itu boleh menjejaskan matlamat untuk melahirkan rakyat yang bersatu padu. Haruslah kita ingat kepada pesan orang tua-tua dalam beberapa anekdot pepatah Melayu, sudah terhantuk baru menengadah dan elakkan nasi menjadi bubur baru kita hendak berubah. Oleh itu, ambillah perpaduan sebagai teras kejayaan negara.

Berilmu

“Waktumu terbatas, jadi jangan sia-siakan dengan menjalani hidup orang lain. Jangan terjebak oleh dogma – yaitu hidup dengan hasil pemikiran orang lain.” – Steve Jobs

Beriman

“Teruslah tersenyum, karena hidup adalah hal yang indah dan ada banyak hal untuk disyukuri.” — Marilyn Monroe

Beramal

“Usaha dan keberanian tidak cukup tanpa tujuan dan arah perencanaan.” - John F. Kennedy