Kebanyakan
remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia mengimpikan kerjaya yang dapat menjamin
masa hadapan mereka.
Huraikan
faktor-faktor pemilihan kerjaya bagi seseorang remaja.
Era pascaperindustrian
dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah menyumbang
kepada perkembangan ekonomi pesat yang menjana pelbagai sektor pekerjaan di
Malaysia. Dalam sistem pendidikan di Malaysia, kita menghabiskan masa selama
enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Selama sebelas
tahun ini, pelajar sentiasa disoal oleh guru-guru, “apakah kerjaya yang anda
inginkan?” Semasa dalam tingkatan empat, pelajar perlu memilih
gabungan mata pelajaran yang sesuai berdasarkan minat mereka untuk mengejar kerjaya
impian. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kerjaya merujuk kepada
profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah hidup.
Kerjaya merupakan panduan dalam kehidupan kita. Pada masa ini, pelajar
sepatutnya telah menetapkan matlamat tentang kursus dan kerjaya yang diingini
mereka supaya mereka ada hala tuju dalam hidup tidaklah seperti layang- layang yang terputus tali dan
tidak menyesal dengan keputusan yang diambil dikemudian hari. Antara kerjaya
yang menjadi pilihan ialah doktor, juruterbang, jurutera, ahli kimia dan
sebagainya. Persoalannya, apakah faktor-faktor yang mempengaruhi dalam pemilihan sesuatu
bidang kerjaya dalam kalangan pelajar SPM?
Fokus perbincangan pertama saya berkaitan faktor minat dan
cita-cita pelajar semasa di bangku sekolah terutama dalam kalangan pelajar SPM.
Minat dan cita-cita merupakan dua perkara saling berkait dan merupakan faktor
paling dominan mempengaruhi pemilihan kerjaya seseorang pelajar terutama
pelajar yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh
sebab itu, ketika mereka berada di tingkatan empat, pelajar perlu menentukan
aliran yang mereka pilih, sama ada aliran sains atau sastera. Bertitik tolak
daripada itu, pelajar akan belajar dengan tekun untuk meraih kejayaan cemerlang
ke semua pakej mata pelajaran yang ditawarkan dalam jurusan yang diambil. Hal
ini kerana kecemerlangan mereka tersebut membolehkan mereka meneruskan
pengajian di menara gading untuk menggapai cita-cita mereka. Di Menara gading
jugalah tepat mereka menimba ilmu berdasarkan kerjaya yang mereka cita-citakan,
sama ada untuk menjadi golongan pekerja profesional seperti doktor, peguam,
pendidik, pentadbir dan sebagainya. Jikalau pelajar berusaha sudah pasti mereka
akan menggapai kerjaya yang mereka impikan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tegasnya, faktor
minat dan cita-cita merupakan dua aspek penentu utama kejayaan pelajar untuk
merealisasikan kerjaya mereka cita-citakan.
Selain faktor minat dan cita-cita, pelajar juga perlu memilih
mata pelajaran yang ada kaitan dengan kerjaya yang mereka pilih. Umumnya kita
mengetahui bahawa semasa di alam persekolahan lagi pelajar harus memilih subjek
yang berkaitan dengan kerjaya yang akan diceburi oleh mereka. Hal ini secara
tidak langsung akan menyebabkan mereka lebih mahir dalam menguruskan kerjaya
yang akan diceburi kerana sudah mengetahui dan membuat persediaan yang rapi
umpama sediakan payung sebelum hujan. Dengan perkataan yang lain, pelajar seharusnya mengambil
subjek yang berkaitan dengan cita-cita masing-masing semasa mengambil
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Pada zaman yang serba canggih ini, bukan
sahaja kemahiran yang dilihat oleh majikan tetapi keputusan yang cemerlang
dalam subjek yang dipilih itu bersesuaian dengan kerjaya turut diberi keutamaan
kerana hanya jauhari sahaja yang mengenali
manikam. Contohnya, jika pelajar
memilih kerjaya sebagai seorang jurutera, subjek yang mereka mesti pilih
ialah Lukisan kejuruteraan. Jikalau pelajar berjaya menguasai mata pelajaran
berkenaan sudah pasti mereka ada kelebihan untuk menggapai kerjaya yang
diidam-idamkan. Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh, pemilihan mata
pelajaran juga penting untuk menentukan kejayaan pelajar merealisasikan kerjaya
yang mereka minati.
Bahkan juga, pelajar yang mengidamkan kerjaya yang diminati perlu mempunyai
tokoh atau idola sebagai motivasi untuk berjaya. Kebiasaaanya, idola yang
dipilih perlulah seorang yang unik, seorang yang tabah, dan berjaya dalam
bidang kerjayanya. Sebagai contoh Hijjaz Kasturi, seorang arkitek luar biasa
negara, mendapat pendidikan di Adelaide University
dan seterusnya ke Melbourne University, Australia. Sekembalinya ke
Malaysia tahun 1967, beliau telah memiliki kemahiran tersendiri dan menerajui
bidang arkitek negara. Beliau telah memenangi pertandingan rekebentuk menara
Maybank, bangunan Tabung Haji dan menara Telekom. Setiap rekabentuk bangunannya
menerapkan ciri-ciri keIslaman hingga ke hari ini sehingga namanya tersohor di
Persada dunia. Sekiranya pelajar mempunyai idola sendiri, sudah pasti kerjaya
pilihan mereka sebagai seorang arkitek akan dapat direalisasikan kerana setiap
sejarah kejayaan serta teladan seperti ketekunan, kegigihan dan kekreatifan
idola mereka memotivasikan mereka untuk berjaya bukan sahaja di Malaysia malah
keseluruh dunia. Tegasnya, seseorang pelajar yang ingin berjaya menggapai
kerjaya idamannya memerlukan idola agar dapat mempengaruhi minda dan semangat
mereka untuk berjaya.
Selain itu, sokongan dan doa ibu bapa amat perlu untuk
memastikan kerjaya idaman remaja dapat direalisasinan. Ironisnya, jika minat
seseorang itu tidak mendapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapa, sudah
tentulah punah harapan mereka. Hal ini bermakna, seseorang yang hanya
mempunyai minat tetapi tidak mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa mereka
tentang pemilihan kerjayanya, sudah pasti mereka akan kecundang di peringkat
awal lagi. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sewajarnya menyokong minat
anak-anak walaupun pemilihan kerjaya mereka bertentangan dengan harapan
kedua-dua ibu bapa. Bagi menyokong pemilihan kerjaya anak-anak mereka,
ibu bapa boleh memperlengkapkan segala keperluan anak-anak dalam memenuhi
kriteria yang diperlukan. Sebagai buktinya, ibu bapa bolehlah memberikan
dorongan, semangat dan motivasi kepada anak-anak sama ada dalam bentuk material
mahupun spiritual. Sekiranya, ibu bapa tidak turut serta membantu usaha anak
mereka untuk menggapai kerjaya idaman mereka sudah pasti usaha berkenaan tidak
akan kesampaian. Izharlah bahawa ibu bapa juga berperanan menyokong minat
anak-anak mereka dalam merealisasikan kerjaya masa depan anak-anak
mereka.
Perbincangan saya telah
meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirulkalam, minat menjadi prioriti utama
dalam pemilihan sesuatu kerjaya. Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan
penting dalam pemilihan kerjaya anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana
anak-anak mereka memerlukan sokongan dan dorongan daripada mereka sama ada
dari aspek mental, spiritual mahupun fizikal. Contoh ketara dari aspek sokongan
mental dan spiritual ialah ibu bapa perlu memberikan motivasi kepada anak-anak,
manakala sokongan dari aspek fizikal pula ialah mereka perlu menyediakan
kelengkapan belajar anak-anak seperti buku rujukan dan menghantar mereka ke
pusat tuisyen. Sekiranya hal ini dapat dilaksanakan maka tidak ada lagi orang
yang akan sesat di perjalanan untuk memilih kerjaya kerana mereka menetapkan
sasaran dari awal lagi. Walaupun demikian, jika seseorang mempunyai minat dan
hala tuju yang jelas, tetapi mereka bersikap genggam-genggam bara, terasa panas dilepaskan dan tidak ada semangat kegigihan, ketabahan, keiltizaman
dan kecekalan, sudah pasti segala hasrat termasuk kerjaya yang menjadi idaman
akan hancur lebur umpama kubur tanpa nisan. Tuntasnya, perkara-perkara yang dinyatakan di atas
hendaklah dilaksanakan secara efektif dan janganlah bersikap keras-keras kerak nasi yang
mudah putus asa supaya pemilihan bidang kerjaya impian akan menjadi lebih jelas
lagi.