Usaha

Usaha Tangga Kejayaan.

Ikhlas

Ikhlas diri dalam mencari Ilmu.

Tawakal

Berserah kepada Tuhan Selepas Berusaha.
 

.

Carian Dalam Blog

Panduan Mudah Mencipta Pantun

 

 

 

 

Panduan Mudah Mencipta Pantun

Oleh : Mohd. Fauzi bin Abdullah

IPGM Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur.

 

Kemahiran mencipta pantun adalah salah satu daripada kemahiran menulis yang harus dipelajari oleh pelajar yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu atau Kesusasteraan Melayu.. Sebagai bahan kreatif, penciptaan pantun seharusnya digubah menggunakan bahasa yang indah, puitis dan berkesan bagi menyampaikan pemikiran.

Ciptaan juga harus mengikut prinsip ciptaan puisi terutama puisi tradisional yang agak terkawal sifatnya. Berikut diberikan panduan ringkas tentang proses kreatif mencipta pantun.

 

Langkah 1

Latihan perbendaharaan kata 1.

  • Perlu mencari dan menyenaraikan sebanyak mungkin perkataan sama ada perkataan baru atau perkataan lama (arkaik).
  • Penggunaan kamus sangat digalakkan.
  • Sebagai permulaan bolehlah senaraikan 50 perkataan dan tambahlah dari semasa ke semasa.
  • Senaraikan perkataan yang berkaitan dengan nama objek atau unsur alam bagi dijadikan pembayang pantun.
  • Selain menyenarai, juga perlu mengetahui, mengenali dan memahami makna, bentuk dan sifat objek berkenaan.
  • Laksanakan dengan cara membuat buku skrap atau buku catatan khas.

 

Nama/ perkataan

 

Gambar/ lakaran/ lukisan

 

Keterangan ringkas (erti, sifat, bentu dll)

 

  • Pada peringkat awal, bolehlah menyenaraikan nama-nama objek alam yang biasa digunakan dalam percakapan harian atau biasa ditemukan dalam buku teks sekolah, akhbar harian atau dalam karya sastera tradisional atau moden.
  • Perkataan berkenaan mungkin berkaitan dengan alam buana (seluruh isi darat/ laut/ air) atau alam dirgantara (seluruh isi angkasa raya).

 

Langkah 2

  • Susunlah perkataan berkenaan mengikut kelompok masing-masing.

Contoh :

Objek daratan

§  Nama tumbuhan/ pokok : jati, merbau, rambutan, langsat, pisang

§  Bunga-bungaan : melati, kemboja, sena, kiambang, cempaka

§  Buah-buahan : rambutan, manggis, tembikai

§  Sayuran : lobak, petola, peria, cabai, kangkung

§  Binatang dan unggas: harimau, jengking, labah-labah, beruang, semut, Geofizikal daratan : gunung, sungai, lembah, paya, jurang, pulau

Objek air/ lautan

§  Nama ikan sungai, paya dan kolam : keli, sepat, haruan, talapia,

§  Nama ikan lautan : kerisi, tamban, selar, tenggiri

§  Geo fizikal lautan/ sungai : pantai, selat, ombak, tebing, muara

Objek angkasa raya

§  Bulan

§  Bintang

§  Matahari, suria

Nama-nama lain

§  Kisah / cerita : sejarah, mitos, legenda, cerita rakyat

§  Tokoh sejarah : Hang Tuah, Bahaman, Mat Kilau

§  Anasir alam : banjir, bah, ribut, taufan, gempa

§  Benda kegunaan harian : tikar, permaidani, tudung saji, meja, kerusi

§  Perkakas rumah : radio, senduk belanga,

§  Perhiasan : gambar, lukisan, arca, pasu

§  Nama negeri : Pahang, Melaka, Johor

§  Nama pengangkutan darat, air, angkasa : kereta, perahu, kapal terbang

Langkah 3

Latihan perbendaharaan kata 2

  • Senaraikan objek/ sikap/ sifat manusia
  • Digunakan bagi membina bahagian maksud pantun, iaitu baris ketiga dan keempat.

§  Anggota tubuh : kepala kaki, tangan, mata, mulut, lutut, perut

§  Sifat : gemuk, pendek, putih, panjang, kurus, tinggi, cantik, cerdik.

§  Sikap : rajin, malas, bijak pemarah, berani, baik hati, tanggungjawab

 

Langkah 4

Latihan Membina Skima Rima/ Bunyi

 

Susun atau padankan perkataan mengikut bunyi suku kata hujung yang sama bermula dengan …ba hingga …baz , seterusnya …ca hingga …caz , dan berikutnya, mengikut turutan huruf yang sesuai.

 

lumba-lumba

Kesumba

Tiba

Cuba

tuba

Lembab

Sebab

Kebab

Rebab

sembab

Lebah

Sembah

Rebah

Kubah

gubah

Rambai

Cabai

Lebai

Tibai

lambai

Kerbau

Taptibau

Lembau

Imbau

Rembau

 

Langkah 5

Latihan menyusun kalimat/ ayat (1)

Membina frasa pembayang maksud

  • Berdasarkan senarai kata yang dikumpulkan, susun untuk dijadikan kalimat, frasa atau ayat yang bermakna.
  • Untuk membina pembayang maksud pantun, pilih perkataan yang menggambarkan unsur/ objek alam (binatang, tumbuhan, bungaan, geofizikal, objek angkasa raya)
  • Sebaiknya objek alam itu objek yang indah sama ada dipandang, didengar, dirasa, digambarkan.
  • Sebaiknya terdiri daripada 4 patah kata dan 8-12 sukukata sebaris
  • Cantumkan dengan perkataan lain bagi menghasilkan bahasa yang indah dan sedap didengar.
  • Pastikan sukukata hujung mempunyi bunyi (rima) berselangan iaitu ab.
  • Sebaiknya ada hubungan makna (cerita) antara baris pertama dan baris kedua.

 

Contoh :

Lumba-lumba di teluk dalam,

Hilir mudik main gelombang

 

Anak kerbau bermain paya,

Mati tersepit punggur rebah,

 

Manis rasanya buah rambai,

Mari dimakan pagi hari,

 

Langkah 6

Latihan menyusun kalimat / ayat (2)

Membina Maksud Pantun

 

  • Pilih perkataan yang mengandungi unsur manusia.
  • Pastikan rima hujung berselangan ab;ab
  • Susun empat patah perkataan / 8-12 suku kata sebaris

 

Contoh :

 

Sungguh manis wajahmu puan,

Sekali pandang rasa tak puas.

 

Kalau hidup selalu berbudi,

Sepanjang masa dikenang orang.

 

Jika hendak menjadi pandai,

Rajin-rajinlah membaca buku.

 

Langkah 7

Latihan Membina Pantun Lengkap

  • Tetapkan tema pantun yang hendak dicipta
  • Ikut ciri bentuk pantun (empat baris, 4 patah perkataan, skima rima hujung ab;ab, ada pembayang dan ada maksud)
  • Fikir dan tuliskan baris maksud dahulu.
  • Kemudian barulah difikirkan padanan baris pembayang.

 

Contoh :

 

Tema : Keilmuan

 

Tuliskan dahulu baris maksud.

 

……………………………

Jika hendak menjadi pandai,

            Rajin-rajinlah membaca buku.

 

Kemudian fikirkan baris pembayang

 

Pakai baju kain cindai,

Koyak sedikit terkena kuku;

……………………………..

 

Cantum dan susunkan empat baris berkenaan menjadi

 

Pakai baju kain cindai,

Koyak sedikit terkena kuku:

Jika hendak menjadi pandai,

            Rajin-rajinlah membaca buku.

 

Langkah 8

Latihan Mengedit Pantun

 

  • Fikir semula tiap patah perkataan yang dipilh sebagai pembayang atau maksud sama ada mempunyai sifat puitis atau tidak.
  • Apakah perkataan yang dipilih bagi bahagian pembayang sesuai untuk menggambarkan rasa bagi maksud pantun.
  • Perhatikan adakah bunyi rima tengah pantun tersebut berselangan ab;ab seperti bunyi hujung ab;ab.
  • Fikirkan sama ada maksud pantun berkenaan digambarkan secara langsung atau berkias.
  • Fikirkan apakah perkataan yang pilih berupaya menggambarkan kod budaya masyarakat.
  • Fikirkan apakah ada perkataan yang boleh menjadi kata kunci bagi menggambarkan maksud keseluruhan rangkap pantun berkenaan.
  • Fikirkan juga logik makna bagi idea pantun tersebut.

 

Bagi contoh pantun yang diciptakan tadi, beberapa penambahbaikan boleh dilakukan.

Antaranya memadan dan memilih perkataan kedua tiap baris bagi membentuk skima rima tengah yang berselangan ab;ab sama seperti skima rima hujung.

 

Mungkin bahasa pantun ini menjadi lebih puitis dan sedap dilafazkan, jika diubah begini :

 

Pakai terendak  berkain cindai,

Koyak sebelah terkena kuku:

Jika hendak menjadi pandai,

            Rajin-rajinlah membaca buku.

 

Mencipta pantun memerlukan kesabaran dan penguasaan bahasa yang banyak dan teliti. Namun dengan latihan berterusan dan kesabaran tinggi, anda pasti mampu menjadi seorang pencipta dan pemantun yang baik.

Sekian.


 

Berilmu

“Waktumu terbatas, jadi jangan sia-siakan dengan menjalani hidup orang lain. Jangan terjebak oleh dogma – yaitu hidup dengan hasil pemikiran orang lain.” – Steve Jobs

Beriman

“Teruslah tersenyum, karena hidup adalah hal yang indah dan ada banyak hal untuk disyukuri.” — Marilyn Monroe

Beramal

“Usaha dan keberanian tidak cukup tanpa tujuan dan arah perencanaan.” - John F. Kennedy