Usaha

Usaha Tangga Kejayaan.

Ikhlas

Ikhlas diri dalam mencari Ilmu.

Tawakal

Berserah kepada Tuhan Selepas Berusaha.
 

.

Carian Dalam Blog

faktor-faktor pemilihan kerjaya bagi seseorang remaja

 

Kebanyakan remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia mengimpikan kerjaya yang dapat menjamin masa hadapan mereka.

Huraikan faktor-faktor pemilihan kerjaya bagi seseorang remaja.

 

Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah menyumbang kepada perkembangan ekonomi pesat yang menjana pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia. Dalam sistem pendidikan di Malaysia, kita menghabiskan masa selama enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Selama sebelas tahun ini, pelajar sentiasa disoal oleh guru-guru, “apakah kerjaya yang anda inginkan?”   Semasa dalam tingkatan empat, pelajar perlu memilih gabungan mata pelajaran yang sesuai berdasarkan minat mereka untuk mengejar kerjaya impian. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kerjaya merujuk kepada profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah hidup. Kerjaya merupakan panduan dalam kehidupan kita. Pada masa ini, pelajar sepatutnya telah menetapkan matlamat tentang kursus dan kerjaya yang diingini mereka supaya mereka ada hala tuju dalam hidup tidaklah seperti layang- layang yang terputus tali dan tidak menyesal dengan keputusan yang diambil dikemudian hari. Antara kerjaya yang menjadi pilihan ialah doktor, juruterbang, jurutera, ahli kimia dan sebagainya. Persoalannya, apakah faktor-faktor yang mempengaruhi dalam pemilihan sesuatu bidang kerjaya dalam kalangan pelajar SPM?  

 

Fokus perbincangan pertama saya berkaitan faktor minat dan cita-cita pelajar semasa di bangku sekolah terutama dalam kalangan pelajar SPM. Minat dan cita-cita merupakan dua perkara saling berkait dan merupakan faktor paling dominan mempengaruhi pemilihan kerjaya seseorang pelajar terutama pelajar yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).   Oleh sebab itu, ketika mereka berada di tingkatan empat, pelajar perlu menentukan aliran yang mereka pilih, sama ada aliran sains atau sastera. Bertitik tolak daripada itu, pelajar akan belajar dengan tekun untuk meraih kejayaan cemerlang ke semua pakej mata pelajaran yang ditawarkan dalam jurusan yang diambil. Hal ini kerana kecemerlangan mereka tersebut membolehkan mereka meneruskan pengajian di menara gading untuk menggapai cita-cita mereka. Di Menara gading jugalah tepat mereka menimba ilmu berdasarkan kerjaya yang mereka cita-citakan, sama ada untuk menjadi golongan pekerja profesional seperti doktor, peguam, pendidik, pentadbir dan sebagainya. Jikalau pelajar berusaha sudah pasti mereka akan menggapai kerjaya yang mereka impikan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tegasnya, faktor minat dan cita-cita merupakan dua aspek penentu utama kejayaan pelajar untuk merealisasikan kerjaya mereka cita-citakan.

 

Selain faktor minat dan cita-cita, pelajar juga perlu memilih mata pelajaran yang ada kaitan dengan kerjaya yang mereka pilih. Umumnya kita mengetahui bahawa semasa di alam persekolahan lagi pelajar harus memilih subjek yang berkaitan dengan kerjaya yang akan diceburi oleh mereka. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan mereka lebih mahir dalam menguruskan kerjaya yang akan diceburi kerana sudah mengetahui dan membuat persediaan yang rapi umpama sediakan payung sebelum hujan. Dengan perkataan yang lain, pelajar seharusnya mengambil subjek yang berkaitan dengan cita-cita masing-masing semasa mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Pada zaman yang serba canggih ini, bukan sahaja kemahiran yang dilihat oleh majikan tetapi keputusan yang cemerlang dalam subjek yang dipilih itu bersesuaian dengan kerjaya turut diberi keutamaan kerana hanya jauhari sahaja yang mengenali manikam. Contohnya, jika pelajar  memilih kerjaya sebagai seorang jurutera, subjek yang mereka mesti pilih ialah Lukisan kejuruteraan. Jikalau pelajar berjaya menguasai mata pelajaran berkenaan sudah pasti mereka ada kelebihan untuk menggapai kerjaya yang diidam-idamkan. Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh, pemilihan mata pelajaran juga penting untuk menentukan kejayaan pelajar merealisasikan kerjaya yang mereka minati.

 

          Bahkan juga, pelajar yang mengidamkan kerjaya yang diminati perlu mempunyai tokoh atau idola sebagai motivasi untuk berjaya. Kebiasaaanya, idola yang dipilih perlulah seorang yang unik, seorang yang tabah, dan berjaya dalam bidang kerjayanya. Sebagai contoh Hijjaz Kasturi, seorang arkitek luar biasa negara, mendapat pendidikan di  Adelaide University dan seterusnya ke Melbourne University, Australia. Sekembalinya ke Malaysia tahun 1967, beliau telah memiliki kemahiran tersendiri dan menerajui bidang arkitek negara. Beliau telah memenangi pertandingan rekebentuk menara Maybank, bangunan Tabung Haji dan menara Telekom. Setiap rekabentuk bangunannya menerapkan ciri-ciri keIslaman hingga ke hari ini sehingga namanya tersohor di Persada dunia. Sekiranya pelajar mempunyai idola sendiri, sudah pasti kerjaya pilihan mereka sebagai seorang arkitek akan dapat direalisasikan kerana setiap sejarah kejayaan serta teladan seperti ketekunan, kegigihan dan kekreatifan idola mereka memotivasikan mereka untuk berjaya bukan sahaja di Malaysia malah keseluruh dunia. Tegasnya, seseorang pelajar yang ingin berjaya menggapai kerjaya idamannya memerlukan idola agar dapat mempengaruhi minda dan semangat mereka untuk berjaya.

     

Selain itu, sokongan dan doa ibu bapa amat perlu untuk memastikan kerjaya idaman remaja dapat direalisasinan. Ironisnya, jika minat seseorang itu tidak mendapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapa, sudah tentulah punah harapan mereka.  Hal ini bermakna, seseorang yang hanya mempunyai minat tetapi tidak mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa mereka tentang pemilihan kerjayanya, sudah pasti mereka akan kecundang di peringkat awal lagi.  Oleh hal yang demikian, ibu bapa sewajarnya menyokong minat anak-anak walaupun pemilihan kerjaya mereka bertentangan dengan harapan kedua-dua ibu bapa.  Bagi menyokong pemilihan kerjaya anak-anak mereka, ibu bapa boleh memperlengkapkan segala keperluan anak-anak dalam memenuhi kriteria yang diperlukan.  Sebagai buktinya, ibu bapa bolehlah memberikan dorongan, semangat dan motivasi kepada anak-anak sama ada dalam bentuk material mahupun spiritual. Sekiranya, ibu bapa tidak turut serta membantu usaha anak mereka untuk menggapai kerjaya idaman mereka sudah pasti usaha berkenaan tidak akan kesampaian. Izharlah bahawa ibu bapa juga berperanan menyokong minat anak-anak mereka dalam merealisasikan kerjaya masa depan  anak-anak mereka.

 

Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirulkalam, minat menjadi prioriti utama dalam pemilihan sesuatu kerjaya. Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pemilihan kerjaya anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak mereka memerlukan sokongan dan dorongan daripada mereka sama ada dari aspek mental, spiritual mahupun fizikal. Contoh ketara dari aspek sokongan mental dan spiritual ialah ibu bapa perlu memberikan motivasi kepada anak-anak, manakala sokongan dari aspek fizikal pula ialah mereka perlu menyediakan kelengkapan belajar anak-anak seperti buku rujukan dan menghantar mereka ke pusat tuisyen. Sekiranya hal ini dapat dilaksanakan maka tidak ada lagi orang yang akan sesat di perjalanan untuk memilih kerjaya kerana mereka menetapkan sasaran dari awal lagi. Walaupun demikian, jika seseorang mempunyai minat dan hala tuju yang jelas, tetapi mereka bersikap genggam-genggam bara, terasa panas dilepaskan dan tidak ada semangat kegigihan, ketabahan, keiltizaman dan kecekalan, sudah pasti segala hasrat termasuk kerjaya yang menjadi idaman akan hancur lebur umpama kubur tanpa nisan. Tuntasnya, perkara-perkara yang dinyatakan di atas hendaklah dilaksanakan secara efektif dan janganlah bersikap keras-keras kerak nasi yang mudah putus asa supaya pemilihan bidang kerjaya impian akan menjadi lebih jelas lagi. 

Pantun Dari Teks Tradisional

 

Hikayat Raja Pasai (1326)

 

Lada siapa dibangsalkan,

            Raja saujana kerati;

Pada siapa disesalkan,

            Tuan juga empunya pekerti.

 

Lada siapa dibangsalkan,

            Selama lada sekerati;

Pada siapa disesalkan,

            Tuan juga empunya pekerti.

 

( Pantun Melayu bertulis terawal dipercayai sekitar tahun 1326)

 

Sindiran : Sultan Ahmad (Raja Pasai) berahikan anaknya (sumbang mahram/ badak makan anak) Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara. Diketahui anaknya Tun Beraim Bapa dan Tun Abdul Jalil. Cuba menghalang. Sultan Ahmad marah, lalu membunuh kedua-dua anaknya. Tun Abdul Jalil adalah tunangan Tuan Puteri Raden Galuh Gemerencang, anak Raja Benua Jawa. Dapat tahu, rasa sangat kecewa, minta doa supaya tenggelam/ mati di laut Jambu Air. Raja Jawa dapat tahu, sangat marah pada Sultan Ahmad. Angkatan Jawa serang Pasai. Sultan menyesal membunuh Tun Beraim Bapa dan Tun Abdul Jalil. Beritahu pada bendaharanya Tun Perpatih Tulus Agung Tukang Sukara. Tun Perpatih Tulus Agung Tukang  Sukara lafazkan pantun sindiran ini pada Sultan Ahmad.

 

Hikayat Mangendera Dewa Raja (cerita lipurlara – pengaruh Hindu)

(pantun cinta kasih-sayang)

 

Teruntum pulau dewata,

            Jeruju di dalam padi;

Tergantung di ruang mata,

            Sudah tertuju di dalam hati.

 

Andang-andang dipuput ribut,

            Jatuh ke tasik anta purnama;

Badanku seorang diperebut,

            Akan menghibur gundah gulana.

 

Sejarah Melayu / Sulalatussalatin (1424)

 

Cau Pandan anak Bubunya,

Hendak menyerang ke Melaka;

Ada cincin berisi bunga,

Bunga berladung si ar mata.

(Cau Pandan anak Maharaja Siam Bubunya. Berhasrat hendak menyerang negeri Melaka. Dapat tahu oleh Sultan Muzaffar Shah. Memerintahkan orang berjaga-jaga. Di Melaka ada seorang Sidi Arab yang sakti, pandai main panah. Di panah oleh Sidi Arab, kasadnya kenalah dada Cau Pandan. Takdir Allah, Cau Pandan di Siam merasa dadanya kena panah, muntah darah dan mati. Tak jadi serang Melaka, selamatlah Melaka)

 

Ke sana –sana raja duduk,

Jangan ditimpa oleh papan;

Diketahui ganja tu mabuk,

Mengapa maka dimakan.

 

(Sindiran pada Raja yang tidak berhati-hati, mudah terpedaya.

Sultan Abdullah (Raja Bentan) telah naik ke kapal Kapten Mor (Feringgi) setelah dipelawa olehnya, untuk melihat kapal tersebut. Kapten Mor telah menangkap dan mengikat Sultan Abdullah. Dilarikan ke Melaka – ke Goa (India) – ke Portugal. Kerana kebebalan Sultan itu maka dipantunkan orang dengan pantun berkenaan.

 

Hikayat Hang Tuah

 

Lokan melata di perahu,

            Belah baling bertanduan;

Bukan aku tiada tahu,

            Akulah hulubalang minta lawan.

 

(Pantun Hang Tuah ketika bermin-main dengan lima sahabatnya semasa mandi di sungai Melaka)

 

Kain bersuji di atas atap,

            Pakaian raja hari-raya;

Jika sudi tuan santap,

            Jika tidak apakan daya.

 

(Usik perempuan – perempuan yang melihat ketampanan dan kepahlawanan Hang Tuah sewaktu menjadi Laksamana di istana Melaka)

Panduan Mudah Mencipta Pantun

 

 

 

 

Panduan Mudah Mencipta Pantun

Oleh : Mohd. Fauzi bin Abdullah

IPGM Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur.

 

Kemahiran mencipta pantun adalah salah satu daripada kemahiran menulis yang harus dipelajari oleh pelajar yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu atau Kesusasteraan Melayu.. Sebagai bahan kreatif, penciptaan pantun seharusnya digubah menggunakan bahasa yang indah, puitis dan berkesan bagi menyampaikan pemikiran.

Ciptaan juga harus mengikut prinsip ciptaan puisi terutama puisi tradisional yang agak terkawal sifatnya. Berikut diberikan panduan ringkas tentang proses kreatif mencipta pantun.

 

Langkah 1

Latihan perbendaharaan kata 1.

  • Perlu mencari dan menyenaraikan sebanyak mungkin perkataan sama ada perkataan baru atau perkataan lama (arkaik).
  • Penggunaan kamus sangat digalakkan.
  • Sebagai permulaan bolehlah senaraikan 50 perkataan dan tambahlah dari semasa ke semasa.
  • Senaraikan perkataan yang berkaitan dengan nama objek atau unsur alam bagi dijadikan pembayang pantun.
  • Selain menyenarai, juga perlu mengetahui, mengenali dan memahami makna, bentuk dan sifat objek berkenaan.
  • Laksanakan dengan cara membuat buku skrap atau buku catatan khas.

 

Nama/ perkataan

 

Gambar/ lakaran/ lukisan

 

Keterangan ringkas (erti, sifat, bentu dll)

 

  • Pada peringkat awal, bolehlah menyenaraikan nama-nama objek alam yang biasa digunakan dalam percakapan harian atau biasa ditemukan dalam buku teks sekolah, akhbar harian atau dalam karya sastera tradisional atau moden.
  • Perkataan berkenaan mungkin berkaitan dengan alam buana (seluruh isi darat/ laut/ air) atau alam dirgantara (seluruh isi angkasa raya).

 

Langkah 2

  • Susunlah perkataan berkenaan mengikut kelompok masing-masing.

Contoh :

Objek daratan

§  Nama tumbuhan/ pokok : jati, merbau, rambutan, langsat, pisang

§  Bunga-bungaan : melati, kemboja, sena, kiambang, cempaka

§  Buah-buahan : rambutan, manggis, tembikai

§  Sayuran : lobak, petola, peria, cabai, kangkung

§  Binatang dan unggas: harimau, jengking, labah-labah, beruang, semut, Geofizikal daratan : gunung, sungai, lembah, paya, jurang, pulau

Objek air/ lautan

§  Nama ikan sungai, paya dan kolam : keli, sepat, haruan, talapia,

§  Nama ikan lautan : kerisi, tamban, selar, tenggiri

§  Geo fizikal lautan/ sungai : pantai, selat, ombak, tebing, muara

Objek angkasa raya

§  Bulan

§  Bintang

§  Matahari, suria

Nama-nama lain

§  Kisah / cerita : sejarah, mitos, legenda, cerita rakyat

§  Tokoh sejarah : Hang Tuah, Bahaman, Mat Kilau

§  Anasir alam : banjir, bah, ribut, taufan, gempa

§  Benda kegunaan harian : tikar, permaidani, tudung saji, meja, kerusi

§  Perkakas rumah : radio, senduk belanga,

§  Perhiasan : gambar, lukisan, arca, pasu

§  Nama negeri : Pahang, Melaka, Johor

§  Nama pengangkutan darat, air, angkasa : kereta, perahu, kapal terbang

Langkah 3

Latihan perbendaharaan kata 2

  • Senaraikan objek/ sikap/ sifat manusia
  • Digunakan bagi membina bahagian maksud pantun, iaitu baris ketiga dan keempat.

§  Anggota tubuh : kepala kaki, tangan, mata, mulut, lutut, perut

§  Sifat : gemuk, pendek, putih, panjang, kurus, tinggi, cantik, cerdik.

§  Sikap : rajin, malas, bijak pemarah, berani, baik hati, tanggungjawab

 

Langkah 4

Latihan Membina Skima Rima/ Bunyi

 

Susun atau padankan perkataan mengikut bunyi suku kata hujung yang sama bermula dengan …ba hingga …baz , seterusnya …ca hingga …caz , dan berikutnya, mengikut turutan huruf yang sesuai.

 

lumba-lumba

Kesumba

Tiba

Cuba

tuba

Lembab

Sebab

Kebab

Rebab

sembab

Lebah

Sembah

Rebah

Kubah

gubah

Rambai

Cabai

Lebai

Tibai

lambai

Kerbau

Taptibau

Lembau

Imbau

Rembau

 

Langkah 5

Latihan menyusun kalimat/ ayat (1)

Membina frasa pembayang maksud

  • Berdasarkan senarai kata yang dikumpulkan, susun untuk dijadikan kalimat, frasa atau ayat yang bermakna.
  • Untuk membina pembayang maksud pantun, pilih perkataan yang menggambarkan unsur/ objek alam (binatang, tumbuhan, bungaan, geofizikal, objek angkasa raya)
  • Sebaiknya objek alam itu objek yang indah sama ada dipandang, didengar, dirasa, digambarkan.
  • Sebaiknya terdiri daripada 4 patah kata dan 8-12 sukukata sebaris
  • Cantumkan dengan perkataan lain bagi menghasilkan bahasa yang indah dan sedap didengar.
  • Pastikan sukukata hujung mempunyi bunyi (rima) berselangan iaitu ab.
  • Sebaiknya ada hubungan makna (cerita) antara baris pertama dan baris kedua.

 

Contoh :

Lumba-lumba di teluk dalam,

Hilir mudik main gelombang

 

Anak kerbau bermain paya,

Mati tersepit punggur rebah,

 

Manis rasanya buah rambai,

Mari dimakan pagi hari,

 

Langkah 6

Latihan menyusun kalimat / ayat (2)

Membina Maksud Pantun

 

  • Pilih perkataan yang mengandungi unsur manusia.
  • Pastikan rima hujung berselangan ab;ab
  • Susun empat patah perkataan / 8-12 suku kata sebaris

 

Contoh :

 

Sungguh manis wajahmu puan,

Sekali pandang rasa tak puas.

 

Kalau hidup selalu berbudi,

Sepanjang masa dikenang orang.

 

Jika hendak menjadi pandai,

Rajin-rajinlah membaca buku.

 

Langkah 7

Latihan Membina Pantun Lengkap

  • Tetapkan tema pantun yang hendak dicipta
  • Ikut ciri bentuk pantun (empat baris, 4 patah perkataan, skima rima hujung ab;ab, ada pembayang dan ada maksud)
  • Fikir dan tuliskan baris maksud dahulu.
  • Kemudian barulah difikirkan padanan baris pembayang.

 

Contoh :

 

Tema : Keilmuan

 

Tuliskan dahulu baris maksud.

 

……………………………

Jika hendak menjadi pandai,

            Rajin-rajinlah membaca buku.

 

Kemudian fikirkan baris pembayang

 

Pakai baju kain cindai,

Koyak sedikit terkena kuku;

……………………………..

 

Cantum dan susunkan empat baris berkenaan menjadi

 

Pakai baju kain cindai,

Koyak sedikit terkena kuku:

Jika hendak menjadi pandai,

            Rajin-rajinlah membaca buku.

 

Langkah 8

Latihan Mengedit Pantun

 

  • Fikir semula tiap patah perkataan yang dipilh sebagai pembayang atau maksud sama ada mempunyai sifat puitis atau tidak.
  • Apakah perkataan yang dipilih bagi bahagian pembayang sesuai untuk menggambarkan rasa bagi maksud pantun.
  • Perhatikan adakah bunyi rima tengah pantun tersebut berselangan ab;ab seperti bunyi hujung ab;ab.
  • Fikirkan sama ada maksud pantun berkenaan digambarkan secara langsung atau berkias.
  • Fikirkan apakah perkataan yang pilih berupaya menggambarkan kod budaya masyarakat.
  • Fikirkan apakah ada perkataan yang boleh menjadi kata kunci bagi menggambarkan maksud keseluruhan rangkap pantun berkenaan.
  • Fikirkan juga logik makna bagi idea pantun tersebut.

 

Bagi contoh pantun yang diciptakan tadi, beberapa penambahbaikan boleh dilakukan.

Antaranya memadan dan memilih perkataan kedua tiap baris bagi membentuk skima rima tengah yang berselangan ab;ab sama seperti skima rima hujung.

 

Mungkin bahasa pantun ini menjadi lebih puitis dan sedap dilafazkan, jika diubah begini :

 

Pakai terendak  berkain cindai,

Koyak sebelah terkena kuku:

Jika hendak menjadi pandai,

            Rajin-rajinlah membaca buku.

 

Mencipta pantun memerlukan kesabaran dan penguasaan bahasa yang banyak dan teliti. Namun dengan latihan berterusan dan kesabaran tinggi, anda pasti mampu menjadi seorang pencipta dan pemantun yang baik.

Sekian.


 

Berilmu

“Waktumu terbatas, jadi jangan sia-siakan dengan menjalani hidup orang lain. Jangan terjebak oleh dogma – yaitu hidup dengan hasil pemikiran orang lain.” – Steve Jobs

Beriman

“Teruslah tersenyum, karena hidup adalah hal yang indah dan ada banyak hal untuk disyukuri.” — Marilyn Monroe

Beramal

“Usaha dan keberanian tidak cukup tanpa tujuan dan arah perencanaan.” - John F. Kennedy