SOALAN:
Badan kebajikan atau sukarela merupakan
satu usaha murni yang dijalankan oleh segelintir masyarakat. Mereka sedia
membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Cuma badan kebajikan ini masih
mengalami pelbagai masalah yang membantutkan usaha kebajikan mereka.
Jelaskan
masalah-masalah yang dihadapi oleh badan kebajikan.
Badan
kebajikan atau sukarela merupakan satu badan yang cuba membantu masyarakat yang
memerlukan bantuan. Negara kita masih mempunyai banyak pihak yang memerlukan
pertolongan seperti golongan cacat, ibu tunggal, anak yatim, orang tua, dan
golongan daif. Kewujudan badan kebajikan seolah-olah memberi sedikit cahaya
kepada golongan terpinggir ini untuk meneruskan kehidupan mereka yang sukar
itu. Namun, badan kebajikan sendiri mempunyai pelbagai masalah yang mampu
membantutkan usaha murni mereka itu.
Masalah
yang paling serius mereka hadapi ialah masyarakat negara ini tidak suka
membabitkan diri mereka dalam sebarang aktiviti kebajikan. Rakyat negara ini
lebih suka melihat atau menganggap tugas itu sudah dilakukan oleh orang lain.
Mereka tidak mahu terlibat turut dipengaruhi oleh faktor masa dan kewangan yang
tidak mampu diberikan oleh badan kebajikan. Akibatnya, aktiviti badan kebajikan
ini dijalankan oleh segelintir masyarakat yang sudah berusia dan kekurangan
tangan untuk menjalankan aktiviti mereka.
Ketiadaan
sokongan masyarakat untuk melibatkan diri ini boleh dikaitkan dengan imej badan
kebajikan yang dipandang rendah. Ada pihak menganggap badan kebajikan hanya
untuk mereka yang tidak mempunyai impian besar atau tanggungan keluarga. Malah,
ada badan kebajikan yang dianggap oleh masyarakat sebagai mengambil kesempatan
dengan memperoleh wang tetapi tidak menyalurkannya kepada mereka yang
memerlukan. Jadi, badan kebajikan dianggap kerjaya yang tidak berstatus tinggi
pada mata masyarakat kita.
Malah,
badan kebajikan agar sukar untuk memperoleh sumber kewangan pada masa kini.
Masalah ini timbul ekoran berlakunya pelbagai dakwaan seperti badan kebajikan
menggunakan wang itu untuk kepentingan pekerjanya dan tidak digunakan untuk
membantu masyarakat yang memerlukan. Memang kes seperti ini pernah berlaku
tetapi untuk menuding jari ke arah kepada semua badan kebajikan merupakan satu
langkah yang kurang bijak. Masyarakat seharusnya memberi peluang supaya badan
kebajikan dapat menjalankan tugas mereka.
Tambahan
pula, badan kebajikan terpaksa mematuhi pelbagai saluran dan kebenaran sebelum
mampu menjalankan aktiviti mereka. Lesen badan kebajikan harus diperbaharui dan
aktiviti mereka seperti derma perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa.
Memang peraturan ini diwujudkan untuk mengawal penyelewengan berlaku tetapi
pihak berkuasa harus memudahkan urusan badan kebajikan mereka. Malah, pihak
berkuasa seharunya menyediakan bangunan khas untuk badan kebajikan menjalankan
aktiviti mereka tanp perlu membayar apa-apa. Namun, semua ini tidak diperoleh
oleh badan kebajikan.
Kesimpulannya,
badan kebajikan di negara ini memang dalam situasi yang bahaya. Pertubuhan ini
tidak lagi mempunyai apa-apa selain meminta belas kasihan masyarakat untuk
turut membantu. Masyarakat harus menyalurkan bantuan berupa kewangan atau
tenaga untuk memastikan usaha murni mereka ini akan berterusan kerana tanpa
badan kebajikan nasib golongan terpinggir ini akan menjadi lebih menyayatkan.
(398 patah perkataan)