Usaha

Usaha Tangga Kejayaan.

Ikhlas

Ikhlas diri dalam mencari Ilmu.

Tawakal

Berserah kepada Tuhan Selepas Berusaha.
 

.

Carian Dalam Blog

usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah

 


Minat membaca terutama membaca buku-buku ilmiah dalam kalangan anak remaja belum mencapai tahap yang memuaskan. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu.

Nyatakan usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mencapai hasrat tersebut.

Pada era globalisasi ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana anak-anak muda pada era ini, lebih gemar membaca bahan-bahan bacaan yang ringan seperti surat khabar, novel cinta, komik, majalah hiburan dan animasi kartun. Majalah atau buku yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan seperti buku-buku motivasi, pembinaan kendiri, falsafah, Majalah Dewan Masyarakat, Solusi, Dewan Budaya, Al Islam, dan Anis kurang diminati malah ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu akan kewujudan majalah tersebut di pasaran. Mereka berpendapat bahawa membaca karya-karya ilmiah dianggap berat dan membosankan kerana memerlukan minda untuk berfikir sedangkan majalah atau buku-buku yang berunsurkan hiburan lebih seronok untuk dibaca kerana pembacaan bagi mereka hanya sekadar mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Apa pun yang jelas, buku yang baik adalah kunci kepada khazanah kebijaksanaan. Ibu bapa merupakan insan yang penting untuk melahirkan anak yang berilmu, bersahsiah baik dan dihormati oleh orang lain. Persoalannya, apakah modus operandi yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan?

Untuk memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak, ibu bapa haruslah membawa anak-anak ke pesta buku atau pameran buku seperti Pameran Buku Antarabangsa di PWTC yang diadakan pada setiap tahun. Hal ini dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Apabila ibu bapa membawa anak-anak ke pameran buku, minat anak-anak untuk membaca buku akan bercambah. Anak-anak akan dapat melihat pelbagai jenis buku yang menarik serta menyeronokkan untuk dibaca. Mereka berpeluang untuk memilih buku-buku yang disukai dan diminati. Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat penting untuk membimbing anak-anak agar dapat memilih buku yang berkualiti yang mampu membina pemikiran atau minda anak-anak. Selain itu, anak-anak juga berpeluang untuk membaca buku-buku yang berunsurkan keagamaan, falsafah, motivasi dan sebagainya.. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dalam diri anak-anak. Di samping itu, anak juga berpeluang untuk membaca buku-buku yang memaparkan sejarah negara lain. Hal ini, dapat meningkatkan pengetahuan am anak-anak tentang Negara luar.Tegasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak mereka ke pameran buku merupakan salah satu langkah efektif yang melahirkan minat anak-anak untuk membaca karya-karya ilmiah dan menjadi ulat buku dan seterusnya menjadi generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.

Selain itu, ibu bapa harus menjadi suri teladan kepada anak-anak dalam aspek membaca. Justeru, ibu bapa hendaklah memulakan budaya membaca di rumah dengan menyediakan persekitaran yang boleh merangsang minat anak-anak untuk membaca buku-buku ilmiah. Ibu bapa hendaklah membaca buku-buku dan surat khabar pada setiap hari terutama pada waktu senggang. Perbuatan ibu bapa yang suka membaca pasti akan dicontohi dan diikuti oleh anak-anak kerana pepatah menyatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Pada zaman ini, anak-anak tidak tahu untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah Jadi, ibu bapa boleh mendidik anak anak sejak kecil lagi untuk membaca buku-buku ilmiah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa boleh melakukan aktiviti membaca bersama anak-anak pada hari cuti sewaktu semua ahli keluarga berehat di rumah. Dalam hal ini, Ibu bapa janganlah menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan diri sendiri tidak betul. Sekiranya, ibu bapa tidak pernah membaca bahan-bahan ilmiah, bagaimanakah anak-anak hendak membaca bahan-bahan tersebut. Anak-anak akan suka membaca apabila melihat orang tuanya membaca. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak kerana anak-anak akan menjadikan membaca sebagai satu amalan ke mana-mana sahaja mereka pergi bak kata pepatah kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar.

Di samping itu, Ibu bapa perlu menambahkan sumber bacaan dengan membeli banyak buku atau majalah yang yang mengandungi ilmu pengetahuan yang boleh mengembangkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa membaca jambatan ilmu. Apabila anak- anak banyak membaca, sudah tentu pengetahuan mereka pun akan meningkat. Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah membeli bahan bacaan secara tetap pada setiap bulan seperti Majalah Dewan Masyarakat, Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Al Islam dan Solusi selain surat khabar yang dibeli secara harian. Secara tidak langsung, anak-anak akan tertarik untuk membaca buku-buku dan majalah yang mengandungi banyak ilmu dan pengetahuan yang dibeli oleh ibu bapa mereka. Minat untuk membaca bahan-bahan yang berkualiti pasti akan bercambah dalam jiwa mereka. Anak-anak yang disuburkan dengan budaya membaca, pasti dapat membina jati diri unggul, mempunyai minda sihat, berketerampilan sebagai orang berilmu dan berpengetahuan tinggi. Selain itu, ibu bapa boleh memberikan hadiah berupa buku sempena hari lahir atau hadiah sempena kejayaan anak-anak dalam pelajaran atau peperiksaan sebagai ganjaran. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh menghadiahkan buku-buku motivasi sempena hari lahir anak. Hadiah tersebut dapat memotivasikan diri anak-anak. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh kerana menghargai jasa ibu bapa. Amalan seperti ini akan menyebabkan anak-anak hidup dalam dunia buku. Tak kenal maka tak cinta.

Seterusnya ibu bapa juga hendaklah menggalakkan anak-anak membaca buku dengan cara mendaftar anak mereka menyertai kelab buku. Melalui penyertaan dalam kelab buku, anak-anak akan menyertai pelbagai aktiviti dan mengetahui perkembangan buku yang terkini. Sebagai contohnya, anak-anak boleh menjadi ahli Kelab Buku Ilmiah yang ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Apabila anak-anak menjadi ahli kelab buku, mereka didedahkan dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan buku . Secara tidak langsung, anak-anak juga dapat membezakan bahan bacaan yang bermutu dan bahan bacaan yang tidak berkualiti. Anak-anak pasti memilih bahan-bahan yang berkualiti kerana boleh mematangkan minda seseorang dalam mengeluarkan pendapat atau melakukan tindakan. Selain itu, ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak menyertai Kempen Galakan Membaca dan Kembara Buku yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Dengan menghadiri kempen-kempen membaca, anak-anak bukan sahaja mendapat kesedaran tentang pentingnya membaca malah ibu bapa turut memperoleh manfaatnya. Tegasnya, ibu bapa perlulah membawa anak-anak menghadiri kempen-kempen membaca dan menggalakkan anak-anak menyertai ahli kelab buku agar anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah yang dapat membentuk anak-anak menjadi insan yang mulia dan disanjung tinggi.

Selain itu, ibu bapa boleh membina perpustakaan mini yang mengandungi bahan-bahan ilmiah yang menempatkan pelbagai jenis buku ilmiah seperti novel karya agung, kamus, buku- buku agama, dan buku motivasi diri selain buku pelajaran dan buku rujukan. Hal ini dapat menyuburkan minat anak-anak untuk membaca buku-buku yang disimpan di rak buku tersebut. Ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan dan memastikan anak mereka membaca buku-buku yang disediakan dalam perpustakaan mini di rumah. Anak-anak juga digalakkan untuk membaca surat khabar atau majalah ilmu pada setiap hari dan membaca sebuah buku pada setiap minggu. Hal ini akan menyebabkan masa lapang anak-anak terisi dengan aktiviti membaca tanpa perlu keluar rumah. Perpustakaan mini yang disediakan oleh ibu bapa tidak memerlukan modal yang banyak. Buku-buku dan majalah yang dibeli pada setiap bulan boleh disimpan dalam perpustakaan mini tersebut. Pembacaan buku dan majalah yang berulang kali dapat menguatkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa bangsa yang membaca, bangsa yang berjaya. Apabila anak-anak sudah biasa didedahkan untuk membaca surat khabar pada setiap hari dan sebuah buku pada setiap minggu, anak-anak akan biasa berbuat demikian dan menjadikan membaca sebagai amalan rutin harian kerana alah bisa, tegal dek biasa. Mereka akan selalu membaca apabila ada masa terluang dan mereka akan menghargai masa kerana masa itu emas. Tambahan pula, jika ibu bapa mempunyai waktu terluang, mereka bolehlah membawa anak-anak ke perpustakaan awam yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka. Perpustakaan awam memuatkan berjuta-juta buku yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan anak-anak. Malahan, apabila anak-anak pergi ke perpustakaan awam, mereka dapat membaca buku dalam keadaan yang senyap, aman, damai dan tenang. Jelasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam dan menyediakan perpustakaan mini di rumah dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.

Tambahan lagi, ibu bapa juga boleh memupuk minat membaca bahan-bahan ilmiah dengan membimbing anak-anak mereka melayari internet. Internet merupakan sumber ilmu yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Namun, terdapat remaja yang yang menyalahgunakan internet seperti melihat gambar-gambar lucah. Dalam konteks ini, ibu bapalah merupakan pembimbing kepada anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak melayari internet untuk mencari judul buku ilmiah yang terkenal supaya boleh dibeli di kedai-kedai buku berhampiran. Hal ini dapat menggalakkan anak-anak membaca karya-karya ilmiah supaya boleh melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Ilmu yang diperoleh daripada bahan-bahan ilmiah boleh dijadikan sebagai panduan hidup. Hal ini disebabkan mesej-mesej yang terkandung dalam bahan bahan ilmiah penting dalam kehidupan. Justeru, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat membaca buku-buku ilmiah.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan, ibu bapalah yang memainkan peranan penting menggalakkan anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah. Ibu bapa harus menanamkan sikap suka membaca dalam kalangan anak mereka kerana membaca akan menjadikan minda anak-anak mereka cerdas. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjadi pendorong untuk menyemaikan minat membaca dalam kalangan anak mereka. Jika anak-anak sudah jatuh cinta dengan aktiviti membaca, kejayaan dalam bidang pelajaran akan terbentang luas di depan mereka pada masa depan. Ibn Khaldun dalam karya besarnya, Muqaddimah, pernah berkata bahawa kekuatan ilmu bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah memberi arah dan makna kepada manusia dan bangsa terbabit. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan

 

tajuk-tajuk karangan mengikut tema

 

1 PERINDUSTRIAN
-Jenis-jenis
-Kebaikan & keburukan penggunaan teknologi moden
-Prestasi negara dalam perindustrian

2 INDUSTRI DESA
-Jenis-jenis
-Usaha-usaha dan tujuan memajukan industri desa
-Sambutan terhadap hasil keluaran industri desa Halangan-halangan

3 PEMBALAKAN
-Kesan Pembalakan
-Usaha -usaha mengekalkan kawasan hutan
-Isu pembalakan haram

4 TEMPAT REKREASI
-Fungsi dan peranan taman rekreasi
-Sambutan masyarakat terhadap taman rekreasi
-Penyediaan kemudahan di taman rekreasi

5 PENSWASTAAN
-Faedah - faedah penswastaan
-Perkembangan penswastaan di Malaysia
-Penglibatan pihak swasta dalam bidang tertentu

6 INDUSTRI PERIKANAN
- Masalah yang dihadapi oleh nelayan
-Penggunaan teknologi moden dalam industri perikanan
-Perkembangan dan sumbangan industri perikanan 7 AGENSI KERAJAAN
- Jenis-jenis agensi kerajaan
-Peranan dan fungsi agensi kerajaan
-Keberkesanan agensi kerajaan

8 KEMPEN
-Tujuan diadakan kempen
-Sambutan masyarakat terhadap kempen
-Keberkesanan kempen

9 INDUSTRI PELANCONGAN
-Usaha dan cara memajukan industri pelancongan
-Kesan industri pelancongan kepada negara
-Perkembangan industri pelancongan

10 PERUMAHAN
-Masalah perumahan pada hari ini
-Isu yang berkaitan dengan pemaju perumahan
-Usaha mengatasi masalah perumahan

11 LEBUH RAYA
-Perkembangan lebuh raya hari ini
-Fungsi lebuh raya
-Isu yang berkaitan dengan lebuh raya

12 PENGIKLANAN
-Isu pengiklanan
-Pengaruh iklan
-Kesesuaian iklan

13 SUKAN
-Perkembangan sukan di Malaysia
-Faedah-faedah bersukan
-Usaha-usaha meningkatkan mutu sukan
-Sains Sukan
-Masalah dalam bidang sukan

14 KEPENDUDUKAN
-Isu rakyat termiskin
-Migrasi dan perpindahan penduduk
-Isu kepadatan penduduk
-Kualiti hidup

15 BADAN KEBAJIKAN DAN SUKARELA
-Penglibatan masyarakat dalam badan kebajikan
-Sumbangan dan peranan badan kebajikan sukarela
-Masalah-masalah yang dihadapi

16 PENCEMARAN ALAM
-Punca-punca pencemaran alam
-Usaha-usaha mengatasi
-Kesan daripada pencemaran alam

17 GOTONG-ROYONG
-Kebaikan amalan gotong royong
-Amalan gotong royong pada hari ini
-Cara-cara menggalakkan gotong royong

18 SAMBUTAN HARI PERAYAAN DAN KEBESARAN
-Cara-cara menyambut hari perayaan dan kebesaran
-Kesan-kesan mengadakan sambutan hari perayaan
-Suasana sambutan hari perayaan

19 ADAT RESAM DAN ISTIADAT
-Adat resam pelbagai kaum
-Fungsi dan peranan adat resam
-Amalan adat resam pada hari ini

20 PENGANGGURAN
-Punca-punca pengangguran
-Usaha-usaha mengatasi pengangguran
-Kesan daripada pengangguran

21 TENAGA KERJA ASING
-Faktor-faktor kedatangan tenaga kerja asing
-Usaha-usaha pengawalan tenaga kerja asing
-Kebaikan dan keburukan tenaga kerja asing

22 KESEDARAN SIVIK
-Usaha memupuk kesedaran sivik
-Kebaikan mempunyai kesedaran sivik
-Sikap masyarakat pada hari ini

23 PERPADUAN KAUM
-Kepentingan dan faedah perpaduan kaum
-Usaha-usaha memupuk perpaduan kaum
-Perpaduan kaum pada hari ini

24 KEPENGGUNAAN
-Kepentingan pendidikan kepenggunaan
-Peranan dan fungsi persatuan pengguna
-Masalah yang dihadapi oleh pengguna

25 HOBI DAN KEGIATAN MASA LAPANG
-Jenis-jenis hobi
-Fungsi dan tujuan bergiat dalam sesuatu hobi
-Usaha-usaha menggalakkan masyarakat mempunyai hobi

26 WARGA TUA
-Sikap masyarakat terhadap warga tua
-Usaha-usaha membantu warga tua
-Kebaikan membantu warga tua

27 KANAK-KANAK
Isu kanak-kanak terbiar
-Penggunaan tenaga kerja dalam kalangan kanak-kanak
-Tanggungjawab masyarakat terhadap kanak-kanak

28 KESIHATAN
-Kepentingan kesihatan
-Cara-cara menjaga kesihatan
-Tahap kesihatan rakyat
-Gaya Hidup Sihat

29 MAJIKAN DAN PEKERJA
-Tanggungjawab majikan terhadap pekerja
-Kualiti kerja dan produktiviti
-Etika kerja

30 TELEVISYEN / VIDEO / FILEM
-Pengaruh terhadap masyarakat
-Kesesuaian rancangan terhadap masyarakat
-Fungsi dan peranannya
-Cetak Rompak

31 PASAR RAYA / PASAR TANI / PASAR MALAM
-Perkembangan di Malaysia
-Kebaikan dan keburukannya
-Sebab-sebab tempat tersebut menjadi tumpuan

32 AMALAN MEMBACA
-Sikap membaca di kalangan masyarakat
-Usaha memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat
-Faedah membaca

33 PERUBATAN MODEN
-Perkembangan perubatan moden
-Kesan penggunaan ubat-ubat moden
-Kemudahan perubatan di Malaysia

34 PERUBATAN TRADISIONAL
-Peranan dan pengaruh bomoh
-Perbandingan p.moden dengan p.tradisional
-Keberkesanan penggunaan perubatan tradisional

35 SAINS DAN TEKNOLOGI
-Kemajuan dan perkembangan
-Ciptaan-ciptaan baru
-Kesan sains dan teknologi

36 PENDIDIKAN
-Perkembangan pendidikan di Malaysia
-Masalah pendidikan di Malaysia
-Kepentingan pendidikan

37 AKTIVITI KOKURIKULUM
-Jenis-jenis aktiviti kokurikulum
-Kebaikan dan faedah menyertai kokurikulum aktiviti kokurikulum pelajar
-Halangan pelaksanaan

38 KEBUDAYAAN
-Kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia
-Konsep kebudayaan kebangsaan
-Pengaruh luar dalam kebudayaan

39 NILAI-NILAI MURNI
-Usaha memupuk nilai murni
-Kepentingan mempunyai nilai-nilai murni
-Nilai murni di kalangan masyarakat hari ini

40 KHAZANAH BUMI / HUTAN
-Jenis-jenisnya
-Usaha-usaha mengekalkan khazanah tersebut
-Sumbangan kepada negara

41 PERLADANGAN
-Isu tenaga kerja di bidang peladangan
-Perkembangan dan sumbangannya kepada negara
-Usaha-usaha memajukan sektor perladangan

42 PERUNDANGAN
-Peranan dan fungsi undang-undang
-Keberkesanan undang-undang
-Jenayah di negara kita

43 PERTANIAN TRADISIONAL
-Kebaikan dan keburukan pertanian tradisional
-Sebab-sebab pertanian tradisional masih diamalkan
-Kesesuaian pertanian tradisional pada zaman moden

44 PERTANIAN MODEN
-Kebaikan dan Keburukan pertanian moden
-Penggunaan teknologi moden dalam pertanian
I-su pasaran dan harga hasil pertanian

45 TANAH
-Masalah tanah terbiar
-Penerokaan tanah secara haram
-Kesan pembangunan yang pesat

46 SEMANGAT KEBANGSAAN/ PATRIOTIK
-Usaha-usaha memupuk semangat kebangsaan
-Kepentingan semangat kebangsaan kepada negara
-Penghayatan semangat kebangsaan di kalangan masyarakat

47 HAL-EHWAL SEMASA
-Perkembangan politik tanah air
-Masalah-masalah sosial di negara
-Kemajuan negara dalam bidang ekonomi

48 PERMAINAN TRADISIONAL
-Jenis-jenisnya
-Fungsi dan peranannya pada masyarakat
-Usaha bagi menghidupkan dan mengekalkannya

49 KEKELUARGAAN
-Hubungan kekeluargaan sekarang
-Cara-cara mengekalkan hubungan kekeluargaan
-Kepentingan kekeluargaan di kalangan masyarakat
-Kempen Utamakan Keluarga

50 PROJEK PERUMAHAN
-Tujuan diadakan projek perumahan
-Kebaikan dan keburukan projek perumahan
-Jenis-jenis projek perumahan

51 KOPERASI DAN PERSATUAN
-Jenis-jenis dan peranan
-Fungsi dan tanggungjawab koperasi @ persatuan
-Sambutan terhadap koperasi @ persatuan
-Program Usahawan Muda

52 PENYAKIT BERBAHAYA
Jenis-jenisnya
Cara-cara mencegahnya
Punca-punca penyakit berjangkit

53 MUZIK
-Dunia muzik hari ini
-Kerjaya dalam bidang muzik
-Kebaikan dan keburukan muzik

54 SEJARAH
-Tempat-tempat bersejarah
-Pemulihan tempat-tempat bersejarah
-Permasalahan dalam mengekalkan tempat -tempat bersejarah

55 PERNIAGAAN /PERDAGANGAN
-Jualan murah
-Barang-barang tempatan dan barang import
-Kebaikan berniaga
-Karnival Jualan Mega

56 AMALAN PEMAKANAN
-Jenis-jenis makanan dalam kalangan masyarakat di Malaysia
-Makanan seimbang
-Kebersihan tempat menjual makanan

57 JIMAT CERMAT
-Tujuan berjimat cermat
-Cara-cara menggalakkan berjimat cermat
-Faedah-faedah mengamalkan berjimat cermat

58 PENTERNAKAN IKAN AIR TAWAR
-Perkembangan di Malaysia
-Cara-cara menggalakkan masyarakat makan ikan
-Masalah yang dihadapi oleh penternak ikan
-Projek akuakultur

59 DISIPLIN PELAJAR
-Tahap disiplin pelajar hari ini
-Punca-punca yang menimbulkan masalah disiplin
-Usaha-usaha mengatasi masalah disiplin

60 MEDIA CETAK
-Jenis-jenis media cetak
-Pengaruh media cetak
-Peranan dan fungsi media cetak
-Masa depan media cetak

61 ALAT PERHUBUNGAN DAN PENGANGKUTAN
-Jenis-jenis alat pengangkutan dahulu dan sekarang
-Isu berkaitan dengan kenderaan awam
-Peranan dan fungsi pengangkutan

62 SEMANGAT KEJIRANAN
-Pentingnya semangat kejiranan
-Usaha meningkatkan semangat kejiranan
-Permasalahan kejiranan hari ini

63 PROJEK PENGINDAHAN KAWASAN /KECERIAAN
-Tujuan dan fungsi mengindahkan kawasan
-Cara-cara mengekalkan keindahan
-Permasalahan dengan pengindahan kawasan
-Peranan sekolah dan pelbagai pihak

64 KESELAMATAN NEGARA
-Peranan pasukan keselamatan
-Keadaan keselamatan negara pada hari ini
-Kerahan tenaga rakyat
-Program Latihan Khidmat Negara

65 ALAM SEKITAR
-Keadaan alam sekitar hari ini
-Usaha-usaha mengekalkan alam sekitar
-Tujuan mengekalkan keindahan alam sekitar
-Kesan kemusnahan alam sekitar

66 PELABELAN
-Kepentingan dan fungsi penggunaan label
-Keberkesanan penggunaan label
-Isu permasalahan penggunaan label

67 BENCANA ALAM
-Jenis-jenis bencana alam
-Punca-punca bencana alam
-Usaha menghadapi bencana alam

68 SENI MEMPERTAHANKAN DIRI
-Jenis-jenis seni mempertahankan diri
-Perkembangan seni mempertahankan diri
-Kebaikan dan keburukan seni mempertahankan diri

69 KEMUDAHAN AWAM
-Jenis-jenis kemudahan awam di Malaysia
-Sikap dan tanggungjawab masyarakat
-Permasalahan kemudahan awam

70 BUAH-BUAHAN TEMPATAN
-Kebaikan dan kelebihannya
-Sambutan masyarakat terhadapnya
-Usaha memajukan industri buah-buahan tempatan
-Prospek pemasaran
-Halangan

71 SEKOLAH
-Sekolah Idaman
-Kempen 3K
-Hari Kantin
-Anugerah Cemerlang
-Ponteng sekolah
-Program Peningkatan Akademik
-Motivasi
-Sekolah Bestari

72 INTERNET & KOMPUTER/ MULTIMEDIA
-Kebaikan dan kelebihannya
-Sambutan masyarakat terhadapnya
-Kesan penggunaan internet
-Dasar Langit Terbuka
-Kafe Siber

73 KEPIMPINAN
-Peranan Pemimpin
-Ciri-ciri Pemimpin
-Kepentingan pemimpin

74 VANDALISME @ RAGUT
-Sebab-sebab Berlaku
-Langkah Mengatasi
-Peranan Semua Pihak
-Kesan

75 KEMALANGAN JALAN RAYA
-Sebab-sebab Berlaku
-Langkah Mengatasi
-Peranan Semua Pihak
-Kesan

76 SLOGAN-SLOGAN KERAJAAN
-Definisi Slogan
-Sambutan masyarakat terhadapnya
-Usaha Memastikan Matlamat Tercapai

Berilmu

“Waktumu terbatas, jadi jangan sia-siakan dengan menjalani hidup orang lain. Jangan terjebak oleh dogma – yaitu hidup dengan hasil pemikiran orang lain.” – Steve Jobs

Beriman

“Teruslah tersenyum, karena hidup adalah hal yang indah dan ada banyak hal untuk disyukuri.” — Marilyn Monroe

Beramal

“Usaha dan keberanian tidak cukup tanpa tujuan dan arah perencanaan.” - John F. Kennedy